Wednesday, April 7, 2010

KEJAYAAN ADALAH MELALUI KESULITAN

"Kesulitan menunjukkan manusia yang bagaimana kita."

Sulit adalah bermaksud dirahsiakan, tersembunyi dan rahsia. Sulit juga membawa maksud tidak terang-terangan atau gelap. Selain daripada itu ia juga bermaksud jarang terdapat atau bertemu, susah dicari, sukar, payah dan susah. Dari perkataan sulit akan lahir pula perkataan "menyulitkan", "mempersulit", "mempersulitkan" dan "kesulitan". Bila dikatakan sulit sudah pasti ada ketikanya menjaga maruah diri seseorang.

Kita sering tertanya-tanya mengapakah perlunya kita melalui pelbagai kesulitan untuk kita mencapai kejayaan? Pada pendapat saya, ia sama sekali tidak boleh ingat apakah ada satu kejayaan dalam hidup yang kita perolehi tanpa melalui kesulitan dan pergorbanan? Setiap kejayaan yang dicapai itu pasti ada kesulitan sebelumnya. Semakin besar kejayaan yang kita perolehi atau kita capai maka semakin sulitlah pula perjuangannya.

"Semua manusia ditakdirkan untuk berjaya, jika mereka mempunyai kemahuan untuk membayar harganya."

Ingatlah bahawa apa yang kita perolehi itu sudah pasti akan melalui sesuatu tindakan yang perlu kita lakukan. Tidak ada suatu pun yang kita perolehi tanpa kita berbuat apa-apa pun. Seseorang yang ingin berjaya tetapi ingin melalui jalan pintas biasanya akan menemui kegagalan. Itulah sebabnya ramai orang yang terpenjara kerana ingin berjaya dengan jalan yang mereka anggap Kita perlu bertanya pada diri kita sendiri, apakah kita akan dapat menuaikan hasil sekiranya kita tidak terlebih dahulu menanam benihnya?

Contoh yang paling mudah ialah dengan melihat pasangan suami isteri yang muda. Pada saya, tidak ada sebarang pasangan muda yang boleh menikmati perkahwinan kekal kalau mereka itu tidak berkemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab yang diperlukan dalam perkahwinan. Begitu juga kalau kita mengambil contoh dalam kerjaya. Seseorang yang berjaya dalam kerjaya itu tidak akan berjaya seandainya ianya masih berpeluk tubuh dengan tanpa membuat sesuatu terhadap kerjayanya.

"Ketahanan diri bermula dari kebiasaan dan kesulitan yang sentiasa menguasai diri."

Dalam menghadapi kesulitan dan perjuangan ini, anggota tubuh badan kita juga tidak terkecuali. Lengan tidak mempunyai alasan untuk bergerak maka otot-ototnya tidak akan menjadi kuat. Akal dan tubuh kita perlu menghadapi masalah dan kesulitan supaya ia menjadi kuat dan mantap. Kekuatan yang lahir pada akal dan tubuh itu akan menyesuaikan dengan perubahan-peruabahan yang berlaku disekelilingnya.

"Cuaca tidak selalu nyaman. Lautan tidak selalu tenang."

Setiap sebuah kapal itu pasti ada nakhoda dan kelasinya. Merekalah yang bertanggungjawab ke atas kapal tersebut. Ombak yang menggunung dan disertai dengan badai yang menggila adalah merupakan ujian pada mereka. Ujian seperti itu mesti ditempuhi selagi mereka berada di lautan. Angin, air dan gelombang yang melanda selama berjam-jam malahan berhari-hari menjadikan suatu kesulitan dalam pelayaran.

Gelombang yang kuat boleh menghancurkan kapal yang kecil lagi lemah. Kapal akan pecah berkeping-kepingan terus karam. Segala kelengkapan yang tidak terikat erat pada kapal akan terpelanting berhamburan. Apabila badai telah berhenti, kapal yang kuat dikendalikan oleh nakhoda yang cekap bersama kelasinya yang tabah akan dapat meneruskan pelayaran setelah menguasai tentangan yang datang begitu hebat.

"Hidup tidak hanya terdiri dari bunga mawar, namun ada juga duri-durinya."

Oleh itu kita perlu ingat bahawa semakin banyak pendapatan yang kita terima maka sudah tentu semakin berat dan sukarnya jalan yang harus kita tempuhi. Apabila kita menyedari hakikat ini dan kita pun telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang tugas, maka separuh kemenangan sudah pasti ada dalam genggaman. Kesulitan itu selalunya menyerah kepada kerajinan namun terlalu sedikit manusia yang mengetahuinya.

Bagi mereka yang mempunyai perasaan rendah diri pasti akan merasai kekurangan. Mereka ini kurang memiliki ketabahan dan keyakinan yang diperlukan. Ketabahan dan keyakinan perlu ada untuk kita menghadapi sebarang kesulitan di tengah jalan walau pun kesulitan yang paling mudah. Kita seharusnya belajar untuk menguasai semua itu untuk dijadikan pengalaman dan kekuatan yang kita perlukan. Pengalaman dan kekuatan yang dimiliki itulah yang akan dapat menundukkan segala sesuatu yang menghalang perjalanan kita untuk kita menuju kejayaan.

"Tolehlah ke belakang tetapi jangan melangkah."

1 comment:

kembara kelana said...

entri yang banyak maklumat bang aji...bila kita nak ngeteh bang aji