Saturday, May 9, 2009

KIRAHtazkirahTAZKIRAHtazkirahTAZ

"Benarkah Allah itu wujud?," soal Dahri memulakan majlis dialognya."Bahkan Allah memang wujud," tegas Abu Hanifah."Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya..??" Suara Dahri semakin meninggi."Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!" jelas Abu Hanifah."Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula... ?" bantah Dahri sambil melemparkan senyuman sinisnya kepada hadirin."Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa... " Abu Hanifah mula berhujah. Orang ramai mula memerhatikan gaya ilmuan muda ini berpidato dengan penuh minat."Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa... !" sahut Dahri."Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu... ? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?" Terserentak Dahri seketika. Orang ramai mula berbisik-bisik sesama sendiri. Setelah itu Abu Hanifah mengambil pula segelas susu lalu ditunjukkan pada Dahri, seraya berkata: " Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak... ?"Pantas Dahri menjawab, "Ya, bahkan!"Abu Hanifah bertanya lagi, "Kalau begitu dimanakah lemak itu berada... ? Di bahagian atasnyakah atau dibawahkah... ?" Sekali lagi Dahri terserentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu. "Untuk mencari dimanakah beradanya roh dalam jasad dan tersisip dimanakah kandungan lemak dalam air susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau dimanakah beradanya Zat Allah SWT di alam maya ini? Zat yang telah mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya Yang Maha Agung... !" Suasana menjadi agak bingar. Dahri terpaku di kerusi. Terbungkam lidahnya. Merah mukanya. Kesabarannya mula terburai. Bila keadaan agak reda, Dahri membentangkan soalan."Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti... " Semua mata tertumpu pada Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang pintar ini."Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah Taala dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah SWT tetap Qadim dan Azali. Dialah yanng Awal dan Dialah yang Akhir", tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat."Pelik sungguh! Mana mungkin begitu... .Tuhan Wujud tanpa ada permulaan Nya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas Nya... .?" Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya.Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, "Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini..?" Sambil menuding ibu jarinya ke langit. Dan beberapa hadirin turut berbuat demikian. "Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya... " Dahri membelek-belek jarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah. "Jadi... ! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun, tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah SWT Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya."Sekali lagi Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea. Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, iapun tersenyum. Hati Dahri bergelodak bagai air tengah menggelegak."Ini soalan yang terakhir buat mu, hai.. budak mentah!" Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok."Allah itu ada, kata mu. Ha! apakah pekerjaan Tuhan mu ketika ini ?" Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang."Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang," Katanya. Pemuda ideologi Ad- Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah:"Wahai sekelian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang bathil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini... !"Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang telah berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu. Sehingga ke hari ini, nama Imam Abu Hanifah terus dikenali keserata dunia sebagai seorang Fuqaha dan salah seorang daripada Imam Mujtahid Mutlak yang empat. Kemunculan Mazhab Hanafi dalam fiqh Syar'iyyah, juga mengambil sempena nama ulama ini.

No comments: