Tuesday, September 22, 2009

IBADAT HAJI - UMRAH DAN ZIARAH

DALIL WAJIB HAJI DAN UMRAH
1. Dalil daripada Al-Quran:-
Firman Allah SWT yang bermaksud:-
"Dan serukanlah kepada umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai-bagai jalan (seruk rantau) yang jauh.
Supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan berbagai-bagai faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban) dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah dan yang fakir miskin.
Kemudian hendaklah mereka membersihkan diri mereka dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu."
- (Al-Hajj: 27 - 29)
Firman Allah SWT yang bermaksud:-
"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji (dengan) mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat suatu pun) dari sekalian makhluk."
(Ali-Imran: 97)
Firman Allah SWT yang bermaksud:-
"Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah."
(Al-Baqarah: 196)
2. Dalil daripada Hadith:-
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:-
"Diriwayatkan oleh Ibni Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:- Dibinakan Islam atas lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadat (pengakuan dan penyaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah), mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan."
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:-
"Daripada Abi Hurairah r.a. berkata ia bahawa Rasulullah s.a.w. berkhutbah kepada kami dengan bersabda: "Wahai sekalian manusia sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas kamu haji maka hendaklah kamu menunaikannya. Maka seorang lelaki bertanya: " Adakah tiap-tiap tahun ya Rasulullah?" Rasulullah diam tidak menjawab, orang itu mengulangi pertanyaan hingga tiga kali, kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jika saya menjawab 'Ya' tentu menjadi wajib dan jika telah menjadi wajib kamu tidak dapat melaksanakannya. Biarkanlah apa yang sengaja saya diamkan. sesungguhnya yang membinasakan umat-umat yang sebelum kamu itu kerana banyaknya pertanyaan mereka dan banyak mereka menyalahi nabi-nabi mereka. Kerana itu apabila aku perintahkan sesuatu kepada kamu maka kerjakanlah sekuat-kuat tenagamu dan apabila aku melarang kamu dari melakukan sesuatu maka tinggalkanlah."
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)
"Daripada Zaid bin Sabit r.a. berkata ia: "Telah bersabda Rasulullah s.a.w. mengerjakan haji dan umrah itu dua fardhu yang hanya sekali sahaja (bagi seseorang Islam yang cukup syarat) bolehlah engkau kerjakan mana satu dahulu (sama ada haji ataupun umrah)."
(Diriwayatkan oleh Dailami)
"Daripada Saidina Ali r.a. berkata ia, sabda Rasulullah s.a.w. "Barang siapa yang ada mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah tetapi ia tidak menunaikan haji (hingga ia mati dengan tidak ada keuzuran baginya) maka tidak ada halangan baginya mati sebagai Yahudi atau Nasrani (dari segi seksanya) kerana Allah telah berfirman dalam kitab-Nya yang bermaksud:- "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji. (Dengan) mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya'.
(Diriwayarkan oleh Tirmizi dan Baihaqi)

No comments: