"Apabila kita tersandung bukanlah itu bermakna kita telah jatuh".
"Hanya orang yang tidak berbuat apa-apa pun yang tidak pernah melakukan kesalahan". Pada logiknya kenyataan ini adalah benar tetapi persoalannya adakah orang yang hidup di dunia ini yang hanya berdiam diri dengan tidak melakukan apa-apa aktiviti? Pasti mustahil jawapannya kerana orang bukanlah makhluk yang dicipta sebagai 'statik'.
Sekiranya kita sedang melangkah untuk meneruskan perjalanan, dapat dipastikan bahawa suatu ketika kaki kita akan tersandung dan kita akan terjatuh. Dalam kehidupan kita pasti ada badai yang melanda. Begitu juga dengan keadaan cuaca yang mana langit tidak selalunya cerah. Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Benih yang kita taburkan di tempat yang sesuai dan sentiasa dijaga pasti akan tumbuh menjadi pohon yang subur. Benih yang disemai di tempat yang terlindung akan tumbuh lemah dan jarang sekali menjadi sebatang pokok yang besar lagi kukuh. Ujian adalah sumber kekuatan. Gelombang besar dan badailah yang menjadikan nelayan itu tabah. Kemalangan akan memisahkan orang dewasa dengan anak-anak.
Kemuliaan kita yang tertinggi bukanlah kerana kita tidak pernah jatuh tetapi adalah kerana kita terus kembali berdiri pada setiap kali kita jatuh. Perkataan putus asa tiada dalam kamus hidup mereka. Lihat bagaimana seorang kanak-kanak yang sedang belajar berjalan. Setiap kali jatuh patuh ia akan bangun dan terus berjalan sehinggalah ia boleh berjalan dengan baik.
Sesuatu yang sering dikagumi oleh setiap orang pada peribadi yang penuh aspirasi, orang yang mempunyai kecenderungan maju dan meningkat. Menepis setiap rintangan dan membuang setiap penghalang adalah suatu yang perlu. Kita tidak dapat memisahkan orang yang teguh dari kejayaan. Letaklah apa saja penghalang di tengah jalannya dan ia akan menggunakannya sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan.
Orang yang berjaya mempunyai program. Ia menentukan jalannya. Ia juga membuat rancangan dan melaksanakannya. Pasti ia akan bergerak lurus menuju sasarannya. Ia tidak terdorong ke tepi meskipun ada kesulitan menghalang perjalanannya. Kalau ia tidak dapat membuang kesulitan itu, pastinya akan terus berjalan melaluinya.
Lihatlah bagaimana kita bermain layang-layang. Layang-layang akan naik menentang angin dan bukannya mengikut arah angin. Menentang arus itu perlu untuk kejayaan dan janganlah menentang arus untuk menyusahkan orang lain.
No comments:
Post a Comment