Thursday, December 4, 2008

PPSMI MEMANG WAJAR DIKAJI SEMULA

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein baru-baru ini mengumumkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini bukan penentu sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan diteruskan atau tidak, sebaliknya akan turut mengambil pandangan perbagai pihak, termasuk cendekiawan, ahli akademik dan orang ramai.
Pengumuman itu menggambarkan keterbukaan serta kesediaan Kementerian Pelajaran untuk menerima pelbagai pendapat dan pandangan dalam isu yang hangat diperkatakan sejak peringkat awal idea untuk melaksanakannya lagi.
Sama seperti mana-mana program lain, kita merasakan memang wajar untuk kementerian membuat kajian semula terhadap pelaksanaan PPSMI. Jika Terbukti program ini memberi kesan dan impak yang positif, sudah tentu pelbagai pihak bersedia memberi sokongan untuk meneruskannya. Jika sebaliknya, sudah sewajarnya pendekatan baru dicari dalam menangani isu ini.
Lagi pun bukanlah pertama kali kementerian berbuat demikian. Jika kita masih ingat, tidak lama dulu Kementerian Pelajaran pernah memansuhkan subjek Alam dan Manusia yang ada mengandungi komponen sains, sejarah, kajian tempatan dan kesihatan, selepas tujuh tahun ia diajar di sekolah. Keputusan itu dibuat selepas mendapati guru ketika itu tidak berupaya untuk mengajar komponen sains di dalam subjek berkenaan. Berikutan itu, Kementerian Pendididkan membuat keputusan memansuhkan subjek berkenaan dan memperkenalkan semula subjek Sains di sekolah.
Kita percaya banyak pihak, terutama dalam kalangan pendidik sendiri, menyambut baik sikap terbuka dan kesediaan kementerian untuk berbuat demikian. Sebagai golongan yang terbabit secara langsung pada peringkat pelaksanaan, golongan pendidik tidak seharusnya diketepikan untuk memberi pandangan dan input hasil pengalaman mereka melaksanakan program itu selama ini.
Memandangkan mereka yang melaksanakannya, maka sudah tentu guru lebih mengetahui dengan tepat mengenai tahap pencapaian pelajar. Dengan itu, ia membolehkan kementerian mendapat input sebenar mengenai kekuatan dan kelemahan program PPSMI selama ini.
Bahkan kita percaya dengan sikap terbuka sedemikian, berdasarkan pengalaman mereka, guru sudah tentubersedia untuk mengemukakan pandangan dan cadangan bagi memantapkan pengajaran subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris di sekolah.

No comments: