"Bantulah perahu saudara kita menyeberangi sungai dan kita sendiri telah sampai ke seberang."
Kerjasama adalah bermaksud kerja beramai-ramai dan saling bantu membantu. Kerjasama juga boleh diberi pengertian sebagai gotong royong. Apabila diberi imbuhan awalan ia menjadi bekerjasama yang masih memberi maksud bekerja (berbuat sesuatu) dengan bantu membantu atau bergotong royong.
Terdapat dua jenis dalam kerjasama ini. Pertama, kerjasama yang dibuat secara sukarela dan kedua kerjasama yang dibuat dalam bentuk paksaan. Walaupun terdapat dua jenis kerjasama, namun hasil kedua-duanya berlaku adalah melalui tindakan yang dibuat bersama. Kedua-duanya juga adalah sebagai satu usaha untuk mencapai suatu tujuan atau tujuan-tujuan yang tertentu yang telah disasarkan.
Dalam kerjasama yang dibuat secara sukarela, ia mencakup suatu kehendak bersama pada setiap pihak untuk memenuhi tujuan. Manakala dalam berbagai bentuk kerjasama yang dibuat dengan terpaksa barangkali boleh diperolehi juga dalam bentuk paksaan atau disebut paksa rela. Kerja yang dibuat secara paksa juga merupakan bentuk kerjasama terpaksa seperti mana yang dinyatakan di atas.
Dalam politikmasa kini, semangat kerjasama itu semakin lama semakin dipinggirkan. Cantas mencantas, lobi melobi dan yang paling sedih ada yang sanggup berjumpa bomoh demi untuk mencapai cita-cita tembolok terus berlaku dengan meninggalkan semangat kerjasama yang begitu lama tertanam di jiwa kita. Kerjasama yang mantap seperti mana kita berjuang untuk menuntut kemerdekaan telah dibuang atau telah ditinggal entah kemana.
Seandainya kita menyaksikan mereka yang bekerjasama untuk alasan ekonomi atau kerana lingkungan memerlukan mereka, maka nampaknya hasil dari usaha seperti itu tidak sehebat yang kita harapkan. Kerjasama bagaimanapun yang melibatkan kita, tentunya baik bagi kita untuk mengusahakan pengembangan semangat kelompok pada mereka yang terlibat di dalamnya.
Usaha-usaha tersebut ini membolehkan anggota-anggota kumpulan ini membentuk semangat kerjasama secara sukarela. Usaha seperti ini seharusnya menimbulkan rasa cinta terhadap pekerjaan mereka. Setiap usaha yang dilakukan adalah disebabkan sememangnya mereka ingin melakukannya. Berlakunya kerjasama secara sukarela akan dapat mewujudkan keadilan dan kestabilan dalam kehidupan.
Kerjasama sewajarnya bermula dari kumpulan yang kecil. Oleh itu, kerjasama sewajarnya dimulakan dari rumah. Kerjasama suami isteri, anak-anak dan keluarga perlu ada dan perlu dilakukan agar kerjasama dalam komuniti yang lebih besar dapat direalisasikan. Keluarga tidak boleh disebut sebagai keluarga seandainya di dalam rumah tersebut tidak terdapat semangat kerjasama yang erat. Hubungan keluarga sewajarnya hubungan yang harmoni. Rumah seharusnya menjadi tempat adanya kebahagiaan, keharmonian dan yang penting adanya kerjasama.
Sebenarnya tidak ada orang yang boleh menikmati kejayaan ke tahap yang tinggi atau mengembangkan sesuatu yang hebat apabila kita tidak terlebih dahulu memantapkan sesuatu yang hebat. Apabila kita tidak terlebih dahulu memantapkan kerjasama bersahabat dengan mereka yang ada di sekelilingnya. Ingatlah bahawa semakin ramai orang yang kita bantu untuk menuju kejayaan, semakin tinggi pula tingkat kejayaan kita sendiri.
Pekerja dan majikan perlu melakukan kerjasama yang erat seperti tangan kanan yang bekerjasama dengan tangan kiri untuk mengikat sesuatu. Di masa akan datang, pekerja dan majikan akan semakin erat kerjasama kerana semuanya sedar betapa pentingnya satu pihak kepada pihak lain. Kerjasama yang cemerlang antara majikan dan pekerja akan menghasilkan pengeluaran yang cemerlang.
Namun situasi ini banyak tidak berlaku dalam dunia politik masa kini. Sepatutnya kerjasama seorang wakil rakyat perlu wujud dengan pengundinya tetapi amanah yang diberi oleh rakyat langsung tidak diambil peduli. Wakil rakyat membuang semangat kerjasama itu apabila berani keluar dari parti yang diwakilinya hanya semata-mata kepentingan diri. Pencabulan semangat kerjasama telah berlaku dan hukuman hanya boleh diberi oleh rakyat apabila adanya pilihan raya.
Kita perlu ambil pepatah Cina ini untuk dijadikan panduan bersama. "Seutas jerami bukanlah tali; sebatang pokok bukanlah hutan." Ingatlah bahawa dalam bekersamaan itu, kita akan menemui kekuatan.
No comments:
Post a Comment