Sunday, June 14, 2009

WAJARKAH KPLI SELAMA 18 BULAN?

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan memanjangkan tempoh pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) selama enam bulan kepada setahun enam bulan, bermula pengambilan Januari 2010. Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Datuk Misrah Ibrahim, berkata keputusan itu diambil berikutan desakan pelbagai pihak selain mengakui tempoh yang diamalkan selama ini kurang berkesan bagi melahirkan guru berkualiti.
Mengenai desakan beberapa pihak supaya tempoh pengajian itu dipanjangkan kepada dua tahun, Misrah berkata, ia tidak relevan kerana terlalu mengambil masa bakal guru. Katanya, jika tempoh KPLI terlalu lama, mungkin graduan tidak berminat dengan kerjaya perguruan kerana jangka masa sama sebenarnya mencukupi untuk mereka menyambung pengajian ke peringkat sarjana.
Adakah benar jika tempoh KPLI terlalu lama akan memungkinkan graduan tidak berminat dengan kerjaya perguruan? Alasan ini adalah terlalu dangkal kerana ramai graduan yang mengikuti KPLI ini telah pun bekerja dan ada yang lebih dari 5 tahun. Mengapa mereka masih tidak menyambung pengajian ke peringkat sarjana masa itu? Ada juga graduan yang masih dan terus mengharapkan KPLI dan saban tahun membuat permohonan, mengapa? Sewajarnya KPLI ini selama 2 tahun kerana perlu dibandingkan dengan KPLSPM yang memakan masa 5 tahun 6 bulan manakala KDPM pula mengambil masa 3 tahun. Lagi pun banyak keistimewaan yang diberikan kepada KPLI. Yang nyata ialah elaun yang diterima oleh mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, ketika mengulas dakwaan bahawa bidang perguruan menjadi tempat longgokan graduan menganggur, berkata sistem tapisan bakal guru bagi mengikuti KPLI cukup ketat. Katanya, semua pemohon KPLI perlu lulus dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 2.75 ke atas pada peringkat sarjana muda sebelum dipanggil mengikuti ujian khas pemilihan guru. "CGPA itu bukan kecil. Ini bermakna pemohon untuk KPLI terdiri di kalangan antara yang terbaik di universiti. Apabila menduduki ujian pula, banyak perkara boleh dinilai bagi melihat kesungguhan pemohon untuk menjadi guru.
Adakah benar bidang perguruan bukan menjadi tempat longgokan graduan menganggur?
Terlalu ramai graduan lepasan UPSI yang sukar dibuat penempatan dan terdapat antara mereka yang terpaksa menganggur selama paling kurang setahun. Graduan lepasan UPSI sememangnya dididik menjadi seorang guru. Mengapakah mereka ini dibiarkan jika dibanding kan dengan lulusan KPLI yang terus mendapat tempat? Inilah antara sebabnya mengapa profesion keguruan sukar untuk diikhtiraf sebagai kumpulan profesional. Ini belum lagi dengan kursus-kursus perguruan lain yang membolehkan seseorang itu digelar sebagai seorang guru.

No comments: