Wednesday, March 3, 2010

ADAKAH KITA ORANG YANG BERAKAL?

"Pupuklah seni untuk menjadi orang yang menyenangkan dengan cara berbicara yang benar atau pun diam."

Mengapakah ramai orang yang bertindak di luar batasan kesopanan? Banyak peristiwa yang berlaku hari ini adalah akibat dari tindakan yang melampaui batas kesopanan. Prinsip rukun negara yang ke empat iaitu, kesopanan dan kesusilaan telah tidak dipatuhi dan ikrar yang sering dilafazkan telah diengkari.

"Prinsip ini memberi penekanan kepada peri pentingnya personaliti dan tingkah laku seseorang dalam menggambarkan kebudayaan rakyat negara ini. Sifat sopan santun dan tatasusila adalah penting dalam konteks perhubungan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Bahasa yang lembut dan tingkah laku yang sopan dapat menjamin hubungan yang harmoni dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Pembentukan individu yang berdisiplin dan bermoral tinggi hasil didikan yang berhemah dapat menjamin kewujudan sesebuah masyarakat yang saling berinteraksi dalam suasana yang bersatu padu dan aman."

Orang yang mempunyai akal adalah orang yang sopan dan boleh bertolak ansur. Jadi, orang yang kurang sopan boleh dianggapkan sebagai orang yang tidak mempunyai akal. Ia mempunyai kemampuan berbicara yang baik dan melakukan sesuatu dengan benar pada saat yang tepat serta berusaha tidak menyerang orang lain.

Kualiti diri yang menjadikan diri kita menjadi seorang yang berakal, bersopan, berbudi pekerti atau sebaliknya adalah kadar penghargaan terhadap hak-hak orang lain. Tidak ada pemancar di dunia ini yang membuat kita dapat menyaksikan perasaan orang lain. Juga harus diketahui bahawa tidak ada sikap tidak berbudi yang boleh menyenangkan orang lain.

Tidak berbudi bertentangan dengan menyenangkan, menarik dan keberhasilan. Adanya keperibadian positif bergantung kepada kualiti hati kita. Tanpa kualiti hati yang kita bicarakan ini, keperibadian kita akan cenderung ke arah yang negatif. Maka terjadilah peristiwa-peristiwa yang berlaku di luar pekerti.

Seni untuk menjadi berbudi tidak dapat ditolak lagi memberi kesan bahawa diri kita harus bersepakat dengan orang lain. Lebih jelas lagi, kita harus tahu bahawa orang lain mempunyai hak untuk mempunyai pandangan sendiri dan kerana itu harus dihormati sehingga kita tidak boleh dengan begitu sahaja menyerangnya.

Lidah yang tajam selalu mengarah pada kemungkinan untuk menyakiti orang lain. Hal ini mungkin dapat disamakan dengan sekumpulan kuda yang berlari kencang dan melanggar apa sahaja yang menghalangnya. Sama seperti kuda liar itu, lidah kita juga harus dikawal dan dikendalikan.

Dalam sepanjang kehidupan kita, pertimbangkan baik-baik sebelum kita berbicara dan atau membuat sebarang tindakan. Ucapan dan semua tindakan yang kita buat tidak boleh kita tarik kembali. "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya". Kita janganlah "sudah terantuk baru tengadah."

Marilah kita menjadikan akal fikiran kita sebagai pengatur lidah dan gambaran dalam setiap hubungan kita dengan orang lain. Akal fikiran adalah suatu seni. Inilah kualiti yang hanya boleh dikembangkan setelah kita banyak mempraktikkannya. Teruslah menerapkan ciri yang menyenangkan ini dan hal ini akan memberikan imbuhan yang luar biasa.

No comments: