Tuesday, April 13, 2010

BERANI MENJADI DIRI SENDIRI

"Berani, memberanikan, keberanian dan pemberani"

Perkataan berani boleh membawa dua maksud yang amat berbeza:-
1. Gagah (bukan pengecut), perkasa, tidak takut, tabah menghadapi bahaya bahaya (kesulitan dan lain-lain).
2. Batu iaitu besi yang mempunyai tenaga untuk menarik besi lain (mengandungi kuasa letrik)

"Alam memberikan berkatnya bagi setiap kelahiran baru."

Berani akan lahir dari dalam diri kita sendiri. Kita boleh meletakkan diri kita dalam pelbagai kategori seperti berani mati, berani lalat, berani ke hadapan dan lain-lain. Apa yang paling penting ialah kita berani untuk menjadi diri kita sendiri. Kita juga sepatutnya berani untuk menjadi yang lain atau berbeza terutama apabila kita diperlukan. Oleh itu kita perlu berani untuk menjadi yang pertama atau yang asli.

Dalam memperkatakan berani ini, kita mesti berani untuk menjadi "pencipta" bagi pemikiran kita sendiri. Kita perlu berani menempuh jalan kita sendiri. Berani menciptakan jalan yang kita ingin lalui. Kita boleh memilih antara dua iaitu berani untuk meninggalkan jasa atau kita sama sekali tidak berbuat apa sama sekali dan tidak akan memberi apa jasa bagi dunia atas disebabkan kita tidak berani.

"Kejayaan seseorang itu tidak dapat benar-benar ditiru secara tepat."

Tidak ada satu pekerjaan pun di dunia ini yang mempunyai potensi pengurusan wang yang hebat seperti bidang bisnis (perniagaan) atau usahawan. Kita sangat sukar untuk membatasi kemampuan usahawan untuk menghasilkan komisyen. Terlalu ramai usahawan yang menulis buku tentang kejayaan mereka dalam bidang-bidang yang mereka ceburi. Namun begitu, terlalu sedikit pula orang yang dapat meniru langkah-langkah kejayaan mereka.

Masa kini terlalu ramai yang nampaknya berjaya. Penampilan diri mereka amat menakjubkan dengan kehidupan secara mewah seperti berkereta mewah, tumah yang besar dan sebagainya. Sebenarnya mereka ada yang tidak berjaya sama sekali. Mereka ini semata-mata cuma dapat mempamerkan bahawa mereka mampu menghasilkan banyak wang. Mereka amat berbeza antara dalaman dengan luaran.

"Jangan terperangkap melalui sekuntum senyuman yang manis bak madu."

Manusia boleh memenuhi beberapa peraturan sederhana dalam hidup itu dengan menggunakan beberapa prinsip praktikal yang teguh untuk berjaya. Kedudukan kita yang nampak mewah oleh komuniti bukanlah ukuran yang sebenar kejayaan kita dalam kehidupan ini. Kereta mewah yang menjalar atau tersadai di garaj tidak semestinya bererti kita makmur. Senyuman yang terukir di biibir tidak selalunya menjanjikan tanda kebahagiaan.

Secara keseluruhan setiap rumusan kejayaan itu adalah sama seperti rumusan-rumusan yang lain. Ia tidak boleh hanya berdasarkan kepada satu perkara sahaja. Berbagai peraturan boleh sahaja dibuat dengan berdasarkan kehidupan berbagai orang yang berjaya. Berdasarkan kepada mereka yang telah mencatatkan nama di dunia. Namun secara individu kita seharusnya berani menerapkan peraturan peraturan itu dengan jati diri kita yang benar-benar asli.

"Temuilah dan kita menemukan cara yang lebih baik."

Kita sewajarnya dapat memahami bahawa keaslian boleh memberikan cara yang lebih baik dalam melakukan sesuatu. Oleh itu, setiap tindakan kita seharusnya meninggalkan jejak ciri khas yang merupakan penghasilan dari perkara terbaik yang ada dalam diri kita. Kita tidak perlu meniru orang lain bila kita telah menemui "takar emas" yang ada dalam diri kita sendiri. Beranilah kita menggalinya dan pastinya kita akan menemuinya.

No comments: