Thursday, September 24, 2009

HAJAR ASWAD

SEJARAH HAJAR ASWAD
Ketika Nabi Ibrahim a.s. membina Ka'bah dan sampai di tempat Hajar Aswad, Nabi Ibrahim a.s. meminta Ismail a.s. agar mengambil seketul batu yang boleh dijadikan sebagai tanda tempat permulaan tawaf. Lalu Ismail a.s. pergi mencarinya, tiba-tiba datang malaikat Jibrail membawa Hajar Aswad kepada Nabi Ibrahim a.s.. Allah s.w.t. telah menyimpannya di bukit Abi Qubais ketika berlakunya taufan Nabi Nuh dan berfirman kepada Jibrail:
"Apabila engkau lihat khalili (kekasih-Ku) membina rumah-Ku maka keluarkanlah ia kepadanya."
Apabila Ismail a.s. kembali bersama seketul batu, baginda mendapati bapanya telah meletakkan Hajar Aswad di situ. Dia terus bertanya: "Wahai bapaku, siapakah yang telah membawa batu ini kepadamu?''. Lalu Ibrahim menjawab: "Ianya telah dibawa kepadaku oleh orang yang tidak mengharapkan batu yang dibawa olehmu, ia telah dibawa oleh Jibrail".
Semasa Quraisy membina Ka'bah, setiap kabilah telah dibahagikan satu penjuru Ka'bah. Apabila sampai binaan ke tempat Hajar Aswad mereka mula berbantah. setiap kabilah mendakwa mereka lebih berhak untuk meletak Hajar Aswad di tempat asalnya, sehingga mereka bersumpah untuk berperang sekiranya mereka tidak dapat meletakkannya.
Akhirnya mereka membuat keputusan bahawa, orang yang akan memutuskan perkara ini ialah orang yang pertama memasuki masjid ini dari pintu Bani Syaibah. Orang pertama yang memasuki pintu tersebut ialah Rasulullah s.a.w.. Apabila melihatnya mereka bersetuju untuk menjadikannya sebagai hakim dalam permasalahan tersebut. Mereka memberitahu Rasulullah s.a.w. yang berumur 35 tahun pada ketika itu dan terkenal dengan gelaran 'Al-Amin'.
Rasulullah s.a.w. mengambil sehelai kain dan meletakkan Hajar Aswad di atasnya. kemudian Rasulullah s.a.w. mengarahkan setiap wakil dari setiap kabilah untuk mengangkatnya hingga sampai ke tempatnya dan Rasulullah s.a.w. mengambil Hajar Aswad dengan tangan baginda yang mulia dan meletakkan ia di tempatnya.
Hajar Aswad merupakan batu yang tertanam di penjuru Ka'bah yang sangat penting kerana ia adalah sebagai tanda permulaan dan akhir tawaf. Asalnya ia merupakan satu ketul batu sahaja tetapi sekarang sudah pecah menjadi 8 kepingan batu kecil. Kepingan yang terbesar sebesar sebiji tamar, ianya tertanam di batu besar lain yang dilingkungi dengan sebuah penutup yang diperbuat daripada perak.
Menurut Sheikh Mohd Tahir Al-Kurdi (meninggal dunia tahun 1400H):
"Yang jelas daripada Hajar Aswad pada zaman kita (pertengahan abad 14 Hijrah) yang kita sentuh dan kita kucup merupakan lapan kepingan batu kecil yang mempunyai saiz berbeza. Kepingan yang terbesar adalah sebesar sebiji tamar, Perpecahan Hajar Aswad kepada beberapa kepingan kecil ini adalah disebabkan oleh angkara khianat yang dilakukan oleh beberapa golongan penjahat pada masa yang lalu.
Semenjak 50 tahun dahulu (pada awal abad 14 Hijrah) bilangannya adalah sebanyak 15 keping. Kemudian ianya semakin berkurangan disebabkan oleh proses baik pulih yang dilakukan terhadap lingkungan Hajar Aswad. Bahagian-bahagian batu kecil dan sudah hancur telah diuli semula dengan lilin dan kasturi. Kemudian ia diletakkan semula di tempatnya. Warnanya bertambah hitam kerana terlalu banyak air wangi diletakkan ke atasnya."
Perhatian:-
Berdasarkan maklumat ini, pada masa sekarang bukan semua batu berada dalam lingkungan perak adalah Hajar Aswad. Hajar Aswad adalah 8 keping batu kecil yang berada di dalamnya. Sesiapa yang ingin mengucup Hajar Aswad maka dia hendaklah meletakkan mukanya ke atas kepingan batu tersebut. Wallahua'lam.
Renungan:-
Rasuah bukan sahaja dilakukan untuk kepentingan dalam bisnis, malahan ianya berlaku dalam ibadat dan dilakukan di hadapan Ka'bah. Sesiapa yang ingin mengucup Hajar Aswad bolehlah membayar sebilangan wang kepada orang-orang yang tertentu yang sentiasa mencari peluang dan mangsanya adalah kita yang terlalu inginkan mengucup Hajar Aswad tersebut.

No comments: