Saturday, January 2, 2010

DIA DATANG MEMBERITAHU AKU

Pada suatu hari iaitu dalam musim sejuk, Juha telah bermusafir ke kampung berdekatan dengan berjalan kaki. Dalam perjalanan pulang dengan tak semena-mena dia merasa terlalu letih sekali badannya, longlai dan terus jatuh ke tanah. Lama juga dia berbaring hinggakan di kala itu dia merasakan bahawa dirinya telah mati tetapi pelik tidak ada seorang pun yang lalu di situ untuk menyelamatkannya atau pun menguruskan jenazahnya.

Telah agak lama dia pun merasa lapar dan dahaga. Dia terus bangun pulang ke rumah dengan penuh keletihan. Sampai di rumah dia terus ke dapur lalu makan dengan lahapnya. Sambil makan dia memberitahu isterinya bahaw dia telah mati kesejukan sebentar tadi tetapi tidak ada siapa pun yang dapat mengambil jenazahnya. Setelah selesai makan dia pun pergi semula ke tempat di mana dia terbaring tadi setelah memberitahu isterinya tempat tersebut.

Tidak lama kemudian isterinya pun meraung-raung meminta tolong dan menangis teresak-esak. Orang ramai datang melihatnya lalu bertanya: "Mengapa kamu menangis wahai Atikah?". Berkata Atikah dengan penuh kesedihan: "Juha telah meninggal dunia tetapi tidak ada seorang pun yang pergi mengambil jenazahnya di kampung sana."

Orang ramai merasa hairan lalu bertanya: "Siapa pula yang memberitahu kamu yang suami kamu Juha telah meninggal dunia dan juga di mana tempatnya?". Berkata Atikah: "Dia sendiri yang datang kepada aku sebentar tadi lalu memberitahu aku bahawa jenazahnya ada di sekian tempat dan kemudian dia pergi semula ke tempat itu menunggu kita mengambilnya."

No comments: