Saturday, April 3, 2010

MEMANDU DIRI KITA SENDIRI

"Rahsia sepenuhnya sesuatu itu adalah
melakukannya sekarang juga."

Perkataan "tunda" yang sering kita ucapkan itu memberi tiga maksud yang jauh berbeza. Begitu juga sekiranya ia ditambah dengan imbuhan di awal, di akhir atau pun kedua-duanya. Pertama ia memberi bermaksud sesuatu yang ditarik dengan tali di belakang perahu. Kedua maksudnya tangguh dan ketiga maksudnya tolak dari belakang atau pun sorong.

Menunda adalah berasal dari perkataan tunda. Oleh itu menunda adalah bermaksud melambat atau menangguhkan sesuatu. Oleh itu, sekiranya kita seorang yang penunda maka jelas ia akan melambangkan bahawa kita sudah berniat untuk mengerjakan sesuatu pada keesokannya padahal sewajarnya diselesaikan hari itu juga.

"kerja bertangguh tidak menjadi."

Berlakunya kita menundakan sesuatu kerja atau sebagainya adalah disebabkan dari kemalasan. Ia juga akibat dari ketidakmampuan kita untuk berfikir secara jelas dan tepat yang membuat orang terhalang untuk melatih pengendalian diri yang diperlukan agar berjaya dalam hidup. Buangkanlah rasa kemalasan itu dari diri kita agar kita dapat meneruskan perjalanan dalam kehidupan kita.

Apabila kita ingin berkaraoke, kita seharusnya membayar kepada pusat karaoke. Begitu juga sekiranya kita ingin berjaya, kita harus mengeluarkan segala yang diperlukan untuk kejayaan. Kita perlu tahu bahawa, tidak ada perkembangan, baik fizikal mahu pun intelektual, kalau tidak ada usaha. Usaha itu bererti bekerja. Bekerja bukanlah hina, melainkan hak istimewa kecerdasan, satu-satunya cara jalan menuju keinsanan dan merupakan ukuran peradaban.

"Segala bentuk pertumbuhan bergantung kepada kegiatan."

Kegiatan adalah hukum alam. Kita sewajarnya bersedia dan berbuat sesuatu sekiranya kita mahu bergerak sesuai dengan arah hasrat hati kita. Perjalanan dalam kehidupan kita seharusnya diteruskan, apabila kita melakukan perjalanan kehidupan dengan maksud untuk sampai ke distinasi. Bersedialah kita untuk melakukan perubahan dalam kehidupan.

Manusia yang dikurniakan akal dan akal itu adalah satu-satunya perkara yang memungkinkan kita mengendalikan diri. Kita tidak boleh mewakilkan kepada sesiapa pun kerana tiada seorang pun yang mampu melakukannya untuk kita. Kita adalah pengendali bagi diri kita sendiri. Oleh itu kita adalah tuan atau boss bagi diri kita sendiri. Kita mengawal diri kita dengan teguh dan sempurna melalui akal.

"Kita sewajarnya melakukannya sekarang
atau tidak melakukannya sama sekali."


Tiada waktu lain untuk bertindak atau melakukan sesuatu. Lakukanlah sekarang juga tanpa menunda atau menangguhkannya. Kita tidak dapat mengulangi waktu kelmarin iaitu waktu yang telah pun berlalu. Kita juga tidak boleh meminjam hari esok untuk kita melakukannya sekarang. Setiap detik yang dikurniakan kepada kita hanya sekali sehaja. Kita gunakan waktu itu atau kita akan kehilangannya. Kita perlu bertindak sekarang kerana kesempatan itu akan hilang selamanya.

Kejayaan tidak akan dikecapi begitu sahaja. Kejayaan hidup yang dinikmati adalah sesuai dengan rancangan dan rencananya. Ramai orang yang mendapati kenyataan bahawa persiapan seharian yang disusun berdasarkan kepentingan boleh membantu. Namun begitu, setiap rancangan tidak akan menjadi kenyataan bila kita tidak menggarapnya. Apatah lagi bila kita tidak berusaha untuk menzahirkannya, Juga bila kita tidak melakukannya sekarang.

"Kita tidak boleh menunda atau menangguhkannya,
kita perlu melakukan sekarang."

2 comments:

cikghee said...

bagaimana mengarap kejayaan dengan pelbagai halangan dihadapan

amalhaj said...

assalamualaikum cikghee!
halangan adalah cabaran yang memantapkan diri untuk mencapai kejayaan. kajayaan tanpa cabaran tidak seindah kejayaan melalui halangan dan cabaran.