Warak ertinya memelihara diri dari hal-hal yang meragukan kerana terjerumus ke dalam hal-hal yang diharamkan. Mengikut Kamus Dewan, ia dieja dengan wara' yang membawa maksud taat dan patuh kepada Allah dan tidak melanggar larangan-Nya. Walaupun terdapat dua maksud dari perkataan warak tetapi di sini saya ingin tumpukan yang maksudnya berkaitan dengan agama iaitu taat dan patuh kepada Allah.
Semasa kecil saya masih teringat bahawa seandainya kita rajin pergi mengaji Al-Quran, rajin pergi ke masjid sewajarnya perkataan warak akan dilabelkan kepada kita. Begitu juga kalau kita sering memakai songkok juga tertakluk sama. Oleh kerana pada masa itu seandainya kita ini telah dilabel dengan warak, maka ramai yang suka kepada kita kerana pasti telah dianggap orang yang baik-baik serta tidak menimbulkan masalah.
Cerita tentang orang-orang yang warak ini sungguh banyak sekali. Diantaranya adalah mengenai Saidina Abu Bakar As-Siddiq;
Pada suatu hari Abu Bakar As-Siddiq telah meminum segelas susu hasil usaha hambanya. Setelah itu ia bertanyakan kepada hambanya dari mana ia perolehi susu itu. Hambanya pun menjawab: "Saya menjadi dukun di suatu kaum lalu mereka memberi saya susu tersebut."
Mendengar penerangan dari hambanya itu, Abu Bakar lalu telah memasukkan jarinya ke tenggorokkannya sehingga hampir-hampir tidak bernyawa lagi. Setelah itu ia memuntahkan isi perutnya seraya berkata: "Ya Allah, Ya Tuhanku, aku memohon ampun kepada-Mu dari apa yang sudah terserap oleh urat dan tercampur dalam usus!"
Perhatikanlah betapa berhati-hatinya beliau terhadap apa yang masuk ke dalam perutnya.
Salah seorang sufi yang terkenal iaitu Sufyan ats Tsaury pernah mengatakan: "Orang yang menafkahkan harta haram di dalam taat kepada Allah adalah diibaratkan seperti orang yang membasuh pakaian yang bernajis dengan menggunakan air najis. Pada hal pakaian yang bernajis itu tidak akan suci kecuali apabila dibasuh dengan air yang bersih dan dosa tidak akan lenyap kecuali dengan makan makanan yang halal."
Diriwayatkan pula dari salah seorang yang soleh, bahawa pada suatu hari ia telah memberikan makanan kepada salah seorang Abdal (pangkat kewalian), namun makanan yang diberikan itu dibiarkan sahaja tidak dimakannya. Maka orang soleh tadi pun bertanya: "Mengapa tuan tidak makan makanan yang saya berikan ini?"
Abdal itu menjawab: "Kami tidak makan kecuali yang halal kerana itulah hati kami menjadi lurus, keadaan kami tetap dan kami boleh menyaksikan alam malakut dan alam akhirat. Kalau kami memakan seperti apa yang kalian makan, tiga sahaja, nescaya akan sirnalahilmu yakin kami dan akan lenyaplah rasa takut dan musyahadah dari dalam hati kami."
Orang yang soleh tadi berkata: "Saya puasa sepanjang tahun dan menamatkan pembacaan Al-Quran setiap bulan tiga puluh kali!"
Abdal menjawab: "Minuman yang tuan lihat saya meminumnya ini, lebih saya gemari daripada tiga puluh kali khatam dalam solat tiga ratus rakaat."
Adapun minuman Abdal itu adalah susu rusa liar.
Lihatlah betapa sangat berhati-hatinya orang yang warak itu memelihara makanannya. Sememangnya, sifat warak itu merupakan suatu kedudukan yang sangat tinggi sekali. Ini dapat dibuktikan oleh hadis-hadis berikut ini;
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik agama kamu adalah warak", dan baginda bersabda lagi yang bermaksud: "Barang siapa menjumpai Allah dalam keadaan warak, nescaya Allah berikan kepadanya pahala Islam semuanya."
No comments:
Post a Comment