Friday, April 30, 2010

LAIN YANG DICARI LAIN PULAK YANG DAPAT


Pagi tadi teman kene pegi mesyuarat kat PKG Talang. Jadi, teman tak pegi ke sekolah ler ari ni. Masa minum lepas mesyuarat ade member yang bagitau, ari nih last anto borang cukai. Lembaga Hasil Dalam Negeri online had pukui 12 tengah malam ini ajer. Aper lagi, teman pun kelam kabut sebab belum isi borang tuh lagi. Lepas ajer semayang Jemaat, teman pun online dgan LHDN. Nasib baik dapat tapi sengoyo jugak sebab nombor PIN nyer dah luper. Alhamdulillah dapat pun.

Tengah kusyuk teman ngisi borang tuh, ader ler pulak maklumat yang teman luper. Apa lagi, jenuh ler ceghoyer kotak-kotak yang ader bawah meja kerojer teman kat ghumah. Kat sini memang banyak bebeno kotak (mengkome kene ingat kotak yang teman ader tuh bukan ader isi tang kesah rasuah yerk!). Dalam tercari-cari tuh tetiba teman jumpa satu buku yang boleh dikira antik jugak. He eleh, lain yang teman cari lain yang teman dapat. Tengok aper yang teman dapat. Same-same kite nengok.

Teman jumpe sebuah novel. Tajuknyer, "ANAK WARISAN ZAMAN". Penulis novel ini Hamdan Raja Abdullah. Novel ini telah dicetak kali pertamanyer pade 1979. Jadi umor novel ini dah 41 tahun. Novel ini telah memenangi hadiah ketiga peraduan Menulis Novel Kanak-Kanak DBP 1987. Judul asal novel ini ialah "INSAF" diterbitkan sebagai sempena Tahun Antarabangsa Kanak-Kanak 1979. Mulanya terbit dalam siri Perpustakaan Sekolah DBP Bil 278.

Jalan cerite dalam novel ini pade teman memang menyayat hati walaupun di akhirnya pengarang menjadikannya "Happy Ending". Boleh dijadikan sebagai "motivasi" kepade kepade semua murid yang ndak berjaya dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Kisah pengorbanan seorang anak kepada ibu dan adiknya setelah berpisah dengan bapenyer. Dari kehidupan yang senang kepade kesusahan hidup yang menidaknyer untuk bersekolah.

Jadi, kekalo mengkome nak tahu ceriter sebenornyer dalam novel ini, mengkome bolehler pegi ke mane-mane "library" yang teman rase ader tersimpan di saner. Teman ngaterkan gitu sebabnyer novel ini telah menang peraduan oleh Dewan Bahase dan Pustake. Ato pon kalo mengkome tak boleh dapat boleh ler bertandang ke ghomah teman untuk numpang bace. Pinjam tak boleh sebab ader satu ajer, hehehehehehehe.

Thursday, April 29, 2010

CARLSBERG..... IS GOOD FOR YOU?

Minuman Keras ialah minuman yang mengandungi alkohol dan boleh memabukkan seperti arak dan bir. Sesiapa yang meminum minuman keras iaitu bagi orang yang beragama Islam adalah haram dan berdosa besar.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud;
"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya minuman keras (arak, bir dan lain-lain), judi, berhala dan mengundi nasib itu adalah pekerjaan yang keji dari pekerjaan syaitan dan hendaklah kamu jauhi, mudahan-mudahan kamu mendapat kemenangan."
(Al-Maidah: 90)

Disamping minuman keras, apa sahaja yang memabukkan juga diharamkan, seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud;
"Tiap-tiap sesuatu yang memabukkan itu, hukumnya haram."
(Hadis riwayat Muslim)

Minuman keras ini diharamkan kerana boleh menyebabkan kemudaratan yang sangat besar terhadap kesihatan akal dan jasmani manusia. Kita mesti ingat bahawa penderitaan manusia yang amat teruk ialah penyakit yang disebabkan oleh minuman keras. Terdapat ramai orang yang berpenyakit yang ada di hospital itu adalah disebabkan oleh minuman keras. Begitu juga bagi mereka yang ingin melarikan diri dari tekanan kehidupan telah mengambil jalan yang paling mudaj bagi mereka iaitu meminum minuman keras.

Terdapat banyak hadis yang membicarakan masalah minuman keras ini dan keseluruhannya adalah menunjukkan larangan dan celaan terhadap minuman yang memabukkan tersebut.

Diantaranya adalah sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud;
"Tinggalkanlah meminum minuman keras kerana ia adalah kunci (pembuka) segala pintu kejahatan."

Larangan meminum minuman keras ini tidak hanya tertumpu kepada peminumnya sahaja tetapi juga terhadap segala apa yang berkaitan dengan minuman keras itu. Ini termasuklah yang menjualnya, membelinya, membuatnya, membawanya, menghidangkannya dan berbagai lagi yang berkaitan. Perkara ini ada disebut dalam hadis yang bermaksud;
"Nabi Muhammad s.a.w. melaknat minuman keras itu dalam sepuluh perkara:-
1. Orang yang memerahnya
2. Orang yang meminta diperahkan
3. Orang yang meminumnya
4. Orang yang membawanya
5. Orang yang menhantarkannya
6. Orang yang menuangkannya
7. Orang yang menjualnya
8. Orang yang memakan hasil jualannya
9. Orang yang membelinya
10. Orang yang meminta dibelikan
(Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Ini adalah amat jelas sekali kepada kita bahawa minuman keras itu bukan hanya sahaja dilarang kepada peminumnya malahan kepada segala kegiatan yang berkaitan dengannya. Terdapat juga antara kita yang berpendapat bahawa minuman keras itu sebagai ubat, namun perkara ini telah dibantah oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menurunkan penyakit sekali gus ubatnya. Dia menjadikan tiap-tiap penyakit ada ubatnya. Maka berubatlah kamu dan jangan berubat dengan apa-apa yang diharamkan."
(Hadis riwayat Abu Daud)

Sabda baginda Rasulullah s.a.w. itu telah dibuktikan oleh pakar-pakar perubatan masa kini. Melalui kajian mereka ke atas segala jenis minuman keras itu telah melahirkan satu kesimpulan bahawa minuman keras itu sekali-kali tidak boleh dijadikan ubat kerana ia boleh menimbulkan beberapa kerosakan dalam jiwa manusia.

Tuesday, April 27, 2010

PENERAPAN PENGETAHUAN DAN PENGALAMAN

"Orang yang mempelajari kebijaksanaan tanpa menerapkannya dalam kehidupan adalah seperti orang yang memasuki ladangnyatanpa menaburkan benih."

Diri seseorang itu boleh diibaratkan sebagai sebuah perpustakaan. Kita akan namakan sebagai perpustakaan berbicara atau perpustakaan berjalan. Ini adalah disebabkan seseorang itu ada memiliki ilmu pengetahuan dan juga pengalaman dalam pelbagai perkara dalam kehidupannya. Oleh itu kita perlu menimba ilmu pengetahuan dari seseorang tambahan pula sekiranya orang itu mempunyai kelebihan-kelebihan yang tertentu.

Kita perlu ingat bahawa pengetahuan yang kita miliki itu tidak mendatangkan apa-apa hasil seandainya kita tidak melakukan sesuatu terhadap ilmu pengetahuan yang kita miliki itu. Oleh itu perlakuan kita terhadap ilmu pengetahuan yang kita miliki itu adalah penting dari kita terus membiarkannya terus terpendam. Ilmu pengetahuan yang kita miliki juga sepatutnya dalam memandu diri kita ke arah perbuatan yang positif.

"Mempengaruhi orang lain dengan harta benda yang ada tidak akan kekal dan berpanjangan melainkan idea, ilmu pengetahuan dan pengalaman yang telah kita curahkan."

Umpamanya, seseorang guru bimbingan dan kaunseling di sesebuah sekolah itu sewajarnya mempunyai latar belakang pendidikan psikologi. Namun begitu, keperibadiannya yang mungkin biadab wajar tidak boleh ditonjolkan. Itulah sebabnya ramai antara kita sekarang ini yang tidak sesuai dan selesa dengan kerjaya masing-masing iaitu bercanggah antara ilmu pengetahuan yang dimiliki dengan perbuatan yang dilakukannya.

Janganlah kita menganggap kedudukan yang dibebani tanggungjawab berdasarkan pada apa yang kita ketahui. Kita sewajarnya berkemampuan untuk menerapkan setiap ilmu pengetahuan dan pengalaman yang kita miliki itu. Melalui penerapan tersebut percambahan ilmu dan juga pengalaman akan berlaku. Ilmu pengetahuan dapat diperluaskan dan dipanjangkan kepada pihak-pihak lain. Situasi seperti ini akan dapat melahirkan komuniti berilmu.

"Ilmu pengetahuan dan pengalaman hanya bermakna dan bernilai apabila ia digunakan untuk kebaikan umum."

Terdapat perbezaan yang amat ketara antara pengetahuan dengan penerapan. Pengetahuan yang salah arah merupakan sesuatu yang membahayakan. Kepercayaan dan penerapan adalah kata-kata yang amat bermakna dan berharga. Ia digunapakai oleh pertimbangan cerdas kita sebelum kita menerima dan menganalisis sesuatu sebagai fakta. Melalui keutuhan sesuatu fakta itu akan menjanjikan hasil yang agak lumayan dan dipercayai.

Sesuatu perkara yang kita praktikkan bersungguh-sungguh dan dijadikan sebagai kepercayaan maka akan ramailah yang mengikutinya. Di sini keyakinan akan dihasilkan melalui usaha-usaha yang dibuat dengan bersungguh-sungguh. Sekiranya kita tidak menerapkan sesuatu yang kita yakini maka yang pastinya kita hanya memiliki simbolnya sahaja. Kita perlu ingat bahawa bukan simbolnya yang harus diperhitungkan melainkan isinya yang menentukan nilai sesuatu hasil.

"Jangan katakan tentang apa yang harus kita ketahui tetapi tunjukkanlah."

Sunday, April 25, 2010

INDAHNYA BERSIFAT WARAK

Warak ertinya memelihara diri dari hal-hal yang meragukan kerana terjerumus ke dalam hal-hal yang diharamkan. Mengikut Kamus Dewan, ia dieja dengan wara' yang membawa maksud taat dan patuh kepada Allah dan tidak melanggar larangan-Nya. Walaupun terdapat dua maksud dari perkataan warak tetapi di sini saya ingin tumpukan yang maksudnya berkaitan dengan agama iaitu taat dan patuh kepada Allah.

Semasa kecil saya masih teringat bahawa seandainya kita rajin pergi mengaji Al-Quran, rajin pergi ke masjid sewajarnya perkataan warak akan dilabelkan kepada kita. Begitu juga kalau kita sering memakai songkok juga tertakluk sama. Oleh kerana pada masa itu seandainya kita ini telah dilabel dengan warak, maka ramai yang suka kepada kita kerana pasti telah dianggap orang yang baik-baik serta tidak menimbulkan masalah.

Cerita tentang orang-orang yang warak ini sungguh banyak sekali. Diantaranya adalah mengenai Saidina Abu Bakar As-Siddiq;

Pada suatu hari Abu Bakar As-Siddiq telah meminum segelas susu hasil usaha hambanya. Setelah itu ia bertanyakan kepada hambanya dari mana ia perolehi susu itu. Hambanya pun menjawab: "Saya menjadi dukun di suatu kaum lalu mereka memberi saya susu tersebut."

Mendengar penerangan dari hambanya itu, Abu Bakar lalu telah memasukkan jarinya ke tenggorokkannya sehingga hampir-hampir tidak bernyawa lagi. Setelah itu ia memuntahkan isi perutnya seraya berkata: "Ya Allah, Ya Tuhanku, aku memohon ampun kepada-Mu dari apa yang sudah terserap oleh urat dan tercampur dalam usus!"

Perhatikanlah betapa berhati-hatinya beliau terhadap apa yang masuk ke dalam perutnya.

Salah seorang sufi yang terkenal iaitu Sufyan ats Tsaury pernah mengatakan: "Orang yang menafkahkan harta haram di dalam taat kepada Allah adalah diibaratkan seperti orang yang membasuh pakaian yang bernajis dengan menggunakan air najis. Pada hal pakaian yang bernajis itu tidak akan suci kecuali apabila dibasuh dengan air yang bersih dan dosa tidak akan lenyap kecuali dengan makan makanan yang halal."

Diriwayatkan pula dari salah seorang yang soleh, bahawa pada suatu hari ia telah memberikan makanan kepada salah seorang Abdal (pangkat kewalian), namun makanan yang diberikan itu dibiarkan sahaja tidak dimakannya. Maka orang soleh tadi pun bertanya: "Mengapa tuan tidak makan makanan yang saya berikan ini?"

Abdal itu menjawab: "Kami tidak makan kecuali yang halal kerana itulah hati kami menjadi lurus, keadaan kami tetap dan kami boleh menyaksikan alam malakut dan alam akhirat. Kalau kami memakan seperti apa yang kalian makan, tiga sahaja, nescaya akan sirnalahilmu yakin kami dan akan lenyaplah rasa takut dan musyahadah dari dalam hati kami."

Orang yang soleh tadi berkata: "Saya puasa sepanjang tahun dan menamatkan pembacaan Al-Quran setiap bulan tiga puluh kali!"

Abdal menjawab: "Minuman yang tuan lihat saya meminumnya ini, lebih saya gemari daripada tiga puluh kali khatam dalam solat tiga ratus rakaat."

Adapun minuman Abdal itu adalah susu rusa liar.

Lihatlah betapa sangat berhati-hatinya orang yang warak itu memelihara makanannya. Sememangnya, sifat warak itu merupakan suatu kedudukan yang sangat tinggi sekali. Ini dapat dibuktikan oleh hadis-hadis berikut ini;

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik agama kamu adalah warak", dan baginda bersabda lagi yang bermaksud: "Barang siapa menjumpai Allah dalam keadaan warak, nescaya Allah berikan kepadanya pahala Islam semuanya."

Saturday, April 24, 2010

BOSAN ITU AMAT MENYIKSAKAN

"Tidak lagi menengok ke depan atau ke belakang. Aku tetap dalam harap atau takut, namun aku bersyukur dengan segala yang baik yang aku temui. Yang terbaik ada di sinidan pada saat ini."

Jemu
bosan, jelak, muak
Menjemukan
membosankan, menjelakkan, memuakkan
Kejemuan
perihal jemu

Bosan
jemu, sudah tak suka lagi
Membosankan
menjemukan, menjadikan bosan
jemu akan sesuatu, bosan akan sesuatu
Kebosanan
perihal bosan
Pembosan
mudah (lekas bosan)

Perasaan jemu dan bosan memang sentiasa ada pada diri kita dan akan merasuk masuk dalam kehidupan jutaan manusia di dunia ini. Pada ketika rasa jemu dan bosan itu datang, ia akan menjadikan hidup kita melelahkan dan tidak menyenangkan. Ketika kita benar-benar tidak tahu apa yang harus kita lakukan terhadap diri kita sendiri, maka kita telah membiarkan diri kita tenggelam dalam kebosanan. Oleh itu elakkan perasaan jemu dan bosan mengawal diri kita.

Bosan dan jemu menjadi salah satu masalah yang amat ketara di mana-mana negara di dunia masa ini. Penyimpangan yang terjadi di kalangan orang muda merupakan salah satu faktor yang berperanan dalam timbulnya berbagai kejahatan. Kebosanan yang terjadi pada orang dewasa akan membuatnya cepat mati. Hal ini merupakan perosak kehidupan keluarga dan harus diperhitungkan sebagai pemyebab sejumlah besar keluarga yang kucar-kacir.

"Ramai yang sanggup menyiksakan diri mereka sendiri apabila berada dalam kebosanan yang paling kritikal."

Kebosanan adalah penyakit yang tidak dapat disembuhkandengan cara melarikan diri darinya seperti yang dicuba oleh ramai orang dengan cara kahwin muda, berpisah, bercerai, mencari hiburan dan kehidupan serba cepat. Berjuta-juta orang di dunia ini mengambil jalan keliru dengan menjadi pemabuk atau penagih ubat terlarang sebagi usaha sementara untuk lari dari rasa kecewa dan cemas yang datang bersama kebosanan.

Begitu juga dengan para isteri yang sebenarnya tidak perlu bekerja untuk menambah pendapatan suami tetapi mereka melakukannya juga sebagai cara untuk melarikan diri. Cara ini sebenarnya bukanlah penyembuh yang baik untuk menghalau penyakit yang sebenarnya. Cara-cara itu seperti menelan aspirin untuk menyembuhkan patah tulang. Secara umum kita sering memerhatikan akibat dan bukan penyebabnya.

Mendekati diri kita dengan Allah s.w.t. adalah langkah yang terbaik apabila kita dilanda oleh kebosanan dan kekecewaan."

Kebosanan adalah suatu sikap mental yang ditemui pada orang-orang yang tidak mengenal dirinya sendiri. Nyawa kehidupan terlalu berharga untuk dipertaruhkan. Kita harus mengenal diri, apa pun yang harus kita korbankan. Apabila kita memasuki kebanaran dari keadaan diri kita, maka kita menjadi bebas dari perhambaan rasa takut, khuatir, cemas dan bosan.

Wednesday, April 21, 2010

KEMALASAN MEROSAKKAN KEHIDUPAN

Malas adalah bermaksud tidak mahu berbuat apa-apa umpamanya bekerja dan lain-lain. Dari perkataan malas lahirlah perkataan:-
1. Bermalas-malas yang bermaksud duduk dengan tidak membuat sesuatu apa pun, duduk berehat-rehat atau lengah.
2. Memalaskan yang bermaksud menjadikan malas
3. Kemalasan yang bermaksud perihal malas
4. Pemalas yang bermaksud orang yang malas.

Terdapat satu lagi perkataan malas yang memberi maksud yang sungguh berbeza. Malas di sini membawa maksud sejenis burung:-
a) Burung Segan, Caprimulugus indicus jotaka
b) Burung Kubur, Caprimulugus macrurus bimaculatus.

"Secara alamiah manusia digoda oleh syaitan, namun sebaliknya seorang pemalas malah menggoda syaitan."

Kemalasan itu boleh menimbulkan sesuatu yang tidak baik. Ia boleh mewujudkan kejahatan, nasib tidak baik atau menimbulkan masalah kerana ia telah melanggar hukum alam tentang kegiatan. Jika dilihat setiap sesuatu yang terdapat dalam alam ini secara terus menerus bergerak untuk melakukan pelbagai kegiatan. Pergerakan tersebut ada yang nyata pada pandangan mata dan ada yang tidak nyata. Ianya penuh dengan makna dan maksud yang tersirat dan tersurat.

Oleh itu segala material, sama ada yang berbentuk padat, cair mahupun gas adalah terdiri dari proton dan elektron yang terus bergerak pantas. Semua planet dan bintang akan terus menerus tanpa henti menjelajahi langit dalam orbitnya yang tetap. Pergerakan ini akan berterusan tanpa henti dan hanya akan berhenti apabila dunia telah kiamat nanti. Jelaslah kepada kita bahawa tiada sesuatu pun dalam alam ini yang bersifat pemalas.

"Suka atau tidak kita mesti melakukannya."

Kita sewajarnya bersyukurlah kepada Allah s.w.t. kerana memberi nyawa kepada kita. Melalaui nyawa dan kesihatan yang baik kita dapat melakukan sesuatu setiap hari. Setiap pagi ketika bangun tidur kita telah pun mempunyai sesuatu yang harus dilakukan atau kita kerjakan. Perlakukan itu sama ada kita menyukainya atau tidak, kita tiada pilihan lain melainkan mesti melakukannya. Ia boleh diibaratkan sebagai satu paksaan kepada kita dalam kehidupan ini.

Kita akan melalui suatu paksaan untuk bekerja atau melakukan sesuatu pekerjaan. dari sini perkara-perkara yang terbaik dalam diri kita akan menghasilkan kesederhanaan dan juga suatu pengendalian diri. Kerajinan dan kekuatan kehendak dan melahirkan kegembiraan dan juga kepuasan. Semua ini dan pelbagai kebajikan yang lain memerlukan pergerakan yang pasti tidak pernah dialami oleh pemalas.

"Jangan kita membiarkan jiwa kita kelaparan."

Kemalasan fikiran, tubuh atau apa saja akan membawa ke arah kematian. Hinggakan air akan menjadi tercemar apabila ia malas untuk bergerak. Kehidupan dan pertumbuhan akan menjadi subur sekiranya terdapat kegiatan, pergerakan dan pekerjaan. Apabila kemalasan menguasai yang hidup, akan wujudlah suasana yang pudar dalam kehidupan. Pemandangan alam akan hilang serinya dan kita langsung tiada nafsu untuk menikmatinya.

Kegembiraan hidup yang sejati hanya akan datang kepada mereka yang sentiasa terlibat dalam melakukan sesuatu, bekerja, mencipta dan juga menjadikan atau menghasilkan sesuatu yang berfaedah. Melakukan pekerjaan hanya untuk mencari nafkah sebenar tidak cukup untuk kita perkembangkan diri kita selengkapnya. Kita tidak boleh mengembangkan kemampuan otot kita dengan membiarkan fikiran kita terhenti. Kita tidak boleh memerah otak dengan membiarkan tubuh kita terbengkalai.

Kita seharusnya mengembangkan tubuh, fikiran dan jiwa kita melalui penggunaan seharian secara terus menerus. Kita harus berjuang agar ketiga-tiga unsur dalaman kita itu sentiasa aktif terutama dalam program pengembangan. Kemalasan itu boleh dianggap sebagai perosak. Tidak ada yang boleh ditolak pada kerja yang tararahdengan baik. Kemalasan akan membuat kita akan sentiasa kecewa.

Tuesday, April 20, 2010

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 8/2005

Semua Pengarah Pelajaran Negeri

Y. Bhg. Datuk/Dato'/Datu/Tuan/Puan,

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 8/2005 PELAKSANAAN BEKERJA LIMA HARI SEMINGGU.

Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 13 Tahun 2005 yang bertajuk Pelaksanaan Lima Hari Bekerja Seminggu yang berkuatkuasa mulai 1 Julai 2005. Menurut Surat Pekeliling Perkhidmatan tersebut pelaksanaan Lima Hari Bekerja akan dapat memantapkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan serta menggalakkan pembelajaran dan pembangunan diri sepanjang hayat.

2. Kementerian Pelajaran turut mengambil maklum bahawa terdapat banyak program pendidikan yang bersifat akademik dan kokurikulum yang perlu dilaksanakan dalam usaha membangunkan modal insan yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab.

3. Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Bil. 4/2005 telah bersetuju bahawa:-
3.1 Sekolah-sekolah yang telah berjaya melaksanakan program pendidikan (akademik dan kokurikulum) dalam masa lima (5) hari bekerja hendaklah meneruskannya dan,
3.2 Sekolah-sekolah yang menghadapi kesulitan untuk mekalsanakan program pendidikan (akademik dan kokurikulum) dalam masa lima (5) hari bekerja disebabkan faktor seperti kekangan masa, ruang, kepakaran dan lain-lain sebab, boleh menggunakan hari Sabtu dengan syarat TIDAK melebihi dua kali Sabtu dalam sebulan.

4, Kerjasama Y. Bhg. Datuk/Dato'/Datu/Tuan/Puan adalah dipohon untuk mengenalpasti sekolah-sekolah yang menghadapi masalah untuk melaksanakan program pendidikan (akademik dan kokurikulum) dalam tempoh lima hari bekerja dan memaklumkan kepada Bahagian Sekolah supaya langkah-langkah perlu boleh diambil dengan segera untuk mengatasi masalah tersebut.

5. Sila maklumkan kandungan surat pekeliling ikhtisas ini kepada pegawai yang bertanggung-jawab di Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran daerah/Gabungan, Pengetua dan Guru Besar di bawah pentadbiran Y. Bhg. Datuk/Dato/Datu/Tuan/Puan.

Sekian, terima kasih

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA



PERSOALANNYA:-
Ada sekolah yang sentiasa ada program tak kira hari Sabtu atau Ahad. Perkara ini telah terpesong dari pare 3.2 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/2005 Pelaksanaan Bekerja Lima hari Seminggu. Pelbagai aktiviti telah dijalankan bukan sahaja dua kali Sabtu dalam sebulan malahan ada yang sampai lima kali Sabtu sebulan.

Antara aktiviti yang dijalankan:-
1. Hari Kokurikulum
2. Sukan Tahunan
3. Kelas Tambahan
4. Latihan Sukan dan Permainan
5. Kem Bestari Solat
6. Kem Motivasi
7. Gotong Royong
8. Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP)
9. Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ)
10. Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD)
11. Mengemaskini Fail-Fail
12. Mesyuarat Agung PIBG
13. Mesyuarat-Mesyuarat
14. Aktiviti anjuran NGO
15. dan macam-macam lagi aktiviti

AKIBATNYA:-
1. Merenggangkann hubungan suami isteri dan anak-anak
2. Ibu bapa dan keluarga di kampung jarang dijenguk
3. Hubungan dengan jiran tetangga agak renggang
4. Hubungan dengan masyarakat renggang
5. Merasakan ada tekanan dalam pekerjaan
6. dan lain-lain lagi

Amin marah sungguh kerana tiap hari isterinya, cikgu Aminah balik lewat dari sekolah. Aminah sampai di rumah sekitar pukul 3.30 petang hingga 4.00 petang. Apabila ditanya jawapannya tetap sama iaitu "mesyuarat".

"Tak kan hari-hari ada mesyuarat", rengus Amin sambil memandu keretanya ke sekolah isterinya.

Apabila sampai sahaja di sekolah, dilihat banyak kereta guru-guru di sekolah itu masih tercogok di hadapan sekolah. Amin bertanya Pengawal Keselamatan yang berada di pintu pagar sekolah dan jawapannya adalah sama iaitu "mesyuarat".

"Huh, betul le mesyuarat." sekali lagi Amin merengus seolah-olah hilang kepercayaan terhadap isterinya cikgu Aminah.

Hari Sabtu yang lalu, Amin bercadang untuk balik ke kampung. Sudah lama ia tidak menjenguk emak dan ayahnya di kampung. Disebabkan isterinya, cikgu Aminah ada program di sekolah, maka hasratnya untuk balik kampung dibatalkan walaupun anak-anaknya melompat dan menjerit kesukaan kerana balik kampung. Kegembiraan anak-anaknya tidak lama apabila ibu mereka iaitu cikgu Aminah terpaksa ke sekolah hari Sabtu tersebut kerana ada program sekolah.

Petang itu, cikgu Aminah balik lambat lagi. Apabila sampai di rumah, Amin terus menyatakan hasratnya untuk balik kampung pada hari Sabtu nanti sementelah pada hari Isninnya cuti Hari Keputeraan Sultan Perak. Amin dan anak-anak berangan-angan dapat bermalam di kampung sekurang-kurangnya dua malam. Namun angan-angan dan impian Amin dan anak-anaknya berderai apabila cikgu Aminah menyatakan hari Sabtu dan Ahad ada program motivasi di sekolahnya.

"Awak ambil tikar bantal, pegile duduk kat sekolah tuh!" luah Amin kepada isterinya dengan nada yang perlahan tetapi amat menguriskan perasaan cikgu Aminah.

Monday, April 19, 2010

KEBENARAN MENCIPTAKAN KEKUATAN

1
Tugas
Kewajipan sesuatu
(kerja, tanggungjawab dan lain-lain)
yang mesti dilaksanakan,
sesuatu yang ditentukan untuk dikerjakan,
tanggungjawab.

Suruhan untuk melakukan sesuatu
(dari pihak yang berkuasa),
arahan, perentah

Kerja yang dijalankan oleh sesuatu jabatan
(bahagian tubuh dan lain-lain), fungsi.


2
Tugas
Menugas menuduh tanpa sebarang bukti yang nyata

3
Tugas
kencang (angin), kuat, teguh hati, cekal hati

Kali ini saya akan cuba untuk menghurai tugas yang ada pada diri kita agar ianya selari dan sesuai dengan maksudnya di bahagian satu makna tugas itu. Ramai orang memberi maksud tugas itu adalah kerja atau peranan kita dalam sesuatu bidang atau pekerjaan. Umpamanya kalau seseorang itu guru, maka tugasnya adalag untuk mengajar. Sekiranya seseorang itu anggota polis, menjaga keselamatan adalah tugasnya. Begitulah dengan lain-lain kerjaya yang ada di muka bumi ini.

Tugas adalah kata-kata yang paling mudah dalam bahasa manusia. Kita sama sekali tidak boleh berbuat lebih daripada tugas kita kerana kita telah diamanahkan dengan tugas-tugas yang tertentu. Namun begitu tidaklah sepatutnya kita berharap untuk berbuat kurang dari tugas kita. Sebenarnya, apakah yang mempunyai perbatasan tetapi kita tidak seharusnya tidak berbuat kurang dari itu? Kesedaran merupakan tempat bagi tugas dan di situlah kita terikat untuk melakukan segala sesuatu yang benar secara moral.

Tugas sering melampau jalur hukum dan menuntut kita bertindak atau menahan diri meskipun kita tidak terikat untuk melakukannya. Jaritan dan teriakan orang meminta pertolongan telah menuntut kita agar bertindak untuk menghulurkan pertolongan. Itu pun bergantung kepada kemampuan kita yang boleh mengizinkan bantuan diberikan. Sekiranya bantuan yang kita berikan akan memberikan kemudaratan, apakah kita perlu bertarung nyawa kita demi untuk kemanusiaan?

Dalam usaha kita menyelami erti tugas ini, kesedaran adalah merupakan hakim yang baik untuk menentukan sebarang keputusan. Kesedaran adalah satu modal yang terbaik dalam untuk kita membentukkan pembangunan karakter. Begitu juga dalam usaha kita untuk membangunkan diri kita seteguhnya dan dalam pengembangan kemanusiaan yang sejati. Disamping itu kita juga perlu membuat pemahaman yang lebih baik bagi kita mengenal kekuatan jiwa yang ada pada diri setiap manusia.

Kejayaan lebih banyak datang kepada mereka yang telah belajar membezakan baik dan buruk. Oleh itu kalau kita telitikan, kejayaan sering berpihak kepada mereka yang melakukan perkara yang baik. Kejayaan yang lebih besar akan datang kepada mereka yang suka mengabdikan diri dalam pemikran yang mendalam dan juga perbuatan yang mulia. Mereka yang tidak berkira dalam menjalankann tugas biasanya mendapat pembalasan yang terbaik dan sewajarnya. Oleh itu, janganlah kita menyimpan kemampuan kita untuk membuat kebaikan.

Lihatlah di mana-mana ceruk dan pelusuk. Tugas itu akan berada di mana-mana. Kita sebagai hamba ini sebanarnya terikat dengan tugas yang utama iaitu kepada Tuhan. Kita juga terikat dengan diri kita sendiri, ibu bapa kita, keluarga kita, jiran tetangga kita dan seluruh komuniti yang kita dampingi. Tugas kita bolehlah dianggap sebagai wajib kepada seluruh kemanusiaan dan kepada kehidupan kita. Oleh itu lakukanlah tugas kita ke arah yang boleh memberi faedah dan kepentingan semua pihak.

Fakta yang harus selalu dipertimbangkan ialah tugas mempunyai pelbagai syarat. Antaranya adalah yang menuntut kita mengembangkan dan mengerahkan kemampuan terbaik yang ada dalam diri kita. Ia juga perlu dilakukan di setiap tempat dan di setiap saat. Ingatlah bahawa kita tidak mampu berbuat yang lebih dari itu. Dalam perkara ini pepatah ada menyatakan bahawa, "ukurlah baju di badan sendiri."

"Marilah kita memiliki keyakinan bahawa
kebenaran menciptakan kekuatan dan keyakinan
dan dalam keyakinan itu
marilah kita bersungguh-sungguh melakukan tugas kita
sebagaimana yang kita fahami."

Friday, April 16, 2010

BERJIMAT SEBELUM HABIS

"Kemalangan kadang-kadang terasa berat bagi seseorang, namun bagi orang yang boleh menghadapi kemakmuran, ada seratus cara menghadapi kemalangan."

Kemalangan (1) adalah berasal dari perkataan malang yang memberi maksud kecelakaan, kesialan, kerugian atau kesusahan. "Pak Abu telah terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya di Alor Setar.

Kemalangan (2) bermaksud tertimpa malang (celaka) seperti luka-luka atau mati dilanggar kereta, jatuh dari pokok dan lain-lain. "Ada sesiapa antara kawan-kawan yang kemalangan dalam masa ribut besar semalam?"

Setiap manusia mempunyai akal yang dapat membezakannya dengan haiwan. Akal yang digunakan dengan sepenuhnya akan dapat mengelakkan kita dari sesuatu perkara dari berlaku. Oleh itu terdapat ramai manusia mempunyai akal yang sihat untuk bertahan terhadap sejumlah besar kemalangan hidup. Kita pasti dapat menyatakan bahawa petani telah belajar dengan baik untuk menghadapi kemalangan. Mereka menggunakan kebijaksanaan untuk mengatasi masalah yang membuat mereka tidak dapat terus menerus menikmati penghasilan yang melimpah.

Dalam musim tengkujuh, para nelayan tidak dapat turun ke laut. Mereka sepatutnya telah dapat menggunakan akal bagi menghadapi musim tengkujuh tersebut. Di negara yang ada empat musim umpamanya, orang akan bersiap-siap untuk menghadapi musim sejuk (dingin). Mereka akan menyimpan bahan bakar secukupnya. Melapisi paip air minum supaya tidak beku dan sebagainya. Melalui kaedah penyimpanan ini, orang bersiap-siap untuk menghadapi masa-masa yang tidak menyenangkan ini.

Begitu juga dengan diri kita sendiri. Kita menggunakan bekalan yang kita simpan untuk menghadapi peristiwa yang tidak terduga. Masa kita sakit sudah pasti kita sudah tidak lagi produktif. Ramai manusia yang menyiapkan modal besar dengan mengikuti jaminan kesihatan yang dilihat terlalu banyak jenamanya. Kadang kala untuk membuat persiapan di hari muka kita sering tertipu dan akan tertipu. Gunakalah akal untuk mengelakkannya.

Pelbagai cara kita membuat persiapan menghadapi hari tua. Terdapat ramai dikalangan kita ini mempersiapkan hari tua dengan mengikuti insuran nyawa. Insuran nyawa ini bukan sekadar untuk diri sendiri malahan hampir keseluruhan keluarga mereka turut dilindungi. Itulah sebabnya terdapat para pekerja yang melindungi orang-orang yang dicintainya dengan jaminan kematian yang menghasilkan suatu hasil yang agak lumayan.

Terdapat juga manusia yang membiasakan diri mereka untuk membuat percubaan dengan kehidupan mereka. Apabila mereka gagal dalam suatu perkara, mereka akan mencuba kepada perkara yang lain pula. Oleh itu, kemalangan bukanlah suatu kehancuran seperti yang dipercayai oleh kebanyakan manusia. Manusia akan terus mencuba itu dan ini dengan harapan bahawa suatu hari nanti mereka akan berjaya juga dalam satu-satu perkara.

Kemakmuran adalah sebuah cerita yang lain. Semua orang pasti menghendakinya namun hanya segelintir yang dapat mencapainya. Dalam kehidupan manusia, kemakmuran inilah fenomena yang paling aneh. Ia benar-benar mencapai tempat yang ditujunya, namun ianya nampak seakan-akan kemakmuran itu terlalu mudah lenyap. Mengapakah ia boleh terjadi begitu? Soalan ini perlu diajukan kepada diri kita sendiri.

Apa yang menyebabkan hanya sedikit manusia yang dapat bertahan dalam kemakmuran adalah disebabkan mereka tidak bersedia untuk menghadapinya. Kemakmuran memerlukan tapak yang kukuh dan modal terbaik yang ada di dalam diri kita. Ketabahan dan kepastian yang murni telah membawa ramai orang dari masa kemalangan hidup. Kemakmuran hanya memberikan buahnya dan menjadi kekal pada orang yang teguh iaitu orang yang kemanusiaannya berkembang sepenuhnya.

Wednesday, April 14, 2010

MANUSIA MUDAH LUPA AKIBAT NAFSU

"Jangan sesekali kita menyerahkan akal dan tubuh badan kita kepada tingkah dan nafsu dunia yang mencabar ini."

1
Serah = berserah
bergantung nasib diri atau memulangkan nasib.
Menyerah
menggantungkan nasib, bertawakkal atau berserah.
Menyerahi
Memberikan (mengamanahkan) sesuatu
Menyerahkan
Memberikan (mengunjukkan dan menyampaikan) sesuatu
Terserah
Diserahkan (diberikan)
Serahan
Apa yang diserahkan
Penyerahan
Perihal menyerahkan (mempercayakan dan mengamanahkan

2
Serah = Terserah-serah
Tergopoh-gopoh atau tergesa-gesa

3
Serah
Sejenis penyakit (begok)
(Warna) Merah
Serahi
Botol yang panjang lehernya

Menyerah kalah tanpa usaha? Sanggupkah kita? Penyerahan adalah keadaan menyerah dengan tanpa kita melakukan apa-apa usaha. Untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku, sewajarnya kita sentiasa melawan penyerahan seperti ini. Oleh itu tanamkanlah suatu peraturan tegas dalam menjalankan kehidupan kita. Melalui latihan mendisiplinkan diri dan pengendalian diri, kita dapat seimbangkan semua nafsu yang ada dalam diri kita.

Ramai manusia tidak tahu bahawa mereka dapat mengendalikan jiwa mereka dengan keinginan. Disamping itu, sudah tentu ada pula orang yang benar-benar tidak mempedulikannya. Mereka ini lebih memilih hidup dengan menjadi hamba naluri mereka. Mereka sering mengelak dari menjadi penguasa bagi segala situasi. Mengambil jalan mudah atau senang adalah menjadi pilihan mereka dalam menghadapi situasi yang mengandungi masalah.

"Rumah adalah suatu tempat yang memberikan keberkatan hidup seperti keharmonian , pengertian, pertimbangan dan cinta."

Banyak sekali contoh yang boleh kita temui dalam kehiduapan kita yang menyentuh tentang kemampuan dalam mengendalikan fikiran. Umpamanya, sepasang suami isteri yang sedang bertengkar dengan hebatnya pada pagi hari di tempat tinggalnya. Di sini saya tidak akan menyebutnya sebagai rumah melainkan saya sebutkan tempat tinggal kerana rumah adalah tempat kita menciptakan syurga di bumi ini.

Dalam keadaan situasi pertengkaran yang terus menegang tiba-tiba kedengaran loceng pintu rumah mereka berbunyi menandakan ada tetamu yang hadir berkunjung. Di luar, kelihatan oleh mereka, rakan si isteri bersama suaminya datang berkunjung. Suami isteri yang sedang bertengkar sebentar tadi segera sedar kembali akan tingkah laku mereka. Mereka terus membuka pintu dan mempersilakan tetamu itu masuk.

"Tindakan akal seseorang itu apabila positif akan dapat mengubah rasa permusuhan dan benci menjadi keramahan dan kasih sayang."

Mereka semua terus bersembang dan berbual-bual dengan penuh mesra sambil menikmati hidangan yang disediakan. Langsung tiada tanda-tanda permusuhan, sakit hati atau rasa tidak senang di antara sepasang suami isteri yang telah bertengkar sebelum kunjungan tetamu tersebut. Apakah yang terjadi? Ini menunjukan suami dan isteri telah dapat menguasai kembali fikiran mereka masing-masing. Akal mereka telah diarahkan kembali kepada positif.

Secara umumnya kita sering akan berbuat sesuatu demi untuk menyelamatkan nama baik kita. Namun begitu, kita juga sering mengabaikan penguasaan fikiran kita dalam kehidupan kita ini. Penguasaan fikiran itu ialah mengembangkan karakter kita dalam kehidupan. Karakter itu adalah sesuatu yang nyata bagi kita. Karakter adalah sesuatu yang seharusnya kita utamakan dan kita perhitungkan sebaik-baiknya dalam kehidupan kita.

"Kita terlalu mudah untuk melupakan karakter diri kita apatah lagi apabila nafsu dunia mula menguasai diri kita."

Tuesday, April 13, 2010

BERANI MENJADI DIRI SENDIRI

"Berani, memberanikan, keberanian dan pemberani"

Perkataan berani boleh membawa dua maksud yang amat berbeza:-
1. Gagah (bukan pengecut), perkasa, tidak takut, tabah menghadapi bahaya bahaya (kesulitan dan lain-lain).
2. Batu iaitu besi yang mempunyai tenaga untuk menarik besi lain (mengandungi kuasa letrik)

"Alam memberikan berkatnya bagi setiap kelahiran baru."

Berani akan lahir dari dalam diri kita sendiri. Kita boleh meletakkan diri kita dalam pelbagai kategori seperti berani mati, berani lalat, berani ke hadapan dan lain-lain. Apa yang paling penting ialah kita berani untuk menjadi diri kita sendiri. Kita juga sepatutnya berani untuk menjadi yang lain atau berbeza terutama apabila kita diperlukan. Oleh itu kita perlu berani untuk menjadi yang pertama atau yang asli.

Dalam memperkatakan berani ini, kita mesti berani untuk menjadi "pencipta" bagi pemikiran kita sendiri. Kita perlu berani menempuh jalan kita sendiri. Berani menciptakan jalan yang kita ingin lalui. Kita boleh memilih antara dua iaitu berani untuk meninggalkan jasa atau kita sama sekali tidak berbuat apa sama sekali dan tidak akan memberi apa jasa bagi dunia atas disebabkan kita tidak berani.

"Kejayaan seseorang itu tidak dapat benar-benar ditiru secara tepat."

Tidak ada satu pekerjaan pun di dunia ini yang mempunyai potensi pengurusan wang yang hebat seperti bidang bisnis (perniagaan) atau usahawan. Kita sangat sukar untuk membatasi kemampuan usahawan untuk menghasilkan komisyen. Terlalu ramai usahawan yang menulis buku tentang kejayaan mereka dalam bidang-bidang yang mereka ceburi. Namun begitu, terlalu sedikit pula orang yang dapat meniru langkah-langkah kejayaan mereka.

Masa kini terlalu ramai yang nampaknya berjaya. Penampilan diri mereka amat menakjubkan dengan kehidupan secara mewah seperti berkereta mewah, tumah yang besar dan sebagainya. Sebenarnya mereka ada yang tidak berjaya sama sekali. Mereka ini semata-mata cuma dapat mempamerkan bahawa mereka mampu menghasilkan banyak wang. Mereka amat berbeza antara dalaman dengan luaran.

"Jangan terperangkap melalui sekuntum senyuman yang manis bak madu."

Manusia boleh memenuhi beberapa peraturan sederhana dalam hidup itu dengan menggunakan beberapa prinsip praktikal yang teguh untuk berjaya. Kedudukan kita yang nampak mewah oleh komuniti bukanlah ukuran yang sebenar kejayaan kita dalam kehidupan ini. Kereta mewah yang menjalar atau tersadai di garaj tidak semestinya bererti kita makmur. Senyuman yang terukir di biibir tidak selalunya menjanjikan tanda kebahagiaan.

Secara keseluruhan setiap rumusan kejayaan itu adalah sama seperti rumusan-rumusan yang lain. Ia tidak boleh hanya berdasarkan kepada satu perkara sahaja. Berbagai peraturan boleh sahaja dibuat dengan berdasarkan kehidupan berbagai orang yang berjaya. Berdasarkan kepada mereka yang telah mencatatkan nama di dunia. Namun secara individu kita seharusnya berani menerapkan peraturan peraturan itu dengan jati diri kita yang benar-benar asli.

"Temuilah dan kita menemukan cara yang lebih baik."

Kita sewajarnya dapat memahami bahawa keaslian boleh memberikan cara yang lebih baik dalam melakukan sesuatu. Oleh itu, setiap tindakan kita seharusnya meninggalkan jejak ciri khas yang merupakan penghasilan dari perkara terbaik yang ada dalam diri kita. Kita tidak perlu meniru orang lain bila kita telah menemui "takar emas" yang ada dalam diri kita sendiri. Beranilah kita menggalinya dan pastinya kita akan menemuinya.

Friday, April 9, 2010

KECERIAAN ADALAH JIWA UTAMA KEJAYAAN

"Watak ceria adalah jiwa utama kejayaan."

Perkataan gembira agak bersamaan dengan perkataan bergembira (ditambah imbuhan ber) yang membawa maksud sangat suka, sangat girang dan besar hati.
Contoh ayat:-
"Saya sangat suka dan saya sangat gembira," katanya kepada saya setelah mendapat keputusan yang mengembirakan dalam SPMnya.

Manakala bergembira pula memberi erti bangga dan berani. Kegembiraan juga adalah hasil dari perkataan gembira yang bermaksud kesukaan, kegirangan, kebanggaan dan keberanian.
Contoh ayat:-
"Tidak ada kata-kata yang hendak dilahirkan bagi menyatakan kegembiraan di hati saya," katanya setelah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Kebangsaan.

Satu lagi perkataan gembira yang telah diberi imbuhan ialah menggembirakan. Perkataan menggembirakan ini membawa maksud, menimbulkan perasaan gembira, membawa kegembiraan, memberanikan dan menggiatkan.
Contoh ayat:-
"Kenangannya melayang kepada sambutan hari Raya yang sungguh mengembirakan itu."

Dalam kita menghadapi pelbagai isu masa kini, kita sering dapat melihat kegembiraan masih terpancar di wajah seseorang. Kita akan tertanya-tanya bagaimana ia boleh sedemikian pada hal kegawatan ekonomi pasti menggugat pendapatannya. Begitu juga dengan situasi politik masa kini juga boleh menjadikan kita kepanasan. Kedua-dua situsai ini boleh menjadikan gegala sosial bermaharajalela akibat kesempitan segalanya dalam kehidupan.

"Bagaimana anda boleh begitu bahagia berada dalam suasana yang penuh cubaan ini?" Adakah persoalan ini sering dikemukakan ketika perjalanan kehidupan kita yang berliku, penuh onak dan duri ini? Bagaimanakah jawapan yang boleh kita berikan di atas kepada mereka yang membuat pertanyaan seperti itu? Sungguh amat menyulitkan kerana sewajarnya kita akan memberi jawapan yang betul-betul ikhlas.

"Keceriaan adalah sesuatu yang fitrah pada hati seseorang yang sihat."

Sesungguhnya bagaimanapun keadaan kita sama ada kita gembira, kita ceria, kita bahagia atau kita bersemangat tinggi ia adalah merupakan suatu keadaan yang benar-benar tabii. Ia juga merupakan satu fitrah pada diri seseorang yang telah pun mengenali dirinya. Mengenali diri sendiri itu perlu bagi seseorang itu kerana selepas itu ia perlu mengenali orang lain terutama mengenali komunitinya.

Disebabkan kekurangan dalam penemuan dirinya sendiri, ramai orang telah mengalihkan perhatian mereka kepada perkara-perkara luaran. Mereka menumpukan kepada hal-hal material bagi mengisikan batin mereka yang sama sekali tidak gembira. Umpamanya mereka sanggup menghabiskan begitu banyak wang untuk minuman keras. Sebenarnya mereka tahu minuman keras boleh membahayakan kesihatan. Apatah lagi bagi mereka yang mengaku Islam minuman itulah diteguk mereka dengan harapan dapat membuka pintu kegembiraan meskipun sifatnya hanya sementara.

"Mencapai cita-cita itu adalah suatu anugerah dalam kehidupan kita."

Kenyataannya adalah bahawa kegembiraan itu biasanya terbuka apabila kita telah mengenal diri kita yang sebenarnya. Kegembiraan itu sebenarnya bersifat dalaman. Ianya terdapat dalam batin kita. Kita perlu mewujudkan kegembiraan itu dalam setiap perkara yang kita lakukan. Kita harus mengenali diri sendiri dan setelah itu kita perlu memutuskan tujuan hidup kita dengan menyedari bahawa kita boleh mencapai cita-cita itu sebagai suatu anugerah hidup.

Meskipun perjalanan itu penuh dengan tentangan dan banyak sekali penghalang ia mesti juga dilalui. Onak dan ranjau ditempuhi di sepanjang jalan yang berliku perlu kita teruskan langkah kita tanpa mempedulikan semua itu. Biarkan cuaca yang mendinginkan di luar sana tetapi tubuh kita ini boleh dihangatkan dengan cahaya kegembiraan yang ada dalam batin kita. Yakinlah diri, teruskan perjalanan dengan penuh keinsafan. Maju setapak demi setapak dengan penuh waspada agar kita tidak terjerumus di liku-liku perjalanan kehidupan kita.

"Cahaya kegembiraan itu akan terpancar dari dalam batin kita."

Wednesday, April 7, 2010

KEJAYAAN ADALAH MELALUI KESULITAN

"Kesulitan menunjukkan manusia yang bagaimana kita."

Sulit adalah bermaksud dirahsiakan, tersembunyi dan rahsia. Sulit juga membawa maksud tidak terang-terangan atau gelap. Selain daripada itu ia juga bermaksud jarang terdapat atau bertemu, susah dicari, sukar, payah dan susah. Dari perkataan sulit akan lahir pula perkataan "menyulitkan", "mempersulit", "mempersulitkan" dan "kesulitan". Bila dikatakan sulit sudah pasti ada ketikanya menjaga maruah diri seseorang.

Kita sering tertanya-tanya mengapakah perlunya kita melalui pelbagai kesulitan untuk kita mencapai kejayaan? Pada pendapat saya, ia sama sekali tidak boleh ingat apakah ada satu kejayaan dalam hidup yang kita perolehi tanpa melalui kesulitan dan pergorbanan? Setiap kejayaan yang dicapai itu pasti ada kesulitan sebelumnya. Semakin besar kejayaan yang kita perolehi atau kita capai maka semakin sulitlah pula perjuangannya.

"Semua manusia ditakdirkan untuk berjaya, jika mereka mempunyai kemahuan untuk membayar harganya."

Ingatlah bahawa apa yang kita perolehi itu sudah pasti akan melalui sesuatu tindakan yang perlu kita lakukan. Tidak ada suatu pun yang kita perolehi tanpa kita berbuat apa-apa pun. Seseorang yang ingin berjaya tetapi ingin melalui jalan pintas biasanya akan menemui kegagalan. Itulah sebabnya ramai orang yang terpenjara kerana ingin berjaya dengan jalan yang mereka anggap Kita perlu bertanya pada diri kita sendiri, apakah kita akan dapat menuaikan hasil sekiranya kita tidak terlebih dahulu menanam benihnya?

Contoh yang paling mudah ialah dengan melihat pasangan suami isteri yang muda. Pada saya, tidak ada sebarang pasangan muda yang boleh menikmati perkahwinan kekal kalau mereka itu tidak berkemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab yang diperlukan dalam perkahwinan. Begitu juga kalau kita mengambil contoh dalam kerjaya. Seseorang yang berjaya dalam kerjaya itu tidak akan berjaya seandainya ianya masih berpeluk tubuh dengan tanpa membuat sesuatu terhadap kerjayanya.

"Ketahanan diri bermula dari kebiasaan dan kesulitan yang sentiasa menguasai diri."

Dalam menghadapi kesulitan dan perjuangan ini, anggota tubuh badan kita juga tidak terkecuali. Lengan tidak mempunyai alasan untuk bergerak maka otot-ototnya tidak akan menjadi kuat. Akal dan tubuh kita perlu menghadapi masalah dan kesulitan supaya ia menjadi kuat dan mantap. Kekuatan yang lahir pada akal dan tubuh itu akan menyesuaikan dengan perubahan-peruabahan yang berlaku disekelilingnya.

"Cuaca tidak selalu nyaman. Lautan tidak selalu tenang."

Setiap sebuah kapal itu pasti ada nakhoda dan kelasinya. Merekalah yang bertanggungjawab ke atas kapal tersebut. Ombak yang menggunung dan disertai dengan badai yang menggila adalah merupakan ujian pada mereka. Ujian seperti itu mesti ditempuhi selagi mereka berada di lautan. Angin, air dan gelombang yang melanda selama berjam-jam malahan berhari-hari menjadikan suatu kesulitan dalam pelayaran.

Gelombang yang kuat boleh menghancurkan kapal yang kecil lagi lemah. Kapal akan pecah berkeping-kepingan terus karam. Segala kelengkapan yang tidak terikat erat pada kapal akan terpelanting berhamburan. Apabila badai telah berhenti, kapal yang kuat dikendalikan oleh nakhoda yang cekap bersama kelasinya yang tabah akan dapat meneruskan pelayaran setelah menguasai tentangan yang datang begitu hebat.

"Hidup tidak hanya terdiri dari bunga mawar, namun ada juga duri-durinya."

Oleh itu kita perlu ingat bahawa semakin banyak pendapatan yang kita terima maka sudah tentu semakin berat dan sukarnya jalan yang harus kita tempuhi. Apabila kita menyedari hakikat ini dan kita pun telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang tugas, maka separuh kemenangan sudah pasti ada dalam genggaman. Kesulitan itu selalunya menyerah kepada kerajinan namun terlalu sedikit manusia yang mengetahuinya.

Bagi mereka yang mempunyai perasaan rendah diri pasti akan merasai kekurangan. Mereka ini kurang memiliki ketabahan dan keyakinan yang diperlukan. Ketabahan dan keyakinan perlu ada untuk kita menghadapi sebarang kesulitan di tengah jalan walau pun kesulitan yang paling mudah. Kita seharusnya belajar untuk menguasai semua itu untuk dijadikan pengalaman dan kekuatan yang kita perlukan. Pengalaman dan kekuatan yang dimiliki itulah yang akan dapat menundukkan segala sesuatu yang menghalang perjalanan kita untuk kita menuju kejayaan.

"Tolehlah ke belakang tetapi jangan melangkah."

Monday, April 5, 2010

MENGENALI PRESTASI KERJA

"teliti, meneliti, ketelitian, penelitian dan peneliti."

Teliti sama juga cermat (melakukan sesuatu), hemat, saksama. Disamping itu ia juga membawa maksud dengan bersungguh-sungguh, hati-hati dan waspada. Meneliti berasal dari perkataan teliti yang bermaksud memeriksa (mengkaji, menyelidik) dengan cermat. Maksud yang lain ialah memerhati dengan bersungguh-sungguh atau memandang dengan tepat.

Perkataan yang seterusnya dari perkataan teliti ialah ketelitian iaitu perihal teliti, kecermatan dan kesaksamaan. Bagi penelitian pula bermaksud perihal (kerja dan sebagainya) meneliti, pengkajian dan pemeriksaan. Peneliti pula dijuruskan kepada orang yang meneliti, penyelidik, pengkaji dan juga pemeriksa.

"Segala sesuatu yang berharga untuk dilakukan adalah berharga untuk dilakukan dengan baik."

Penelitian dan ketrampilan adalah diperlukan untuk memperolehi kejayaan. Melalui penelitian sesuatu usaha atau kerja itu akan dilakukan dengan bersungguh sehingga mencapai kejayaan. Ketrampilan pula meletakkan bagaimana kita boleh melakukannya sehingga berjaya. Dalam masa yang tergesa-gesa dan sia-sia ini, kita perlu mempertimbangkan secara mendalam mengenai mutu usaha manusia itu.

Seharusnya kita secara teliti untuk meneliti jiwa kita sendiri. Apabila kita telah meneliti jiwa barulah kita dapat mengenali diri kita sendiri. Untuk mengenali diri sendiri, kita seharusnya mencapai pemahaman yang lebih mendalam tentang keadaan diri kita. Mengenali diri kita sendiri adalah wajar. Kita semestinya dan wajar mengetahui siapakah sebenarnya diri kita ini.

"Adakah kita sanggup menjadi debu yang diterbang angin ke merata-rata?"

Kita harus membuat keputusan tentang apa yang kita kehendaki dalam hidup ini. Apabila kita mengenali diri, kita menjadi sedar bahawa kita tidak secara kebetulan berada di dunia ini. Jangan kita membiarkan diri kita ini terumbang ambing di tengah lautan kehidupan. Jangan kita biarkan terlempar ke sana sini serta dibawa angin, gelombang dan badai. Kita harus cermat dalam wawasan kita tentang peribadi bagaimanakah yang kita inginkan bagi diri kita sendiri.

Seterusnya kita harus cermat dan teguh dengan hasrat meningkatkan diri kita. Kuatkan azam dan tekad agar hasrat kita menjadi kuat dan jitu. Hasrat yang tetap membara yang ada dalam jiwa akan menggerakkan kita ke landasan kejayaan dan hala tuju kita akan kita capai. Betapakah indahnya apabila kejayaan dapat diperolehi dan betapakah nikmatnya hidup kita ini apabila perjalanan yang dilalui mengikut landasan tanpa tergelincir.

"Seharusnya kita dapat mengelak dari terus tergelincir apabila landasan yang kita buat itu adalah kukuh."

Perancangan kita seharusnya dibuat dengan cermat dan teliti. Setiap panduan seharusnya kita patuhi dan ikuti untuk mencapai sasaran. Tujuan yang berharga sahaja tidak memadai dalam hidup ini tanpa adanya langkah yang teliti ketika berusaha untuk mencapai sasaran. Oleh itu, kita seharusnya cermat dalam membuat panduan itu.

Kita seharusnya menggarap rancangan itu dan secara cermat menjelmakan setiap perincian kecilnya. Berjaya atau tidaknya adalah bergantung kepada kecermatan kita dalam usaha kita melaksanakannya. Kita akan pastinya akan kecewa apabila setiap langkah yang telah kita buat tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.

Ketelitian bukanlah suatu seni yang pudar bersama dengan pudarnya ketrampilan kerana usia separuh tua. Ketelitian adalah bersifat hakiki untuk mendapatkan kejayaan hari ini seperti kejayaan yang diperolehi kelmarin. Prinsip kejayaan adalah prinsip yang tidak mengenal waktu. seperti kelmarin, hari ini juga ciri khas kita adalah ditentukan oleh mutu kerja kita.

"Ciri khas diri kita terdapat dalam mutu pekerjaan kita."

Saturday, April 3, 2010

MEMANDU DIRI KITA SENDIRI

"Rahsia sepenuhnya sesuatu itu adalah
melakukannya sekarang juga."

Perkataan "tunda" yang sering kita ucapkan itu memberi tiga maksud yang jauh berbeza. Begitu juga sekiranya ia ditambah dengan imbuhan di awal, di akhir atau pun kedua-duanya. Pertama ia memberi bermaksud sesuatu yang ditarik dengan tali di belakang perahu. Kedua maksudnya tangguh dan ketiga maksudnya tolak dari belakang atau pun sorong.

Menunda adalah berasal dari perkataan tunda. Oleh itu menunda adalah bermaksud melambat atau menangguhkan sesuatu. Oleh itu, sekiranya kita seorang yang penunda maka jelas ia akan melambangkan bahawa kita sudah berniat untuk mengerjakan sesuatu pada keesokannya padahal sewajarnya diselesaikan hari itu juga.

"kerja bertangguh tidak menjadi."

Berlakunya kita menundakan sesuatu kerja atau sebagainya adalah disebabkan dari kemalasan. Ia juga akibat dari ketidakmampuan kita untuk berfikir secara jelas dan tepat yang membuat orang terhalang untuk melatih pengendalian diri yang diperlukan agar berjaya dalam hidup. Buangkanlah rasa kemalasan itu dari diri kita agar kita dapat meneruskan perjalanan dalam kehidupan kita.

Apabila kita ingin berkaraoke, kita seharusnya membayar kepada pusat karaoke. Begitu juga sekiranya kita ingin berjaya, kita harus mengeluarkan segala yang diperlukan untuk kejayaan. Kita perlu tahu bahawa, tidak ada perkembangan, baik fizikal mahu pun intelektual, kalau tidak ada usaha. Usaha itu bererti bekerja. Bekerja bukanlah hina, melainkan hak istimewa kecerdasan, satu-satunya cara jalan menuju keinsanan dan merupakan ukuran peradaban.

"Segala bentuk pertumbuhan bergantung kepada kegiatan."

Kegiatan adalah hukum alam. Kita sewajarnya bersedia dan berbuat sesuatu sekiranya kita mahu bergerak sesuai dengan arah hasrat hati kita. Perjalanan dalam kehidupan kita seharusnya diteruskan, apabila kita melakukan perjalanan kehidupan dengan maksud untuk sampai ke distinasi. Bersedialah kita untuk melakukan perubahan dalam kehidupan.

Manusia yang dikurniakan akal dan akal itu adalah satu-satunya perkara yang memungkinkan kita mengendalikan diri. Kita tidak boleh mewakilkan kepada sesiapa pun kerana tiada seorang pun yang mampu melakukannya untuk kita. Kita adalah pengendali bagi diri kita sendiri. Oleh itu kita adalah tuan atau boss bagi diri kita sendiri. Kita mengawal diri kita dengan teguh dan sempurna melalui akal.

"Kita sewajarnya melakukannya sekarang
atau tidak melakukannya sama sekali."


Tiada waktu lain untuk bertindak atau melakukan sesuatu. Lakukanlah sekarang juga tanpa menunda atau menangguhkannya. Kita tidak dapat mengulangi waktu kelmarin iaitu waktu yang telah pun berlalu. Kita juga tidak boleh meminjam hari esok untuk kita melakukannya sekarang. Setiap detik yang dikurniakan kepada kita hanya sekali sehaja. Kita gunakan waktu itu atau kita akan kehilangannya. Kita perlu bertindak sekarang kerana kesempatan itu akan hilang selamanya.

Kejayaan tidak akan dikecapi begitu sahaja. Kejayaan hidup yang dinikmati adalah sesuai dengan rancangan dan rencananya. Ramai orang yang mendapati kenyataan bahawa persiapan seharian yang disusun berdasarkan kepentingan boleh membantu. Namun begitu, setiap rancangan tidak akan menjadi kenyataan bila kita tidak menggarapnya. Apatah lagi bila kita tidak berusaha untuk menzahirkannya, Juga bila kita tidak melakukannya sekarang.

"Kita tidak boleh menunda atau menangguhkannya,
kita perlu melakukan sekarang."

Friday, April 2, 2010

KEBAHAGIAAN ADA DALAM DIRI SENDIRI

"Angin dan ombak selalu berada di sisi ahli pelayaran terbaik."

Sejahtera bermaksud aman dan makmur, senang dan tenteram, terpelihara daripada bencana iaitu kesusahan, gangguan dan lain-lain. Namun begitu apabila perkataan sejahtera itu diberikan imbuhan baik di awal atau di akhir atau kedua-duanya ia tetap akan memberi maksud yang hampir sama.

Kesejahteraan pula memberi penekanan kepada berbagai maksud. Umpamanya kepada keselamatan, kesenangan hidup, kesentosaan dan juga ketenteraman. Kesemuanya itu adalah menjurus kepada kehidupan manusia. Oleh itu, untuk mencapai kesejahteraan kita sewajarnya melakukan sesuatu agar hasilnya itu dapat kita nikmati.

"Ya, Allah! Ya, Tuhanku!
Kau kurniakanlah kesejahteraan di dunia dan di akhirat
kepada aku, ibu bapaku, keluarga ku dan
semua muslimin dan muslimat.
Amin."

Kesejahteraan adalah tercipta untuk manusia. Oleh itu, manusia itu sendirilah yang perlu berusaha untuk mengecapi erti kesejahteraan itu. Tindak ada mana-mana pemerintah pun yang boleh lebih baik dalam menciptakan kesejahteraan. Kesejahteraan itu tercipta adalah dengan usaha setiap individu masa kini dan akan datang.

Terdapat perbezaan citi-cita dan sasaran hidup. Begitu jugalah untuk mendapat kesejahteraan, kita bebas dan tidak akan boleh mendapatkan penggantinya. Kita bebas berusaha, berinisiatif secara peribadi untuk memilikinya. Tiada sesiapa yang boleh menghalang hak kita untuk menikmati kesejahteraan dalam kehidupan kita.

"Meskipun manusia dianggap tidak dapat
mengetahui kelemahannya sendiri
namun masih ada orang yang tahu kekuatannya."

Kita perlu melihat diri kita sendiri untuk mendapatkan bantuan yang kita perlukan. Bantuan amat jarang sekali atau tidak mungkin boleh diperolehi dari luar. Bantuan nyata yang kita perlukan untuk mencapai kesejahteraan dalam hidup inti adalah terletak di tangan atau dalam diri kita sendiri. Mengapa perlu ada simpati dari orang dari untuk kesejateraan kita?

Di dalam diri semua orang terdapat kekuatan untuk memenuhi segala keperluan manusia. Terlalu ramai manusia yang mempunyai pendapat yang keliru bahawa kekuatan seperti itu hanya ada pada pemerintah. sebenarnya, yang terdapat di sana hanyalah material yang mula-mula diperolehi dari rakyat. Tanyakan diri sendiri, mengapakah aku dilahirkan?

"Di dalam diri manusia sama seperti di dalam tanah,
terdapat suatu yang paling berharga
yang hanya diketahui oleh pemiliknya."

Manusia masa kini memerlukan masyarakat bukanlah dengan kata-kata. Memiliki masyarakat ideal seperti ini hanya ada dalam angan-angan. Masing-masing, setiap satunya adalah perlu menemukan, mengembangkan dan menggunakan seluruh kekuatan yang sebenarnya ada dalam kita semua. Kita harus memulai sekarang juga dan bukan sebaliknya cuba dengan berbagai cara untuk menceroboh hak orang lain.

Kesejahteraan umat manusia yang dirumuskan oleh para wakil rakyat dan perundangan itu sebenarnya merupakan suatu pertukaran yang sederhana sahaja. Terlalu jauh berbeza jika dibandingkan dengan "takar emas" di dalam diri kita yang tidak akan habis digali. Kita harus menjadi Columbus bagi jiwa kita sendiri dan dapat menemukan sumber yang sangat subur dalam diri kita masing-masing.

"Janji-janji sebelum pilihanraya
tidak akan memberi kebahagiaan kepada pengundi,
apatah lagi janji tinggal janji."