Thursday, September 24, 2009

KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL - ISU KRITIKAL

PENDIDIKAN - ISU KRITIKAL
Pendidikan begitu kritikal dan sudah menjadi agenda sejagat, penentu kepada kemajuanbangsa dan pilihan pertama dan utama bagi semua keluarga. Fenomena ini begitu genting di negara membangun dan maju hingga didapati perlu diwujudkan beberapa organisasi yang berangkai untuk memajukan pendidikan di peringkat sekolah dan pendidikan tinggi. Persaingan dengan negara-negara lain menuntut kita melakukan anjakan dalam pembangunan modal insan dari segi keupayaan dan intelek. Justeru, Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan telah menetapkan "Pembangunan Modal Insan Kelas Pertama" sebagai satu daripada lima teras utama ke arah pencapaian matlamat Wawasan 2020.
Sesungguhnya kejayaan agenda pembangunan modal insan amat bergantung pada kualiti sistem pendidikan dan terasnya ialah aktiviti instruksional atau pengajaran dan pembelajaran. Potensi persepakatan dan bersepadu dalam pengajaran dan pembelajaran (P & P) ternyata masih belum berjaya dan belum dimanfaatkan secara optimum. Pengajaran berkualiti tinggi masih diharapkan oleh sistem dan dengan mewujudkan guru cemerlang akan mendorong guru menjadi instruksional experts yang sukar dipertikaikan. Sebagi contoh kaedah mengajar secara berpasukan atau collaborative teaching masih belum menjadi satu budaya. Masih ramai guru mengajar mengikut kehendak urutan dan cadangan dalam sukatan pelajaran, berorientasikan peperiksaan tanpa mencerna kehendak klien atau murid serta tidak menepati konsep pengajaran berpusatkan murid.
Mereka kelihatan bekerja dalam dunia masing-masing terutama dalam pengajaran. Fenomena ini memberi kesan secara langsung kepada pengurusan kurikulum di bilik darjah. Menurut Laporan Jemaah Nazir, terdapat guru-guru yang mengajar tanpa set induksi, pengajaran tidak berpusatkan murid, perancangan strategik didapati tidak sistematik, kualiti pengajaran guru masih pada tahap sederhana, pengajaran disampaikan tanpa mengira pengetahuan sedia ada pada murid, kurang pemantauan dan sistem pentaksiran yang longgar. Hal ini mungkin disebabkan tanggapan bahawa guru yang mengajar kelas peperiksaan seperti Tahun Enam, Tingkatan Tiga, Tingkatan Lima dan Enam Atas bertanggungjawab terhadap keputusan peperiksaan. Jika keputusan peperiksaan baik, mereka akan disanjung atau sebaliknya.
Tanggapan ini membuktikan kesepakatan kerja dan tanggungjawab dalam P & P kelas-kelas peperiksaan belum wujud dengan sempurna sedangkan hasil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia merupakan tanggungjawab semua guru di sekolah.
Bahkan antara pengajaran di sekolah menengah dan rendah juga harus berkait. Justeru, kepimpinan instruksional perlu ditekankan agar dapat menjurus kepada misi sekolah bagi mencapai hasil P & P yang berkualiti.
Pemimpin sekolah yang berkualiti sudah tentu menjadi teraju utama di sekolah yangterbilang. Sebagai pemimpin, seharusnya dapat mengatur strategi berdasarkan kehendak Falsafah Pendidikan Negara dan wawasan 2020. Dalam konteks inilah kepimpinan instruksional yang melibatkan unsur keilmuan dan proses penyampaian ilimu dalam P & P, penterjemahan dan pengoperasian kurikulum dan pembangunan kumpulan, seharusnya difahami dan sekali gus diamalkan oleh semua pihak dan peringkat kepimpinan sekolah. selain itu, guru berkualiti sewajarnya mempu memiliki kemahiran sosial dan interpersonal yang baik, berjaya menjalin kerjasama dengan ibu bapa murid dan ahli masyarakat serta mampu menyumbang ilmu demi pembangunan dan kemajuan sekolah. Elton Mayo, seorang pakar sosiologi bidang penyelidikan di Harvard Graduate School dalam kajiannya mendapati corak kepimpinan yang mesra disamping perhatian berat pihak pengurusan mempunyai hubungan signifikan terhadap pencapaian matlamat dan produktiviti tinggi.
Hubungan baik ini akan dapat membendung gejala sosial dalam kalangan murid dan seterusnya dapat mengurus murid secara bersepadu khususnya yang melibatkan disiplin murid dan akhirnya memberi sumbangan kepada pembinaan modal insan.
Ramai pengkaji (Brookover & Lezotte, 1982; Duke, 1983; Edmonds, 1979 dan Kroeze, 1984) menekankan tentang kepentingan peranan pengetua dan guru besar sebagai pemimpin instruksional. Walau bagaimanapun, tinjauan literatur berkaitan isu ini mendapati kepimpinan instruksional jarang dipraktikkan (Flath, 1989). Stronge (1988) mendapati pengetua dan guru besar menumpukan 62.2% daripada masa mereka kepada isu-isu pengurusan sekolah dan hanya 6.2% daripada masa mereka difokuskan kepada isu-isu yang berkaitan program pendidikan di sekolah. Stronge juga mendapati bahawa walaupun seorang pengetua dan guru besar melaksanakan pelbagai tugas setiap hari, hanya 11% daripada tugas-tugas tersebut berkait rapat dengan kepimpinan instruksional.
Hallinger (1989) berpendapat bahawa keadaan ini berlaku kerana kurang atau tiada persediaan untuk meningkat dan menyokong kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam bidang kepimpinan instruksional. Justeru imej kepimpinan instruksional wujud hanya sebagai retorik profesional dan seringkali tidak dipraktikkan. Berlin, Kavanagh dan Jensen (1988) merumuskan bahawa jika sekolah-sekolah ingin meningkatkan prestasi, pengetua dan guru besar tidak wajar membenarkan tugas-tugas harian menghalang mereka daripada memainkan peranan sebagai pemimpin instruksional. dapatan ini disokong oleh kajian Findley & Findley (1992) yang menyatakan keberkesanan sesebuah sekolah terhasil daripada ciri-ciri kepimpinan instruksional pengetua dan guru besar sekolah tersebut. Flath (1989) menyatakan kajian-kajian tentang sekolah berkesan mendapati pengetua dan guru besar sebagai tunggak utama dalam mewujudkan keadaan-keadaan yang menjurus kepada sekolah berkesan.

No comments: