Wednesday, July 8, 2009

SIAPA MOHAMMAD NIZAR JAMALUDDIN?

Tsunami politik tanah air melalui Pilihan Raya Umum pada Mac 2008, melahirkan seorang tokoh politik yang bernama Mohammad Nizar bin Jamaluddin. Sebelum ini, beliau memang kurang dikenali bukan sahaja kepada masyarakat umum malahan dikalangan ahli Pas sendiri masih ramai yang kurang mengenali beliau. Kini beliau sudah tidak asing dalam dunia politik Malaysia, malah turut dikenali oleh gerakan Islam di seluruh dunia. Mohammad Nizar kini mempunyai aura yang tersendiri yang mungkin tidak ramai yang memilikinya.
Mohammad Nizar bin Jamaluddin dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak. Mendapat pendidikan awal di Kampar, iaitu di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Kampar. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajarannya di Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Menempatkan diri dalam Advance Level (A Level) di Norwich City College Of Arts & Technology Norwich, Norfolk, England. Selepas itu memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Kejuruteraan Mekanikal di Aston University of Science and Technology, West Midlands, Birmingham, United Kingdom.
Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Fatimah Taat yang berasal dari Tapah, Perak. Mereka telah dikurniakan 8 orang anak iaitu 5 orang lelaki dan 3 orang perempuan. Dua daripada anak lelakinya adalah al-hafiz dan kini masih lagi melanjutkan pelajaran mereka di Jordan dan Syria.
Bertaraf profesional sepenuhnya dan antara banyak parti politik, mengapakah Mohammad Nizar memilih Parti Islam Se-Malaysia sebagai wadah perjuangannya? Bermula dari pemimpin cawangan dan kawasan, Mohammad Nizar meningkat setapak demi setapak hinggalah menjawat jawatan Bendahari dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak. Tanggal 8 Mac 2008 adalah merupakan satu tarikh penting kepada Mohammad Nizar apabila menduduki kerusi tertinggi di Perak iaitu Menteri Besar. Pasti keanehannya apabila PAS hanya menang 6 kerusi dari 59 kerusi keseluruhannya. Inilah dinamakan takdir Allah swt. Pakatan Rakyat (PR) terbentuk sebagai sebuah kerajaan yang sah.

No comments: