Seseorang yang membaca Al-Quran seolah-olah dia berada di sisi Allah S.W.T. dan bermunajat kepada-Nya. Maka hendaklah dia menjaga adab-adab yang tertentu yang layak di sisi Tuhan Yang Maha Agong lagi Maha Mulia. Ulama-ulama muktabar telah menggariskan beberapa adab sebagai panduan seperti berikut:-
1. Hendaklah suci pada zahir dan batin kerana membaca Al-Quran adalah zikir yang paling afdal (utama) dari segala zikir yang lain.
2. Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang layak dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian Al-Quranul Karim. Para ulama berpendapat sunat membaca Al-Quran di masjid iaitu tempat yang bersih dan mulia disamping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktikaf.
3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.
4. Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut tempat mengeluarkan suara menyebut ayat Al-Quran.
Hadis Rasulullah s.a.w. bermaksud:-
"sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi."
Berkata Yazid bin Abdul Malik yang bermaksud:-
"Sesungguhnya mulut-mulut kamu merupakan jalan-jalan bagi Al-Quran maka sucikanlah dan bersihkan sebaik mungkin."
5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca Al-Quran seolah-olah berhadapan dengan Allah S.W.T. dan bacalah dalam keadaan seolah-olah melihat Allah S.W.T. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah, sesungguhnya Allah tetap melihat kita.
6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca Al-Quran.
7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca Al-Quran.
8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk dengan penuh tertib. Jika membaca dalam keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak dapat dielakkan dan ianya adalah harus.
9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah:-
"Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang terkena rejam."
kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang terkena rejam.
10. Kemudian diikuti dengan membaca:-
"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."
Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah.
11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada solat.
12. Hendaklah membaca dengan tartil (memelihara hukum tajwid). Secara tidak langsung menambah lagu minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:-
"Kami membaca Al-Quran itu mengikut tartil." (surah Al-Furqan: 32 dan surah Al-Muzammil: 4)
Pengertian tartil pada bahasa yang bermaksud:-
"Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopah."
Menurut istilah tajwid ialah membaca Al-Quran dalam keadaan tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya.
Saidina Ali k.w.j berkata yang bermaksud:-
"Pengertian tartil ialah mentajwid akan huruf-huruf Al-Quran dan mengetahui huruf Al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya."
13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T..
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:-
"Inilah Al-Quran yang memimpin ke arah jalan yang lurus." (surah Al-Isra' : 9)
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:-
"Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin." (surah Al-Isra' : 82)
Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud:-
"Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya dan supaya orang yang mempunyai fikiran mendapat peringatan (pelajaran)." (surah Sod : 29)
14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan. Hadis dari Rasulullah s.a.w. bermaksud:-
"Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah Ibn Mas'ud daripada Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan satu kebajikan itu mengandungi sepuluh kebajikan. Aku tidak kata Alif Lam Mim satu huruf tetapi Alif satu huruf dan Lam satu huruf serta Mim satu huruf."
15. Hendaklah membaca Al-Quran mengikut tertib mashaf. Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan.
16. Hendaklah berhenti membaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca Al-Quran itu bermunajat kepada Allah S.W.T. dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan.
Berkata Mujahid yang bermaksud:-
"Apabila kamu menguap ketika membaca Al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati Al-Quran sehingga selasai menguap."
17. Hendaklah meletakkan Al-Quran diriba atau tempat yang tinggi dan jangan sesekali meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Ubaidah al-Mulaiki r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Wahai kaum ahli-ahli Al-Quran, jangan gunakan Al-Quran sebagai bantal tetapihendaklah kamu membacanya dengan teratur siang dan malam."
18. Hendaklah meperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik. Sabda Nabi s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud:-
"Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w.: Hiasilah Al-Quran dengan suara-suaramu."
19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca:-
"Telah benar Allah yang Maha Agong dan telah menyampaikan oleh nabi-Nya yang mulia dan kami menjadi saksi atas yang demikian itu."
20. Disunatkan berpuasa di hari khatam Al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di hari khatam Al-Quran. Sebuah hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang telah khatam Al-Quran iaitu:-
"Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w. sesiapa yang telah khatam Al-Quran baginya doa yang dimakbulkan."
No comments:
Post a Comment