Thursday, January 28, 2010

KEMANAKAH HILANGNYA

“Cikgu tak tahu? Jadi! Siapa yang keluarkannya?” Terpancul soalan dari mulut Cikgu Amin sambil matanya tajam merenung ke arah Cikgu Bostamam yang kelihatan gelisah.

“Itulah sebabnya saya datang berjumpa dengan cikgu”. Cikgu Bostamam memberanikan dirinya untuk bersuara.

“Ini bukan sedikit, cikgu.” Luah Cikgu Amin sambil mengendurkan sedikit suaranya. Beliau mulai tersedar, Cikgu Bostamam yang duduk di hadapannya kini berada dalam kesusahan. Cikgu Bostamam datang berjumpa dengannya adalah untuk melaporkan perkara yang telah berlaku. Cikgu Bostamam memerlukan nasihat dan bantuan darinya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Kekesalan mulai terasa dalam diri Cikgu Amin kerana telah berkasar sebentar tadi.

“Baiklah, saya akan cuba siasat, tapi cikgu perlu memberi kerjasama kepada saya.” Sambung Cikgu Amin.

Sekolah Kebangsaan Kuala Kota (SKKK) adalah merupakan sebuah sekolah rendah yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Kota. Nama sekolah ini adalah mengambil sempena nama bandar tersebut iaitu bandar Kuala Kota. Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1919. Ia juga merupakan sekolah yang tertua di bandar tersebut.

Mempunyai bilangan murid seramai 1,525 orang yang terdiri dari pelajar dari Tahun Satu hingga Tahun Enam. 50 orang murid prasekolah dan 55 orang murid Pendidikan Khas.

Cikgu Amin adalah merupakan guru besar baru sekolah ini. Beliau baru sahaja bertukar ke sekolah ini kira-kira tiga bulan yang lalu setelah Cikgu Munir, mantan guru besar SKKK bersara. Cikgu Amin sekarang berusia 45 tahun. Beliau mula dilantik sebagai guru besar ketika berumur 28 tahun. Oleh itu beliau mempunyai pengalaman selama 17 tahun sebagai guru besar. Sebelum bertukar ke SKKK, beliau pernah berkhidmat sebagai guru besar di tiga buah sekolah di daerah Hilir Kota dan daerah Hulu Kota.

Cikgu Bostamam pula merupakan seorang guru yang mengajar Pendidikan Islam di SKKK. Beliau telah diamanahkan memegang beberapa jawatan penting di dalam dan di luar sekolah, termasuklah sebagai bendahari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKKK. Cikgu Bostamam juga seorang guru yang berpengalaman dan telah berkhidmat selama 10 tahun di dua buah sekolah di daerah Kuala Kota. Sesuai kedudukannya sebagai guru Pendidikan Islam atau digelar “ustaz”, beliau seorang yang rajin, jujur dan amanah. Kriteria itulah beliau telah dilantik sebagai bendahari PIBG SKKK.

Suatu hari, sebuah kereta peronda polis telah memasuki kawasan SKKK. Kereta polis itu dipandu oleh seorang pegawai polis yang lengkap dengan uniformnya. Pegawai polis itu dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kota.

Kereta peronda polis tersebut berhenti betul-betul di ruang letak kereta pelawat yang telah dikhaskan dan keluarlah Inspektor Hisham. Beliau menuju ke pejabat SKKK. Dalam perjalanannya, beliau telah berselisih dengan Cikgu Kamaruddin, salah seorang guru SKKK yang sedang menuju ke arah kantin sekolah.

“Assalamualaikum, cikgu.” Inspektor Hisham memberi salam sambil menghulurkan tangannya.

“Waalaikumussalam.” Jawab Cikgu Kamaruddin sambil bersalaman dengan Inspektor Hisham.

“Guru Besar ada?” Soal Inspektor Hisham.

“Ada tuan, mengapa nak jumpa guru besar?” Soal pula Cikgu Kamaruddin.

“Ada hal sedikit dengan guru besar. Terima kasih cikgu.” Balas Inspektor Hisham sambil meneruskan perjalanannya kea rah pejabat sekolah.

“Sama-sama.” Balas Cikgu Kamaruddin dan berlalu ke arah kantin sekolah.

Cikgu Kamaruddin duduk termenung di kantin sekolah. Fikirannya jauh melayang, tangannya bermain-main dengan gelas minuman di hadapannya. Tergiang-ngiang kata-kata yang diucapkan oleh cikgu Amin semasa dia dipanggil ke pejabat sekolah dua hari yang lepas. Perasaan cemas tiba-tiba muncul dalam hatinya.

“Apakah kes ini telah dilaporkan kepada polis?” Soal hati cikgu Kamaruddin yang semakin gelisah.

“Ahhhhhh! Ini tak boleh jadi!” Cetus hatinya pula dan kelihatan ia semakin gelisah. Bajunya kini telah dibasahi peluh dan wajahnya kelihatan pucat.

“Aku mesti jumpa guru besar.” Luah hatinya. Ia terus berfikit bagaimanakah caranya untuk berjumpa dengan guru besar.

“Mengapa dulu aku tidak terus menceritakan perkara yang sebenar kepada guru besar?” Keluh hatinya tanda kesal.

Cikgu Amin memandang ke arah pintu pejabatnya apabila terdengar bunyi ketukan di pintu dan kelihatan Cikgu Kamaruddin. Cikgu Amin tersenyum lantas mempelawakannya masuk.

“Assalamualaikum, cikgu.” Cikgu Kamaruddin memberi salam sambil menuju ke arah meja Cikgu Amin.

“Waalaikumussalam, sila duduk.” Cikgu Amin menjawab salam sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

“Apa yang boleh saya bantu?” Tanya Cikgu Amin apabila melihat Cikgu Kamaruddin yang kelihatan gelisah.

“Betulkan perkara kehilangan wang PIBG sudah dilaporkan kepada polis?” Soal Cikgu Kamaruddin.

“Mengapa cikgu bertanya begitu?” Balas Cikgu Amin sambil merenung wajah Cikgu Kamaruddin. Keresahan serta rasa gementar melanda diri Cikgu Kamaruddin.

“Cikgu, saya mohon maaf. Sebenarnya, sayalah yang mengeluarkan wang PIBG itu. Saya gunakan tandatangan saya kerana buku akaun itu masih lagi nama saya sebagai bendahari. Saya juga telah meniru tandatangan Yang Dipertua PIBG.” Cikgu Kamaruddin berterus terang.

“Dulu, cikgu tak mengaku dan mengapa sekarang mengaku pula?” Sinis Cikgu Amin yang membuat Cikgu Kamaruddin semakin gementar.

No comments: