Monday, April 20, 2009

MAKKAH AL-MUKARRAMAH (11)

Fadhail (Kelebihan) Zamzam:-
Zamzam mempunyai keberkatan, kelebihan dan keistimewaan yang banyak, yang tidak terdapat pada air-air lain. Ciri keistimewaannya ada disebut di dalam hais-hadis Nabi saw. Antaranya:-
1. Zamzam merupakan air yang terbaik di atas muka bumi dan boleh menyembuhkan penyakit (dengan izin Allah swt):-
Sabda Nabi saw yang bermaksud: "Sebaik-baik air yang ada di muka bumi ialah air Zamzam. Terdapat di dalamnya zat makanan (orang yang meminumnya akan merasa kenyang seperti memakan makanan) dan penyembuh daripada penyakit".
2. Zamzam diberkati dan mengenyangkan peminumnya:-
Abu Zar Al-Ghifari telah menceritakan mengenai kedatangannya ke Makkah sehungga bertemu Rasulullah saw dan seterusnya memeluk Islam. Menurut beliau, setelah bertemu Rasulullah saw. Baginda bertanya kepadanya:- "Sejak bila kamu berada di sini?" Jawabnya:- Semenjak 30 hari yang lalu". Rasulullah saw bertanya lagi:- "Siapa yang memberi kamu makanan?. Jawab Abu Zar:- "Saya tidak mempunyai makanan dan saya hanya meminum air Zamzam sahaja, tetapi saya merasa semakin gemuk dan tidak pernah merasa lapar". Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:- "Sesungguhnya Zamzam merupakan air yang diberkati. Sesungguhnya ia mengandungi zat makanan (orang meminumnya akan merasa kenyang seperti memakan makanan)".
3. Zamzam menyempurnakan hasrat peminumnya (dengan izin Allah swt):-
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:- "Air Zamzam itu untuk sebarang tujuan (niat) orang yang meminumnya (dengan izin Allah swt)". Selain hadis-hadis di atas, terdapat banyak lagi kelebihan Zamzam yang disebut oleh para ulama' Ada yang bersandarkan kepada hadis atau athar yang dhaif.

No comments: