Saturday, December 6, 2008

BAYARAN TAMBAHAN BERKOCAK LAGI?

Pada awal tahun 2008, isu bayaran tambahan telah mendominasikan permasalahan di sekolah. Walaupun isu ini dianggap "ibarat air yang berkocak di dalam cawan" bagi sebilangan komuniti namun, ianya perlu dikaji dengan lebih halus dan teliti, Tindakan yang sewajarnya perlu diambil agar isu seperti ini tidak akan berulang kembali. Kementerian Pelajaran seharusnya mengambil perhatian yang serius agar isu ini tidak lagi menghantui ibu bapa, sekolah dan kementerian itu sendiri. Semua pihak tertanya-tanya, mengapakah isu ini begitu hangat diperdebatkan sehingga tuding menuding antara satu sama lain. Di sini berlakulah "bangau oh bangau" yang tiada penghujungnya.
Isu ini menjadi lebih panas apabila ada pihak yang berkepentingan mempolitikkannya. Janganlah sekadar inginkan sokongan dan "populariti", isu ini menjadi percakaran sesama sendiri. Menjadi mangsanya adalah kita sendiri. Oleh itu demi bangsa dan negara, semua pihak perlu berkorban dan dapat menangani isu ini dengan lebih berhemah. Jangan kita pertaruhkan isu ini sehingga menjatuhkan maruah kita sendiri.
Tahun 2009 bakal menjelang tiba. Detik dan ketikanya tahun 2008 akan meninggalkan kita. Apakah isu bayaran tambahan ini akan berkocak kembali? Pasti isu ini akan bergelora kembali apabila ibu bapa menghadapi hari pertama persekolahan anak-anak mereka. Apakah Kementerian Pelajaran masih lagi inginkan isu ini dimainkan semula? Keputusannya adalah di tangan orang-orang penting di kementerian tersebut. Sekolah dan ibu bapa hanya akan menunggu irama yang akan didendangkan untuk menentukan rentak tarian yang bakal dipersembahkan.
Dalam isu ini, sewajarnya perbandingan perlu dibuat oleh komuniti terutama ibu bapa. Bayaran tambahan yang "diwajibkan" oleh Sekolah Harian (SH) dengan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) patut dibuat perbandingan. Terdapat jurang yang terlalu dalam antara kedua-dua jenis sekolah ini dalam menentukan bayaran tambahan. Persoalannya, mengapa ibu bapa dan komuniti langsung tidak mempertikaikan jumlah bayaran tambahan yang dikenakan oleh SBP tersebut? Mengapa ibu bapa yang anak mereka ditawarkan belajar di SBP sanggup menjelaskan bayaran tambahan walaupun tinggi jika dibandingkan dengan SH?
Selain SBP, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) juga telah meletakkan bayaran tambahan lebih tinggi dari SH. Mengapa ibu bapa yang menganggap diri mereka berpendapatan rendah masih mampu membiayai bayaran tambahan anak-anak yang belajar di MRSM? Apatah lagi suatu ketika dulu pelajar-pelajar MRSM ini tidak disediakan kemudahan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Mengapa masih ada ibu bapa yang sanggup membeli buku teks untuk anak-anak mereka disamping mengeluarkan wang untuk bayaran tambahan? Mengapa komuniti terutama media tidak memainkan isu ini yang dijangka akan lebih hangat lagi?
Memang, tidak ada masalah yang tidak boleh diatasi. Dalam menangangi isu ini, mengapa pihak yang tertentu sahaja yang dipersalahkan? Begitu juga dengan jalan penyelesaian, mengapa pihak tertentu juga yang perlu merungkai ikatan permasalahan ini? Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga sewajarnya memainkan peranan penting bagi menangani isu ini. Tindakan yang profesional perlu diambil agar dapat menjamin keputusan yang menjanjikan menang-menang (win win) dicapaikan. Pihak media pula diharapkan tidak lagi memainkan isu ini di setiap ruang yang menjadi peluang kepada mereka.

No comments: