Monday, March 1, 2010

MEMPOLITIKKAN PENDIDIKAN. SALAH SIAPA?

Apabila membicarakan tentang politik, kita tidak dapat lari dari membincangkan kedudukan politik Malaysia masa kini. Di Malaysia kini telah terlalu banyak bidang yang telah pun dipolitikkan. Ini termasuklah dalam bidang pendidikan negara ini. Ianya adalah merangkumi semua peringkat, baik di peringkat sekolah rendah, di perinkat sekolah menengah dan tidak ketinggalan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). Persoalannya, mengapakah dalam bidang pendidikan pun boleh dipolitikkan?

Wang Bantuan Persekolahan:-
Memang terlalu banyak bantuan-bantuan yang diberikan sama ada oleh kerajaan atau swasta kepada murid-murid atau pelajar-pelajar miskin. Satu ketika dulu wujudnya bantuan persekolahan yang dinamakan "one-off". Selepas itu lahir pula bantuan yang dinamakan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Terkini, lahir pula bantuan "e-Kasih". Disamping itu terdapat juga bantuan kepada murid atau pelajar miskin yang berbentuk pakaian seragam dan sebagainya.

Bagi badan-badan swasta, mereka juga banyak menghulurkan bantuan kepada murid atau pelajar miskin. Umpamanya, Bank Rakyat, Tabung Haji, Baitulmal dan sebagainya sering menghulur bantuan yang digelar "wang zakat" kepada murid atau pelajar miskin. Selain itu terdapat juga orang-orang perseorangan yang telah menghulurkan bantuan kepada murid atau pelajar sekolah yang memerlukannya. Sumbangan dari dermawan-dermawan ini juga berbentuk kewangan dan peralatan sekolah.

Apa yang telah dipolitikkan ialah cara penyampaian sumbangan atau bantuan tersebut. Mengapakah perlunya diadakan majlis penyerahan bantuan tersebut melibatkan orang-orang politik? Mengapakah pihak sekolah tidak mengadakan majlis penyerahan bantuan di sekolah masing-masing? Mengapakah perlu di adakan majlis penyerahan bantuan dibuat secara besar-besaran yang menelan perbelanjaan yang besar dan menyusahkan ibu bapa untuk hadir? Mengapakah perlunya orang-orang politik dalam penyerahan 'wang zakat"?

Perasmian Majlis-Majlis Di Sekolah:-
Terdapat banyak majlis yang perlu diadakan di sekolah-sekolah. Antara majlis yang terbesar ialah Sukan Tahunan Sekolah dan Hari Penyampaian Hadiah atau Hari Anugerah. Pihak sekolah biasanya akan mengundang orang-orang tertentu untuk merasmikan majlis tersebut. Terdapat arahan agar majlis-majlis tersebut dirasmikan oleh orang-orang politik tempatan untuk merasmikannya seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan juga Ahli Parlimen. ADUN dan Ahli Parlimen pembangkang adalah dilarang sama sekali.

Penempatan dan Pertukaran Guru:-
Penempatan guru-guru baru juga telah dipolitikkan. Mana-mana guru baru yang tidak ada "kabel" terpaksalah akur dengan surat penempatan yang diterima. Situasi yang berbeza akan dihadapi bagi guru-guru baru tetapi mempunyai ramai kenalan di pihak "atasan". Mereka akan menggunakan "kabel" untuk menempatkan mereka di sekolah-sekolah yang mereka pilih atau sekurang-kurangnya di sekolah yang berdekatan dengan kediaman mereka. Maka berlaku ketidakadilan dalam penempatan guru-guru.

Begitu juga dengan pertukaran guru. Ada terdapat guru yang telah lama mengajar di pedalaman memohon pertukaran hatta mengikut suami pun tidak mendapat layanan. Apatah lagi kalau sekiranya guru tersebut masih bujang. Namun begitu, sekiranya guru tersebut ada kaitannya dengan "somebody", maka amat beruntunglah ia. Perkara sebegini akan menimbulkan masalah lebihan guru di kawasan-kawasan tertentu terutama di bandar-bandar besar. Sekolah-sekolah di pedalaman akan terus terpinggir dengan masalah kekurangan guru.

Pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT):-
Pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi juga seolah-olah telah dipolitikkan. Adalah tidak wajar sesebuah sekolah yang sememangnya sudah pun berprestasi tinggi dipilih kerana di sekolah tersebut adalah tempat pengumpulan murid atau pelajar yang cemerlang. Pemilihan sepatutnya banyak ditumpukan kepada sekolah-sekolah luar bandar juga sekolah-sekolah di pedalaman yang telah mencapaikan prestasi yang memberansangkan dengan kedudukan sekolah ini yang serba kekurangan.

Dalam perkara ini bukanlah niat saya untuk menidakkan pencapaian sekolah-sekolah yang telah terpilih. Namun yang menjadi kemusykilan ialah ganjaran sebagai motivasi yang telah diberikan kerana sekolah-sekolah tersebut (Sekolah Berasrama Penuh) sememangnya sudah kukuh dalam semua bidang. Sekolah ini mempunyai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mantap. Persatuan Murid Tua atau Persatuan Bekas Pelajarnya (Alumni) yang kukuh serta peruntukan-peruntukan kewangan dari kerajaan yang agak lumayan.

Penempatan Pelajar Ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT):-
Saban tahun semua keputusan peperiksaan terus meningkat. Atas ingatan saya belum pernah terjadi kemerosotan. Peningkatan terus diperolehi dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Saban tahun ramai pelajar yang cemerlang dapat dilahirkan. Bilangan pelajar yang cemerlang mencecah angka ribu dan lebih. Persoalannya, apakah kerajaan telah menyediakan tempat yang mencukupi untuk mereka yang cemerlang?

Ada pelajar UPSR yang cemerlang (5A atau 7A) gagal menempatkan diri ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Begitu juga pelajar yang cemerlang dalam PMR (8A dan 9A) gagal ditempatkan ke sekolah pilihan. Lebih menyedihkan atau lebih malang lagi terdapatnya pelajar yang cemerlang dalam SPM (11A) gagal ditempatkan di IPTA dann terpaksa memilih ke IPTS. Sedangkan ada terdapat pelajar yang hanya memperolehi pencapaian 5A atau 6A dalam SPM telah ditawarkan untuk belajar ke luar negara.

Begitu juga ada terdapat pelajar yang cemerlang (10A) yang berminat untuk menjadi guru. Pelajar tersebut telah memohon untuk mengikuti pengajian dalam Program Pensiswazahan Lepasan SPM di luar negara. Malangnya, pelajar tersebut gagal mengikuti program di luar negara sebaliknya ditawarkan pengajian dalam negara. Lebih mengecewakan pelajar tersebut apabila terdapat rakan-rakannya yang memperolehi 5A - 6A berjaya mengikuti program bagi pengajian di luar negara. Apakah pelajar yang cemerlang tidak layak menjadi guru? Apakah pelajar yang cemerlang tidak layak melanjutkan pelajaran ke luar negara?

Melalui pendedahan beberapa isu yang dibangkitkan di sini, sudah sewajarnya kita menoleh ke belakang (jangan kita melangkah ke belakang) untuk melihat semua kekurangan dan kelemahan yang terdapat dalam pendidikan. Kita akur terdapatnya banyak kekuatan dalam pendidikan tetapi kita lupa dan kita gagal untuk membuat penambahbaikan kepada setiap kelemahan yang terdapat. Wajarlah kita memantapkan setiap kekuatan yang ada dan sewajarnya kita mengkaji setiap kelemahan agar dapat dibuat pembetulan.

No comments: