Wednesday, January 6, 2010

KEMANAKAH ARAH TUJUAN KITA?


Bagaimana kita boleh berharap untuk sampai sekiranya kita sendiri tidak mengetahui ke arah mana kita hendak pergi?"

Ada yang berani mengatakan bahawa manusia ini adalah mirip ikan emas yang berada di dalam botol (akuarium). Kalau kita perhatikan, ikan emas itu akan berenang dan terus berenang. Namun begitu, ikan emas itu hanya berputar-putar di dalam akuarium itu sahaja. Begitu juga dengan manusia yang mana kebanyakannya memang kelihatan sibuk, membanting tulang dan bekerja sepanjang hidup tanpa rancangan atau tujuan.

Kita perlu bertindak dan pastikan dari sekarang. Apakah yang kita inginkan dari hidup kita ini? Apakah kita berasa cepat berpuas hati dengan segala apa yang telah diberikan atau telah kita capai dalam hidup kita? Sebenarnya hidup kita ini bukan dicipta sebagai suatu permainan. Allah s.w.t. tidak bermaksud untuk membuat karya masterpiece-Nya menjadi terbiar begitu sahaja tanpa tujuan tertentu.

Sekarang pilihan yang ada hanyalah pada diri kita sendiri. Kita boleh menjadikan apa sahaja yang kita mahu atau inginkan asalkan kita berani membuat suatu keputusan bagi diri kita sendiri. Kita boleh mewakilkannya kepada orang lain kerana tidak ada seorang pun yang boleh melakukannya bagi pihak kita.

Oleh itu, bulatkan tekad kita. Kuat azam kita dan buatlah keputusan sekarang. Kita akan menjadi lelaki atau wanita yang bagaimana mengikut usia kita. Bagaimanakah kita ketika berumur 20 tahun, 30 tahun dan 40 tahun? Begitu juga bila umur semakin meningkat. Bagaimanakah kita ketika berumur 50 tahun, 60 tahun, 70 tahun malahan juga ketika kita berumur 80 tahun.

Kita perlu gambarkan pada fikiran kita suatu contoh seorang yang mulia yang kita inginkan dengan segala miliknya pada saat itu. Fikirkan terus menerus perkara ini selama mana kita menuju kepada pencapaian kepada sasaran kita. Sasaran adalah penting. Oleh itu, kita perlu membuat perancangan bagaimanakah caranya kita dapat menepati sasaran.

Kita sewajarnya faham bahawa tidak ada seorang pun yang boleh mencapai suatu kejayaan dengan hanya bergerak satu tapak atau satu langkah. Seandainya kita ingin melakukan suatu perjalanan yang jauh untuk ke satu-satu destinasi kita perlu bergerak selangkah demi selangkah dan tingkat demi tingkat. Oleh itu kita perlu menentukan sasaran kita peringkat demi peringkat yang tentunya ke arah pada destinasi utama kita.

Sasaran jangka pendek sewajarnya ditentukan secara harian, mingguan, bulanan dan tahunan. Semua tugas yang mencabar atau yang lebih berat akan menjadi lebih mudah dan ringan seandainya kita dapat membahagikannya kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil. Dalam perkara ini biasa kita lakukan iaitu ketika kita membahagikan sasaran jangka panjang kita menjadi sasaran jangka pendek. Melalui penyelesaian sasaran kecil kita sebenarnya telah melangkah kepada sesuatu yang lebih besar.

Perkara yang terbesar di dunia ini tidak akan terdapat di mana kita berada tetapi ianya akan berada di mana tempat yang ingin kita tujui.

No comments: