Tajuk penyangkut baju ini saya akan cuba menulisnya dalam Bahasa Melayu dan bukan lagi dalam loghat Perak dan sebagainya. Ini adalah disebabkan cerita mengenai penyangkut baju ini memang boleh dikatakan menarik. Oleh itu, saya akan cuba memberi kefahaman kepada kawan-kawan yang bukan orang Melayu.
Penyangkut baju dalam gambar diatas saya jumpa semasa mengemas rumah aruah emak saya. Penyangkut baju ini tersorok atas alang rumah tersebut. Mula-mula saya nampak sikit sahaja, jadi saya ada keinginan untuk melihatnya. Saya terus memanjat dan mencapainya. Bila saya pegang sahaja penyangkut baju ini, saya terus terkenang arwah emak. Tanpa disedari air mata berlinang di pipi kerana sememangnya saya amat merindui emak yang telah pergi dan tak akan kembali lagi.
Arwah emak sememangnya tegas dan garang dengan anak-anaknya. Walaupun begitu saya dan adik beradik yang lain lebih rapat dengan emak. Ayah, walaupun pendiam tetapi kami semua amat menghormatinya. Walaupun kami ada perasaan takut pada ayah, sebenarnya ayah juga berjiwa penyayang. Sikap pendiam beliau itulah yang membezakan antara ayah dengan emak. Namun kami menyayangi keduanya.
Berbalik kisah emak yang ada kaitan dengan penyangkut baju ini. Saya masih ingat kalau emak marah, antara benda yang dicapainya ialah rotan dan penyangkut baju. Penyangkut baju merupakan kebiasaan emak kerana ianya mudah dicapai. Saya teringat ketika umur saya 10 tahun dan masih bersekolah rendah. Saya ada seorang anak saudara (anak kakak) yang amat manja dengan emak. Maklumlah cucu sulung. Masa itu saya memang agak nakal dan selalu sangat menyakat anak saudara saya itu.
Suatu hari bila saya sedang menyakat anak saudara saya, tanpa saya sedari emak datang dari belakang bersama alat kegemarannya penyangkut baju. Apa lagi berbalarlah belakang saya kena penyangkut baju itu. Tambahan pula saya masa itu tak memakai baju. Saya lari lintang pukang dan menyelamatkan diri ke rumah emak saudara saya yang tinggal di sebelah rumah ayah saya. Bila dah agak reda, saya balik ke rumah dan emak saya tak ada di rumah mungkin mengambil air di telaga. Saya nampak penyangkut baju itu masih ada di atas lantai, apa lagi saya terus membuang penyangkut baju itu ke atas alang rumah.
Hari ini penyangkut baju ini telah mengingatkan kembali saya kisah kenakalan saya. Penyangkut baju inilah yang mungkin menyedarkan saya agar tidak malas, tidak mengusik budak kecil dan sebagainya. Penyangkut baju inilah menyebabkan saya bertambah rindu kepada arwah emak, arwah ayah dan juga kepada arwah anak saudara saya itu. Air mata terus menitis di pipi. Emak dan ayah, anakmu ini amat merinduimu. Nora! Acu mohon maaf kerana selalu sangat menyakat Nora. Penyangkut baju ini akan saya simpan sebagai kenangan. Ya, Allah, cucurilah roh emak, ayah dan Nora. Letakkan roh mereka dalam golongan orang-orang yang beriman. Amin.
No comments:
Post a Comment