Wednesday, October 13, 2010

KERJAYA PENDIDIK DI MALAYSIA

PENGENALAN

Secara umumnya, guru ialah tonggak dalam melaksanakan tanggungjawab pendidikan berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ianya menjuruskan ke arah pembentukan insan iaitu murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Tugas guru bukanlah satu tanggungjawab yang boleh dipandang ringan dengan melabelkan tugas ini boleh dilaksanakan tanpa persiapan yang rapi dan teliti. Personaliti seseorang guru memainkan peranan yang amat penting dalam mempengaruhi perubahan tingkah laku pelajar ke arah melahirkan modal insan yang holistik dari sudut ilmu yang diturunkan dan ilmu perolehan.

Kerjaya sebagai guru akan menjadi lebih luas dan kompleks apabila inti pati bidang perguruan ini dikuasai dengan mendalam dan profesional. Tanggungjawab seseorang guru bermula dengan berusaha untuk menyediakan satu suasana yang kondusif agar proses pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan dengan berkesan dan penerapan nilai yang positif dapat disebatikan dengan disiplin ilmu yang diperolehi daripada guru yang berkualiti.

Di Malaysia, aspek latihan perguruan menjadi tanggungjawab dua buah kementerian. Kementerian Pelajaran Malaysia dipertanggungjawabkan untuk melatih guru sekolah guru sekolah rendah. Manakala Institusi Pengajian Tinggi Awam, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pula dipertanggungjawabkan untuk melatih guru sekolah menengah. Justeru, kedua-dua kementerian ini memainkan peranan yang amat penting delam melahirkan bakal guru yang berkualiti, berdedikasi, kompeten dan bertaraf dunia.

Bagi menjamin kualiti guru yang tinggi ini, latihan keguruan telah menekankan penguasaan terhadap tiga aspek nilai kualiti untuk diamalkan oleh guru, iaitu amalan profesionalisme keguruan, ilmu dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran. Terdapat pelbagai kategori guru di institusi sekolah di Malaysia seperti guru komputer, guru kaunseling, guru pendidikan khas, guru mata pelajaran, guru kanan, guru penolong kanan, guru besar dan pengetua. Mereka ini berperanan untuk menggerakkan jentera perubahan tingkah laku murid ketika mereka di bangku sekolah lagi.

KUALITI GURU

Kualiti guru sememangnya diberikan penekanan dalam amalan profesion perguruan. Kualiti guru mempengaruhi kemampuan guru mendidik anak bangsa dan seterusnya mencapai wawasan pembangunan ummah. Kualiti guru yang cemerlang pula menjadi sebahagian besar daripada kriteria penilaian untuk kenaikan pangkat. sebagai contoh, kriteria kualiti guru diguna pakai sebagai asas kenaikan pangkat daripada guru biasa kepada jawatan Guru Cemerlang.

Jawatankuasa penilaian kenaikan pangkat Guru Cemerlang yang diperkenalkan dalam tahun 1994 berasaskan memorandum Kementerian Pendidikan Malaysia yang dibincangkan pada peringkat kabinet yang bertajuk, "Sistem Kenaikan Pangkat Dalam Perkhidmatan Pendidikan - Cadangan ke Arah Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Pendidikan dan Menghasilkan Guru Yang Cemerlang" (April 1993).

Guru Cemerlang ialah guru yang memiliki kualiti dari segi:-
1. Kecemerlangan peribadi
2. Kecemerlangan pengetahuan dan kemahiran
3. Kecemerlangan kerja
4. Kecemerlangan komunikasi
5. Kecemerlangan potensi

Kualiti peribadi guru cemerlang adalah seperti mempunyai keyakinan diri, adil, bertimbang rasa, amanah, bertanggungjawab, kreatif, inovatif, sedia berkongsi, bekerjasama, bersikap terbuka dan positif.

Guru yang berkualiti dan berpengetahuan tinggi menjadi rujukan untuk mengatasi masalah pengajaran dan pembelajaran. Ia juga perlu peka dan prihatin terhadap keperluan dan kebajikan murid, bijak mengurus masa, bahan, sumber, alatan pengajaran dan pembelajaran. Dsamping itu ia mampu mengenal pasti keperluan dan masalah murid serta menyediakan program tindakan susulan.

Kualiti kerja guru dilihat melalui keupayaan guru meningkatkan hasil pembelajaran murid. Ini dapat dilihat berdasarkan peningkatan minat dan penglibatan mereka, kebolehan dan kejayaan membimbing di dalam dan di luar waktu pengajaran. Kekerapan memberi dan memeriksa kerja bertulis, penguasaan dan penggunaan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran juga perlu dinilai.

Kualiti komunikasi Guru Cemerlang dilihat daripada kebolehan menjadi perintis sesuatu usaha dan berjaya menyampaikan idea dan mesej dengan berkesan. Ia perlu dilakukan secara bertulis mahupun secara lisan. Kualiti potensi Guru Cemerlang ialah guru yang berwawasan, sentiasa belajar untuk meningkatkan kerjayanya. Ia juga perlu terlibat dalam kursus, seminar dan bengkel serta sentiasa menyumbangkan tenaga dan kepakaran ke arah kejayaan sekolah.

2 comments:

asilahmuhajer said...

salam en.cputsungai..
amboi2..
entry baru ni ada dua 'petanda' la. yang pertama, petanda orang dapat APC. yang kedua, petanda orang nak amik PTK yang terlebih baca nota.

encik cput golongan yang mana?? hehehe. kalau dpt APC, belanja la saya makan ye??

amalhaj said...

teman xangambik PTK camner plak kene bace nota? amin..... moge doa cikgu Allah makbulkan sbb teman ni memang xperonah dpt APC...... ciannnn teman