Cemerlangnya seseorang guru itu tidak terbatas kepada kebolehannya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan berkesan. Ia juga akan diukur kepada kualiti peribadi yang tinggi menjadi ikutan, rujukan dan contoh kepada pelajarnya. Ketinggian kualiti peribadi guru boleh dijadikan pemangkin kecemerlangan sesebuah sekolah melalui usaha mereka menyediakan pelajar sebagai modal insan.
Kejayaan bangsa dan negara adalah dari pembinaan modal insan. Tenaga kerja manusia yang berilmu, berakhlak, berkemahiran, berdaya saing dan berdaya tahan dalah modal insan yang dijadikan teras kepada kejayaan bangsa dan negara. Insan yang menjadi modal atau aset negara ini juga mesti berani berlumba, membina prestasi serta memiliki merit hingga dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa. Oleh itu, kejayaan sesebuah negara itu adalah bergantung kepada modal insannya.
Untuk mencapai agenda tersebut, pendidikan menjadi wahana utama. Pelajari semua peringkat perlu dididik dengan sempurna. Warga pendidik merupakan golongan di barisan paling hadapan dalam usaha membina generasi masa depan negara. Untuk melahirkan warga pendidik yang berkualiti, komited dan berdedikasi perlu diteruskan manakala hal ehwal kebajikan mereka mereka perlu dipelihara sejajar dengan keyakinan dan kepercayaan kejayaan bahawa pendidikan adalah wadah pembinaan modal insan yang berkesan.
Generasi yang ingin kita lahirkan ialah generasi yang mengamalkan pendidikan sepanjang hayat, menguasai lebih daripada satu bahasa dan berbudaya ilmu tinggi kerana dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan, kekuatan sesebuah negara bergantung kepada keupayaan penduduknya menjana daya intelektual.
Tugas guru menjadi semakin sukar kerana perkhidmatannya berkait rapat dengan personaliti dan hubungan kemanusiaan. Semua pihak yang tebabit dengan pendidikan iaitu masyarakat, ibu bapa, kerajaan dan pelajar sebenarnya meletakkan harapan tinggi kepada guru. Namun begitu ada masanya guru dibiarkan sendirian merealisasikan harapan itu. Profesion keguruan terbuka luas untuk kritikan sesiapa sahaja. Guru dibiar terumbang-ambing dalam arus deras reformasi yang melanda orientasi, metodologi dan teknologi pendidikan.
Guru mestilah mampu mengimbangi antara kehendak masyarakat dengan tanggungjawab hakikinya sebagai pendidik iaitu meningkatkan potensi profesionalismenya dan pada masa yang sama menangani rutin pentadbiran yang dihadapinya serta memaksimakan pembelajaran anak didiknya.
No comments:
Post a Comment