Saturday, December 6, 2008

DISIPLIN DAN KESUNGGUHAN BEKERJA DALAM ISLAM

Disiplin dan kesungguhan adalah merupakan aspek penting dalam kehidupan. Kedua-dua aspek ini perlu seiring dan sejalan dan tidak boleh dipisahkan. Ibarat irama dan lagu andai dipisahkan maka tempanglah ia. Begitulah disiplin dan kesungguhan kita bekerja sebagai umat Islam.
Disiplin boleh dimaksudkan sebagai panduan, peraturan atau undang-undang. Disiplin sekiranya dipatuhi akan memudahkan kita melaksanakan apa saja aktiviti. Manakala kesungguhan pula adalah sebagai ketekunan atau ketaatan kita apabila melakukan sesuatu kerja. Kesungguhan kita bekerja akan menjadikan kerja tersebut dapat disiapkan mengikut jangka masa yang telah ditetapkan.
"sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun".
Dari hadith Nabi Muhammad SAW yang tersebut di atas, dapat difahamkan bahawa ketekunan yang berdasarkan kepada disiplin itu memang dituntut oleh Islam.
Pentingnya disiplin dan kesungguhan dalam kehidupan tidak dapat dinafikan, baik terhadap Allah SWT (Agama), terhadap diri keluarga, terhadap masyarakat dan terhadap negara.
Disiplin Terhadap Allah SWT (Agama)
Ini adalah merupakan disiplin dan kesungguhan yang amat tinggi kerana Allah SWT punca dan matlamat segala-galanya. Untuk merealisasikan disiplin terhadap Allah SWT mudah sahaja iaitu melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Ini merangkumi sebagai "ibadah". Ibadah ini terbahagi kepada dua iaitu ibadah langsung dan nibadah secara tidak langsung. Dalam ibadah, pelbagai disiplin perlu dijaga, Ini termasuklah disiplin masa, disiplin tempat kerja, disiplin tingkah laku dan sebagainya.
Disiplin Terhadap Diri dan Keluarga
Islam memang menitikberatkan disiplin terhadap diri dan keluarga kerana dengan adanya disiplin, seseorang itu atau sesebuah keluarga itu akan mendapat kejayaan hidupnya. Mengenai diri, Islam menggesa umatnya supaya mendisiplinkan diri dengan sifat-sifat terpuji, berakhlak mulia, jujur, amanah, adil dan sebagainya.
Disiplin Terhadap Masyarakat
Pengertian masyarakat merangkumi skop yang amat luas termasuk jiran tetangga, rakan sebaya dan seterusnya masyarakat Islam seluruhnya. Dalam hal ini walau bagaimanapun perhatian akan diberikan kepada aspek-aspek ekonomi dan sosial.

No comments: