Wednesday, September 23, 2009

KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL - PENGENALAN

PENGENALAN
Kepimpinan merupakan satu proses menggembleng tenaga insan ke arah pencapaian matlamat organisasi. Gaya kepimpinan seseorang pengurus amat penting bagi menentukan dan menjamin keberkesanan sesebuah organisasi. Disamping itu, sikap pemimpin berkenaan dalam menjalankan kegiatan mentoring dan minatnya mencari jalan untuk membangunkan kerjaya pekerjanya membawa petanda pemimpin tersebut berorientasikan pencapaian tinggi serta memiliki bakat sebagai seorang pengurus yang cemerlang. Dalam kontek institusi pendidikan, Pengetua dan Guru Besar menjadi mentor utama dalam menggerakkan aktiviti instructional atau pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Tindakan proaktifnya membuat Penolong Kanan, Ketua Bidang, Ketua Panitia serta guru-guru dapat bersama-sama berkongsi pengalaman dan tanggungjawab ke arah mencapai kecemerlangan visi dan misi institusi berkualiti yang sekali gus akan memperkukuhkan kepimpinan instruksional di sekolah.
Kepimpinan instruksional dilihat dapat mempengaruhi perkembangan bidang pedagogi iaitu sains pengajaran dan pembelajaran yang sentiasa mengalami perubahan yang dinamik, positif dan relevan dalam menghadapi cabaran-cabaran hasil daripada dunia yang sentiasa berubah bagi menghasilkan outcome sejajar dengan kehendak target clientele dalam sistem pendidikan untuk melahirkan murid yang berdaya saing dan berkualiti serta dapat menempa sejarah yang unggul serta mampu mencapai kejayaan cemerlang ke tahap terbilang.
Dalam usaha mewujudkan kepimpinan instruksional yang berkesan, pengetua dan guru besar seharusnya mampu mewujudkan iklim pengajaran dan pembelajaran yang kondusif, mengutamakan aktiviti peningkatan profesionalisme untuk semua tenaga pengajar secara berterusan disamping menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan guru agar standard dan kualiti pengajaran guru sentiasa berada di tahap yang tinggi. Selanjutnya hal ini bukan sahaja memberi impakm kepada peningkatan produktiviti yang boleh meningkatkan daya saing di pasaran antarabangsa malah yang lebih penting bagi menarik modal dan teknologi asing. Kita harus mempergiat usaha-usaha mempertingkatkan kualiti dalam bidang pendidikan kerana pendidikan merupakan sumber utama dan daya penggerak penting dalam pencapaian matlamat Wawasan 2020. Pendidikan dapat menyumbang ke arah mewujudkan tenaga kerja mahir dan sebagai satu-satunya sumber penawaran guna tenaga, disamping melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab bagi menjamin kaharmonian dan kemakmuran negara.
Justeru, melalui kepimpinan instruksional Kementerian Pelajaran sedang giat mewujudkan satu standard nasional yang jelas ke arah pembaikan yang berterusan bagi menempa kemajuan yang signifikan dalam membentuk satu sistem pendidikan yang mementingkan kualiti bagi mencapai tahap minda kelas pertama menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Pelan tindakan bagi pembangunan sistem pendidikan bertaraf dunia 2006 - 2010 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Januari 2006 merupakan wadah terbaik bagi anjakan paradigma sistem pendidikan negarake arah pembinaan modal insan kelas pertama sebagai pemangkin kepada Wawasan 2020 serta merupakan teras kedua Misi Nasional yang menjadi penentu kejayaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK - 9).
Pengetua dan Guru Besar seharusnya memastikan pelan strategik ini berjaya sepenuhnya dan sekiranya kita gagal, kita sebenarnya turut menyumbang kepada era kegagalan dan kejatuhan bangsa Malaysia pada masa mendatang.

No comments: