Friday, March 27, 2009

MAKKAH AL-MUKARRAMAH (7)

7. Hukum melintasi orang yang sedang bersolat di Masjidil Haram:-
Haram melintas di hadapan orang yang sedang bersolat, kecuali di antarasaf-saf solat di belakang imam. Begitu juga dibolehkan sekiranya seseorang itu meletakkan sesuatu di hadapan nya sebagai sekatan (sutrah) sempadan tempat solatnya. Sabda Nabi saw yang bermaksud: " kalau seseorang itu tahu akan kesalahan melintas di hadapan orang yang sedang bersolat, nescaya dia berdiri menunggu (orang itu sehingga selesai solat) selama 40 (tahun, bulan atau hari) lebih baik baginya daripada melintas di hadapan orang yang sedang bersolat".
8. Tahiyyah (penghormatan) Ka'abah ialah tawaf:-
Tahiyyah semua masjid ialah dengan melakukan solat sunat tahiyyatul masjid, manakala tahiyyah Ka'abah ialah dengan melakukan tawaf. Tahiyyah Tanah haram ialah dengan melakukan ihram haji atau umrah dan Tahiyyah Mina pula ialah melontar.
9. Tidak boleh menghadap ke arah kiblat sewaktu membuang air:-
Keistimewaan Makkah ialah haram menghadap ke arahnya demikian juga membelakanginya ketika membuang air. Hadis Nabi saw yang bermaksud: "apabila kamu duduk untuk membuang air, jangan kamu menghadap ke arah kiblat dan jangan pula membelakanginya, hadaplah ke arah timur atau ke barat". Hadis riwayat Al-Bukhari.
10. Sesiapa yang bernazar untuk bersolat di Baitul Maqdis, adalah memadai baginya dengan melakukan solat di Masjidil Haram:-
Sesiapa yang bernazar untuk melakukan solat di Masjidil Al-Aqsa atau Masjid Madinah, nazarnya terlepas dengan melakukan solat di Masjidil Haram Makkah. Hadis Nabi saw yang bermaksud: seorang lelaki bangun berdiri pada hari pembukaan Kota Makkah sambil berkata: "wahai Rasulullah, saya telah bernazar sekiranya Allah swt menolong tuan membuka Kota Makkah (daripada orang kafir) saya akan bersolat dua rakaat di Baitul Maqdis". Sabda Nabi saw: "Solatlah di sini (Makkah)". Kemudian lelaki tersebut mengulanginya lagi. Sabda Nabi saw: "Solat lah di sini". Lelaki tersebut mengulanginya sekali lagi. Rasulullah saw pun bersabda: "Terpulang lah kepada kamu".

No comments: