Tuesday, September 22, 2009

BAITULLAH (KA'BAH)

Kemusnahan Ka'bah Di Akhir Zaman
Terdapat hadis Rasulullah s.a.w. yang mengesahkan bahawa Ka'bah akan dimusnahkan pada akhir zaman nanti.
Diriwayatkan daripada Abu Huraira r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:-
"Ka'bah akan dimusnahkan oleh 'Zu As-Suwaiqatain (lelaki yang berkaki kurus) dari Habsyah (Ethiopia)."
Juga diriwayatkan bahawa Ali r.a. berkata yang bermaksud:-
"Lakukanlah tawaf di rumah ini (Ka'bah) sebanyak mungkin sebelum kamu dihalang dari melakukannya. Seolah-olah aku dapat melihatnya (Seorang lelaki dari Habsyah) dengan kepala dan telinga yang kecil, menghancurkan (Ka'bah) dengan cangkulnya."
Manakala diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah berkata yang bermaksud:-
"Seolah-olah aku dapat melihatnya, hitam dan berkaki pengkar (tempang), dia meruntuhkan batunya (Ka'bah) satu demi satu."
Sa'id bin Sam'an berkata bahawa dia mendengar Abu Hurairah r.a. memberitahu Abu Qatadah r.a. bahawa dia telah mendengar Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:-
"Sumpah taat setia akan dilakukan kepada seorang lelaki di antara Rukun dan Maqam dan tidak ada seorang pun yang akan melanggar kesucian Rumah ini kecuali kaumnya sendiri. Apabila mereka melanggarinya, jangan dipersoalkan lagi akan kemusnahan kaum Arab. Kemudian datang kaum Habsyah yang akan memusnahkannya sama sekali sehingga ia tidak mungkin akan dibina kembali dan merekalah yang akan mengeluarkan harta perbendaharaannya."
Hadis-hadis ini tidak pula bercanggah dengan hadis 'Aishah r.a., sabda Rasulullaj s.a.w. yang bermaksud:-
"Satu pasukan tentera akan menyerang Ka'bah dan apabila mereka tiba di satu kawasan lapang, bumi akan menelan mereka semua daripada yang pertama dan yang terakhir."
Al-Hafiz Ibnu Hajar -rahimahullah- berkata yang bermaksud:-
"Ini menjelaskan bahawa akan berlaku beberapa serangan ke atas Ka'bah.pada suatu masa Allah s.w.t. akan musnahkan mereka sebelum mereka sampai kepadanya. Adakalanya Allah s.w.t. membiarkan mereka melakukannya. Apa yang jelas daripada hadis bahawa peristiwa meruntuhkan Ka'bah ini berlaku mutakhir daripada hadis mereka ditelan oleh bumi."

No comments: