Sunday, March 22, 2009

DASAR-DASAR KERAJAAN (6)

Cabaran-Cabaran Dalam Wawasan 2020
Terdapat sembilan cabaran dalam Wawasan 2020:-
Cabaran 1
Membentuk sebuah negara yang bersatu padu, yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mestilah sebuah negara yang sejahtera, bersatu antara wilayah dan kumpulan etnik, menikmati kehidupan yang harmonis berdasarkan persamaan hak dan keadilan, membentuk Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan dedikasi terhadap bangsa tersebut.
Cabaran 2
Melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas, teguh dan terbentuk jiwanya, yakin diri sendiri, bangga dengan keadaannya kini segala yang dicapainya dan cukup tangkas untuk menghadapi segala jenis rintangan. Mempunyai sifat mengejar kecemerlangan, benar-benar sedar akan potensinya, tidak terkongkong jiwanya dan dihormati pula oelh semua bangsa lain.
Cabaran 3
Memupuk dan membangunkan sebuah masyarakat demokratis yang matang, yang mengamal kan suatu bentuk demokrasi Malaysia yang unggul, berasaskan muafakat, musyawarah dan dapat dicontohi oleh negara-negara membangun yang lain.
Cabaran 4
Mewujudkan sebuah negara yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, di mana warganegaranya berpegang teguh kepada nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang murni dan disertai dengan budi yang luhur.
Cabaran 5
Masyarakat yang matang, liberal dan saling memahami. Semua rakyat tanpa mengira keturunan dan kepercayaan, bebas mengamalkan adat resam, kebudayaan serta kepercayaan agama masing-masing, tanpa rasa tersisih daripada bangsanya.
Cabaran 6
Masyarakat Malaysia berasaskan sains dan yang progresif, iatu satu mesyarakat yang bukan sahaja memanfaatkan teknologi tetapi turut menyumbang kepada sains dan teknologi masa hadapan.
Cabaran 7
Masyarakat penyayang dan bertimbangrasa, dengan sistem sosial yang lebih pentingkan masyarakat daripada diri sendiri. Kebajikan rakyat tidak berasaskan kepada negara atau individu tetapi kepada sistem keluarga yang kukuh danb mantap.
Cabaran 8
Masyarakat yang adil ekonominya. Pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama dengan kemajuan ekonomi dinikmati bersama oleh setiap rakyat. Masyarakat seperti ini tidak akan terbentuk selagi terdapat pengenalan kaum dengan fungsi ekonomi dan pengenalan kemunduran ekonomi demgan kaum.
Cabaran 9
Mencapai sebuah masyarakat yang makmur dengan ekonomi yang mampu menghadapi persaingan, bersifat dinamis, teguh dan berdaya tahan.

No comments: