Wuquf ialah berada di bumi Arafah walau satu saat sekali pun dari masa gelincir matahari hari ke 9 Zulhijjah hingga terbit fajar hari yang ke 10 Zulhijjah. seelok-eloknya berada di sana sebahagian hari ke 9 Zulhijjah dan sebahagian malam ke 10 Zulhijjah.
SUNAT-SUNAT WUQUF
Sunat-sunat di masa wuquf itu banyak, di antaranya suci dari hadas dan kekotoran, banyak membaca al-Quran,istighfar, talbiah dan doa kerana diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermakdud:-
"Tidak ada hari yang lebih ramai Allah s.w.t. melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada hari Arafah (hari wuquf) dan sesungguhnya Allah menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta berfirman apa yang dikehendaki oleh mereka?"
3. TAWAF BAITULLAH
Tawaf ialah mengelilingi Kaabah dengan syarat-syaratnya.
a. Jenis-jenis Tawaf:-
1. Tawaf Ifadah - ialah tawaf bagi mereka yang balik dari Arafah iaitu tawaf rukun kepada mereka yang mengerjakan haji (dinamakan tawaf rukun umrah begi mereka yang mengerjakan umrah)
2. Tawaf Qudum - ialah tawaf selamat datang ke Makkah mengunjungi Baitullah. Bagi mereka yang mengerjakan Haji Ifrad dan Haji Qiran disunatkan tawaf qudum
3. Tawaf Sunat - iaitu tawaf biasa yang dilakukan pada bila-bila masa yang disukai
4. Tawaf Nazar - iaitu tawaf yang dinazarkan
5. Tawaf Wada' - ialah tawaf selamat tinggal. Ia wajib dilakukan apabila seseorang itu hendak meninggalkan Makkah kerana menghormati dan memuliakan Baitullah Al-Haram.
Kelima-lima jenis tawaf ini samalah juga dengan tawaf rukun tentang syarat-syarat dan cara-cara mengerjakannya.
b. Syarat-Syarat Tawaf:-
1. Suci daripada dua hadas (hadas besar dan kecil)
2. Suci daripada najis pada pakaian, badan dan tempat tawaf
3. Menutup aurat sebagaimana dalam sembahyang
4. Hendaklah dimulakan pada sudut Al-Hajar Al-Aswad dan berniat tawaf jika tawaf itu Tawaf Qudum, Nazar, Sunat atau Wada' (tidak wajib berniat pada tawaf haji atau umrah)
5. Sewaktu berjalan tawaf, Baitullah hendaklah sentiasa berada di sebelah kiri
6. Berjalan itu dengan bertujuan tawaf. Tidak sah tawaf sekiranya berjalan dengan tujuan lain seperti hendak mencari kawan atau sebagainya
7. Cukup tujuh keliling dengan yakin
8. Tawaf itu hendaklah dilakukan dalam masjid dan diluar dari bahagian Kaabah seperti Hijr Ismail dan Shazarwan (tembok yang dijadikan bingkai di kaki Baitullah, kerana ia termasuk di dalam bahagian Kaabah)
c. Di antara perkara-perkara sunat semasa mengerjakan tawaf:-
1. Keadaan tawaf itu berjalan kaki (kecuali bagi mereka yang uzur bolehlah diusung)
2. Berittiba' (menjadikan tengah kain selendang di bawah ketiak kanan dan kedua-dua hujungnya di atas bahu kiri, tinggal bahu kanan terbuka) bagi lelaki yang mengerjakan tawaf haji atau umrah. Yang diikuti selepas dengan sa'ie (dan makruh ittiba' dalam sembahyang)
3. Melakukanramal (berlari-lari anak dengan memendekkan langkah, tidak melompat) bagi lelaki pada keliling yang pertama, kedua dan ketiga iaitu pada tawaf yang ada sa'ie selepasnya.
4. Melakukan Istilam iaitu menjabat al-Hajar al-Aswad dengan tapak tangan kemudian mengucupnya. Kalau tidak dapat, disunatkan isyarat dengan tangan sahaja dari jauh, kemudian kucup tapak tangan. begitu juga sunat Istilam Rukun Yamani tetapi tidak sunat mengucup rukun tersebut. Hanya sunat mengucup tapak tangannya sahaja. Bagi orang perempuan tidak sunat melakukan Istilam kecuali ketika lapang dan jika tidak tidak, memadai dengan isyarat sebagaimana di atas.
5. membaca zikir dan doa yang warid
6. Berturut-turut tujuh pusingan tawaf itu
7. Tawaf dengan tawaduk dan khusyuk
8. Sembahyang sunat dua rakaat setelah selesai tawaf dan sunat pula sembahyang di belakang Maqam Ibrahim
No comments:
Post a Comment