Saturday, January 16, 2010

MELAHIRKAN MODAL INSAN CEMERLANG

Pada kebiasaannya jika dilihat secara teori kita boleh menyatakan bahawa sesebuah organisasi itu boleh bergerak dengan sepenuhnya dengan tidak ada apa-apa kepincangan di mana-mana bahagian pun. Warga bagi sesebuah organisasi itu dilihat sebagai manusia yang unggul dengan tidak melakukan sebarang kesilapan. Mereka diumpamakan mesin yang bergerak untuk mengerjakan peranan atau tugas masing-masing dengan sentiasa sempurna. Oleh kerana semua bahagian berjalan lancar maka organisasi itupun dianggap keseluruhannya sempurna.

Namun begitu, memang tidak dapat dinafikan apa yang yang sepatutnya sempurna tidak semestinya sebenarnya begitu. Situasi yang wujud pada yang sebenarnya tidak sampai kepada tahap seperti yang diharapkan. Kekurangan dan kelemahan itu sentiasa ada dan keadaan ini memang tidak dapat dielakkan dalam sesebuah organisasi yang menjurus kepada pengurusan sumber manusia. Ini adalah suatu kenyataan yang seharusnya diterima terutama organisasi tersebut merupakan sebuah sekolah.

Setiap bakal guru, sama ada sedang membuat persediaan di universiti, kolej dan sebagainya tidak dapat menerima gambaran yang sebenarnya mengenai sekolah. Mereka ini sering menggambarkan bahawa sesebuah sekolah itu cukup sempurna atau lengkap dengan semua kemudahan; bangunan, padang, peralatan, guru, pekerja dan sebagainya yang sepatutnya ada. Ini seolah-olah menyatakan bahawa mereka (bakal guru) pergi sahaja ke sekolah dan terus mempraktikkan apa yang telah dipelajari. Tiada masalah yang perlu dihadapi. Bakal guru seolah-olah membuat kesimpulan yang semuanya baik.

Persoalan yang sering timbul dari pengalaman sebagai seorang guru besar mendapati guru baru sering mengeluh kerana menghadapi pelbagai masalah yang tidak diduga. Memang pada realitinya banyak sekolah yang tidak mempunyai apa yang patut dipunyai. Banyak sekolah yang tidak mempunyai guru bagi opsyen subjek-subjek tertentu. Ada sekolah yang tidak mempunyai pembantu tadbir. Ada sekolah yang tiada kemudahan padang permainan. Ada sekolah yang tidak mempunyai kemudahan awam dan pelbagai lagi kekurangan. Guru baru yang baru datang ke sekolah yang serba kekurangan ini pasti akan berhadapan dengan banyak masalah; fizikal dan kemanusiaan. Situasi ini akan membuat mereka cepat patah semangat dan putus asa.

Begitu juga dengan guru besar di sekolah. Sepatutnya penumpuan tugas banyak kepada pendidikan iaitu pengajaran dan pembelajaran tetapi apa yang belaku ialah terpaksa lebih banyak menguruskan perkara-perkara yang lain. Bagi sekolah di luar bandar atau pedalaman ada guru besar yang terpaksa menjadi pembantu tadbir, pelayan pejabat dan pemandu. Di sekolah bandar pula banyak masa dihabiskan dengan menguruskan disiplin murid dan guru.

Situasi yang sama berlaku kepada murid. Mereka datang ke sekolah dengan penuh harapan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan semaksimum mungkin, tetapi sebenarnya suatu masa yang ditetapkan untuk pengajaran dan pembelajaran sering tidak berlaku sepenuhnya. Ada guru yang lewat masuk kelas. Ada ketikanya murid yang membuat gangguan semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan. Ada ketikanya guru sakit dan pelbagai lagi ragam yang menyebabkan matlamat asas tidak sepenuhnya tercapai.

Begitu juga apabila keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan. Murid-murid yang telah berusaha bertungkus lumus dan akhirnya mencapai kejayaan yang cemerlang menjadi kecewa apabila permohonan mereka ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara gagal. Sebelum ini mereka telah didendangkan dengan janji-janji penempatan ke SBP atau MRSM apabila memperolehi kecemerlangan (5A) dalam UPSR dan akhirnya kecewa apabila mereka tidak terpilih.

Keadaan yang sempurna sebenarnya tidak terdapat di sekolah. Banyak sekali kekurangan dan kelemahan yang akan kita temui dalam setiap jenis sekolah. Ia juga berlaku di SBP, MRSM, sekolah harian biasa, sekolah agama, sekolah bantuan penuh, sekolah bantuan modal dan sekolah swasta. Persoalannya, bagaimana kita hendak melahirkan modal insan yang cemerlang sekiranya kelemahan dan kekurangan masih berlaku?

No comments: