Thursday, September 24, 2009

IBADAT HAJI - UMRAH DAN ZIARAH

SEJARAH RINGKAS RASULULLAH S.A.W. MENGERJAKAN HAJI
Junjungan Rasulullah s.a.w. telah menunaikan fardhu haji sekali semasa hayatnya. Haji ini dinamakan "Hajjatul Wada" iaitu haji selamat tinggal kerana selepas haji itu tidak berapa lama baginda wafat. Baginda telah berangkat dari kota Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah 10Hijrah, bersama sekalian isterinya, sahabat-sahabatnya seramai lebih kurang 90,000 orang.
Kota Madinah diserahkan di bawah jagaan dan pengelolaan Abu Dujanah Al-Ansari. Angkatan baginda sampai di Zulhulaifah (Bir Ali) lalu berhenti semalam. Pada keesokan harinya baginda dan kaum muslimin memakai ihram dan berniat haji serta mengucap talbiah.
Kita bolehlah menggambarkan bagaimana kegembiraan, kesyukuran dan kehebatan rombongan haji yang begitu padu dan cemerlang. Seramai lebih kurang 90,000 orang (menurut sesetengah riwayat lebih dari itu) yang turut serta diketuai sendiri oleh semulia-mulia dan seagung-agung makhluk di atas muka bumi ini iaitu Rasulullah s.a.w.. Bergemuruhlah bunyi talbiah sepanjang-panjang jalan daripada Madinah hingga ke Makkah.
Baginda dan rombongan masuk ke Makkah mengikut Thaniah Kada iaitu sebatang jalan dekat dengan perkuburan Ma'ala pada pagi Ahad 4 Zulhijjah. Tatkala terpandang Kaabah yang mulia baginda berdoa yang bermaksud:-
"Ya Allah Ya Tuhan kami, tambahkanlah Batullah dengan kemuliaan dan kebesaran, kehebatan dan kebajikan."
Kemudian rombinganbaginda masuk ke dalam Masjidil Haram lalu tawaf tujuh kali. Sembahyang dua rakaat di belakang Makam Ibrahim dan minum air zamzam. Kemudian bersa'ie di antara Safa dan Marwah tujuh kali. Apabila baginda naik ke Bukit Safa lalu baginda mengucap yang bermaksud:-
"Tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa yang melaksanakan janji-Nya dan menewaskan segala pasukan musuh Islam dengan keesaan-Nya."
Pada 8 Zulhijjah, baginda pun berangkat pula ke Mina lalu bermalam semalam. Pada keesokan harinya (9 Zulhijjah) Rasulullah s.a.w. bersama kaum Muslimin ke Arafah dan di sana baginda berkhutbah. Di antara ucapan baginda yang bermaksud:-
"Wahai sekalian manusia, dengarlah percakapanku ini, kerana aku tidak tahu boleh jadi aku tidak lagi berjumpa kamu selepas tahun ini di tempat wuquf ini buat selama-lamanya."
Dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w. juga bersabda ketika baginda wuquf di Arafah yang bermaksud:-
"Ini adalah Arafah dan ia tempat wuquf dan Arafah itu semuanya tempat wuquf."
Dan sabda baginda lagi tatkala berhenti di Quzah Sabihah di Muzdalifah yang bermaksud:-
"Ini adalah tempat mabit dan mana-mana sahaja bumi Muzdalifah adalah tempat mabit."
Kemudian baginda menyembelih korban di Mina dan baginda bersabda yang bermaksud:-
"Ini adalah tempat sembelih korban dan di mana-mana tempat di Mina adalah tempat korban."
Kemudian Rasulullah s.a.w. menyempurnakan semua ibadat hajinya. Diikuti kesemua ibadat-ibadat dan amalan itu oleh pengikutnya seperti yang difardhukan oleh Allah s.w.t. dalam ibadat haji, bermula daripada wuquf di Arafah, bermalam di Muzdalifah. melontar jamrah-jamrah di Mina, tawaf di Baitullah dan baginda menerangkan apa yang halal dan apa yang diharamkan sewaktu mengerjakan haji.
Selepas itu, Rasulullah s.a.w. kembali ke Madinah. Haji ini juga dinamakan sebagai "Hajjatul Wada", Hajjatul Balagh, Hajjatul Islam, Hajjatuttamam wal kamal (iaitu haji yang sempurna dan lengkap) kerana pada hari itulah turunnya firman Allah s.w.t yang bermaksud:-
"Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu."
(Al-Maidah: 3)

No comments: