Friday, April 9, 2010

KECERIAAN ADALAH JIWA UTAMA KEJAYAAN

"Watak ceria adalah jiwa utama kejayaan."

Perkataan gembira agak bersamaan dengan perkataan bergembira (ditambah imbuhan ber) yang membawa maksud sangat suka, sangat girang dan besar hati.
Contoh ayat:-
"Saya sangat suka dan saya sangat gembira," katanya kepada saya setelah mendapat keputusan yang mengembirakan dalam SPMnya.

Manakala bergembira pula memberi erti bangga dan berani. Kegembiraan juga adalah hasil dari perkataan gembira yang bermaksud kesukaan, kegirangan, kebanggaan dan keberanian.
Contoh ayat:-
"Tidak ada kata-kata yang hendak dilahirkan bagi menyatakan kegembiraan di hati saya," katanya setelah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Kebangsaan.

Satu lagi perkataan gembira yang telah diberi imbuhan ialah menggembirakan. Perkataan menggembirakan ini membawa maksud, menimbulkan perasaan gembira, membawa kegembiraan, memberanikan dan menggiatkan.
Contoh ayat:-
"Kenangannya melayang kepada sambutan hari Raya yang sungguh mengembirakan itu."

Dalam kita menghadapi pelbagai isu masa kini, kita sering dapat melihat kegembiraan masih terpancar di wajah seseorang. Kita akan tertanya-tanya bagaimana ia boleh sedemikian pada hal kegawatan ekonomi pasti menggugat pendapatannya. Begitu juga dengan situasi politik masa kini juga boleh menjadikan kita kepanasan. Kedua-dua situsai ini boleh menjadikan gegala sosial bermaharajalela akibat kesempitan segalanya dalam kehidupan.

"Bagaimana anda boleh begitu bahagia berada dalam suasana yang penuh cubaan ini?" Adakah persoalan ini sering dikemukakan ketika perjalanan kehidupan kita yang berliku, penuh onak dan duri ini? Bagaimanakah jawapan yang boleh kita berikan di atas kepada mereka yang membuat pertanyaan seperti itu? Sungguh amat menyulitkan kerana sewajarnya kita akan memberi jawapan yang betul-betul ikhlas.

"Keceriaan adalah sesuatu yang fitrah pada hati seseorang yang sihat."

Sesungguhnya bagaimanapun keadaan kita sama ada kita gembira, kita ceria, kita bahagia atau kita bersemangat tinggi ia adalah merupakan suatu keadaan yang benar-benar tabii. Ia juga merupakan satu fitrah pada diri seseorang yang telah pun mengenali dirinya. Mengenali diri sendiri itu perlu bagi seseorang itu kerana selepas itu ia perlu mengenali orang lain terutama mengenali komunitinya.

Disebabkan kekurangan dalam penemuan dirinya sendiri, ramai orang telah mengalihkan perhatian mereka kepada perkara-perkara luaran. Mereka menumpukan kepada hal-hal material bagi mengisikan batin mereka yang sama sekali tidak gembira. Umpamanya mereka sanggup menghabiskan begitu banyak wang untuk minuman keras. Sebenarnya mereka tahu minuman keras boleh membahayakan kesihatan. Apatah lagi bagi mereka yang mengaku Islam minuman itulah diteguk mereka dengan harapan dapat membuka pintu kegembiraan meskipun sifatnya hanya sementara.

"Mencapai cita-cita itu adalah suatu anugerah dalam kehidupan kita."

Kenyataannya adalah bahawa kegembiraan itu biasanya terbuka apabila kita telah mengenal diri kita yang sebenarnya. Kegembiraan itu sebenarnya bersifat dalaman. Ianya terdapat dalam batin kita. Kita perlu mewujudkan kegembiraan itu dalam setiap perkara yang kita lakukan. Kita harus mengenali diri sendiri dan setelah itu kita perlu memutuskan tujuan hidup kita dengan menyedari bahawa kita boleh mencapai cita-cita itu sebagai suatu anugerah hidup.

Meskipun perjalanan itu penuh dengan tentangan dan banyak sekali penghalang ia mesti juga dilalui. Onak dan ranjau ditempuhi di sepanjang jalan yang berliku perlu kita teruskan langkah kita tanpa mempedulikan semua itu. Biarkan cuaca yang mendinginkan di luar sana tetapi tubuh kita ini boleh dihangatkan dengan cahaya kegembiraan yang ada dalam batin kita. Yakinlah diri, teruskan perjalanan dengan penuh keinsafan. Maju setapak demi setapak dengan penuh waspada agar kita tidak terjerumus di liku-liku perjalanan kehidupan kita.

"Cahaya kegembiraan itu akan terpancar dari dalam batin kita."

No comments: