Tuesday, September 8, 2009

PENGENALAN AL-QURAN (2)

RUKUN-RUKUN BACAAN YANG SAH
Dari segi syarak bacaan Al-Quran yang sah ialah yang memenuhi 3 rukun tilawah iaitu:-
1. Kesinambungan sanad dengan bacaan Rasulullah s.a.w. (secara musyafakah)
2. Bertepatan dengan bahasa Arab Fushah
3. Bertepatan dengan Rasm Uthmani (Mashaf al-Imam) atau salah satu daripada mashaf yang enam
FAKTOR BACAAN YANG BAIK
Dalam menilai bacaan seseorang, terdapat beberapa faktor yang digariskan oleh para al-Qurra' yang bersumberkan Al-Quran dan Al-Sunnah. Antara faktor tersebut ialah:-
1. Membaca dengan tartil (iaitu bacaan tenang tanpa tergopoh gapah dan memenuhi kehendak tajwid). Firman Allah S.W.T yang bermaksud:-
"Dan Al-Quran itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkan bahagian demi bahagian." (surah al-Israq 17 : 106)
Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud:-
"Dan bacalah Al-Quran dengan "tartil"." (surah al-Muzammil 73 : 4)
2. Pengambilan melalui talaqqi dan musyafakah. Ulama Tajwid ada menyusun beberapa rangkap syair yang bermaksud:-
"Sesiapa yang menerima ilmu daripada guru secara musyafakah, dia akan terselamat dari terpesong dan diseleweng dan sesiapa yang menerima ilmu daripada buku ilmunya di sisi orang yang berilmu seperti orang yang jahil."
3. Membaca Al-Quran secara tadabbur.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Sesiapa yang ingin bercakap dengan Allah S.W.T. hendaklah dia membaca Al-Quran."
4. Memperelokkan suara semasa membaca Al-Quran.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Perhiaskanlah Al-Quran dengan suara kamu."
5. Bacaan dengan lahjah Arab.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Bacalah Al-Quran dengan gaya pertuturan Arab dan suaranya."
6. Tidak mengalunkan suara dengan berlebihan.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Seseorang yang paling baik suranya ialah mereka yang apabila membaca Al-Quran, engkau melihatnya takut kepada Allah."
PEMBELAJARAN AL-QURAN PADA ZAMAN RASULULLAH, SAHABAT, TABI'IN DAN MASA KEMUDIAN
1. Pembelajaran Al-Quran yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada sahabat berteraskan hafazan, penulisan dan kefahaman. Ia tidak terhad kepada orang dewasa sahaja, malahan ia didedahkan kepada kanak-kanak.
2. Pada zaman tabi'in, penekanan pembelajaran di peringkat kanak-kanak diperluaskan. Peringkat pertama ialah Al-Quran sebagai bahan bacaan utama diajarkan dengan membaca dan menghafaz semasa kanak-kanak berusia lima tahun. Disamping itu kanak-kanak juga diajar pelajaran tambahan yang lain seperti membaca, menulis, mengira, bahasa Arab dan syair
3. Di peringkat ini, kanak-kanak diajar membaca dan menghafaz melalui surah yang pendek dan mengulangi mengikut bacaan guru sahaja. Kaedah ini memudahkan kanak-kanak menghafaz Al-Quran walaupun tanpa memahami makna dan kandungannya.
Walau bagaimanapun, pembelajaran yang dilaksanakan dalam masyarakat kita selama ini ialah asas pembelajaran Al-Quran yang berdasarkan Muqaddam al-Baghdadi dan kaedah-kaedah terkini.
BAHAN-BAHAN CETAKAN AL-QURAN
1. Kertas
2. Pita
3. Cakera padat
4. Digital
5. Perisian komputer
6. dan lain-lain seperti logam, kulit, batu dan kayu

No comments: