PENGERTIAN HAJI DAN UMRAH
Haji pada syarak ialah mengunjungi Baitullah al-Haram dalam bulan haji keraja mengerjakan tawaf, sa'ie dan wuquf di Arafah dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala wajib-wajibnya.
HUKUM HAJI DAN UMRAH
Haji diwajibkan sekali sahaja seumur hidup ke atas setiap orang Islam yang sudah baligh, berakal, merdeka, berkuasa sama ada lelaki atau perempuan. Begitu juga dengan hukum umrah adalah wajib sama seperti hukum haji.
SYARAT WAJIB HAJI DAN UMRAH
Syarat wajib haji dan umrah adalah sama iaitu:-
1. Islam - Tidak wajib dan tidak sah ke atas orang kafir dan murtad (wal'iyazubillah).
2. Baligh (cukup umur) - Tidak diwajibkan mengerjakan haji ke atas kanak-kanak dan jika ia mengerjakan adalah sah tetapi tidak menggugurkan haji fardhunya
3. Berakal - Tidak wajib ke atas orang gila dan tidak sah haji jika dilakukan
4. Merdeka - Hamba abdi tidak diwajibkan mengerjakan haji tetapi sah dan mendapat pahala jika dilakukan
5. Berkuasa mengerjakan haji dan umrah, ia terbahagi kepada dua bahagian:-
Pertama:- Berkuasa dengan sendirinya iaitu:-
a. Berkuasa membayar tambang menambang dan segala perbelanjaan bagi mengerjakan haji hingga selesai dan balik ke tempatnya
b. Mempunyai bekalan yang cukup untuk saraan nafkah orang yang di bawah tanggungannya
c. Ada kenderaan pergi dan balik
d. Aman di dalam perjalanan pergi dan balik seperti tidak ada peperangan, perompak, penyamun dan musuh yang mengancam keselamatan diri atau hartanya atau tidak ada penyakit yang berkangkit yang membahayakan tubuh badan
e. Sihat tubuh badan
f. Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah
Bagi wanita ditambah dua syarat lagi:-
a. Dengan izin suami atau wali
b. Hendaklah ia ditemani oleh suami atau mahramnya (orang yang haram nikah dengannya) atau yang thiqat (perempuan yang dipercayai)
Mahram dalam Ibadat Haji Sunat dan Umrah Sunat
Harus bagi seorang perempuan menunaikan Haji Sunat atau Umrah Sunat tanpa ditemani mahram dengan syarat-syarat tertentu mengikut Qaul Muqabilul Asah. Di antara syarat-syaratnya:-
a. Memastikan tidak adanya fitnah dan keselamatan diri terjamin
b. Sekiranya bernazar, bukan mengada-adakan alasan nazar untuk menunaikan haji
Kedua:- Berkuasa dengan pertolongan orang lain adalah:- bagi mereka yang sudah mencukupi syarat-syarat dari segi kewangan untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya sendiri disebabkan oleh uzur dan sakit yang tiada harapan sembuh atau terlalu tua umurnya, yang telah putus asa tidak dapat pergi menunaikan fardhu haji maka bolehlah digantikan dengan orang lain untuk mengerjakan haji itu nagi dirinya. Begitu juga dengan orang yang telah meninggal dunia yang berupaya semasa hayatnya tetapi tidak mengerjakan haji maka terhutanglah fardhu haji ke atasnya sehingga warisnya atau yang menerina wasiatnya menyelenggarakan hutang hajinya itu dengan upah yang berpatutan atau sukarela (Badal haji).
SYARAT-SYARAT WAKIL ATAU ORANG YANG MENGAMBIL UPAH HAJI (BADAL HAJI)
1. Ia telah pun menunaikan fardhu haji untuk dirinya sendiri dengan sempurnanya
2. Hendaklah melakukan ibadat haji untuk seorang sahaja bagi satu musim
3. Is mestilah berihram pada miqat orang yang dihajikannya atau pada tempat yang sama jauhnya dengan miqat itu. Jika ditentukan kepadanya sesuatu miqat hendaklah ia berihram pada migat yang ditentukan itu, jika tidak ditentukan mana-mana miqat maka harus bagi orang yang mengambil upah itu berihram pada miqat yang dilaluinya.
Bagi orang yang berada di Makkah mengambil upah haji maka wajib ia keluar ke miqat yang dihajikannya atau boleh juga pada mana-mana miqat yang lebih hampir kepadanya. Maka sekiranya ia berihram daripada miqatnya (di Makkah) nescaya berdosa dan wajib dikenakan dam, inilah Qaul yang muktamad oleh Syeikh Ibni Hajar dan Ramli.
Bagi pendapat Al-Jamalul Tabari adalah diharuskan berihram di Makkah dengan tiada dikenakan dam dan dikurangkan upahnya.
4. Ia hendaklah seorang yang cukup keahliannya bagi mengerjakan ibadat haji itu dengan menyenpurnakannya seperti ia mengerjakan haji untuk dirinya sendiri.
Adapun dalil yang membolehkan mengerjakan haji untuk orang lain di antaranya yang bermaksud:-
"Daripada Laqit bin Amir, bahawa ia telah mengadap Rasulullah s.a.w. dan berkata, "Bahawa bapa hamba seorang yang telah tua dan tidak berdaya menunaikan haji dan umrah dan tidak berkuasa mengikuti rombongan atau berjalan untuk mengerjakan haji atau umrah. Sabda s.a.w.:"Tunaikanlah haji untuk bapamu dan umrahnya." "
(Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tarmizi)
RUKUN DAN WAJIB HAJI
Rukun Haji:-
1. Niat Ihram
2. Wuquf di Arafah
3. Tawaf
4. Sa'ie
5. Bercukur atau bergunting
6. Tertib pada kebanyakan rukun
Wajib Haji:-
1. Niat Ihram di Miqat
2. Bermalam di Muzdalifah
3. Melontar Jamrah Al-Aqabah
4. Bermalam di Mina
5. Melontar ketiga-tiga Jamrah pada hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah)
6. Meninggalkan perkara-perkara larangan dalam masa ikram
RUKUN DAN WAJIB UMRAH
Rukun Umrah:-
1. Niat Ihram
2. Tawaf
3. Sa'ie
4. Bercukur atau bergunting
5. Tertib
Wajib Umrah:-
1. Niat Ihram di Miqat
2. Meninggalkan perkara-perkara larangan dalam masa ihram
PERBEZAAN RUKUN DAN WAJIB HAJI DAN UMRAH
Rukun haji dan umrah itu adalah pekerjaan asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang mengerjakan haji dan umrah (sekiranya salah satu daripada rukun haji dan umrah itu tidak dikerjakan sama ada sengaja atau terlupa maka ibadat haji dan umrahnya tidak sah).
Adapun perkara-perkara wajib haji dan umrah itu ialah pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan kedua-dua ibadat itu, sebaliknya jika tidak dikerjakan salah satu daripadanya maka haji dan umrah itu sah tetapi wajib ke atasnya dam serta berdosa jika ditinggalkan yang wajib itu dengan sengaja.
No comments:
Post a Comment