Thursday, September 10, 2009

SEJARAH AL-QURAN (2)

5. PENULISAN AL-QURAN PADA ZAMAN SAIYIDINA UTHMAN BIN AFFAN R.A.
a) Pada masa pemerintahan Khalifah Saiyidina Uthman bin Affan r.a., Islam telah berkembang dengan luas meliputi Semenanjung Tanah Arab dan lain-lain wilayah termasuk Armenia, Arzabeijan dan Khurasan. Umat Islam di wilayah-wilayah tersebut telah mempelajari dan membaca Al-Quran menurut kaedah-kaedah bacaan Rasulullah s.a.w. melalui riwayat bacaan para sahabat yang mahsyur antaranya:-
i. Penduduk Mekah dan Madinah mengambil kaedah bacaan dari Ubai bin Ka'ab, Zaid bin Thabit dan Saiyidina Umar bin al-Khatab r.a.
ii. Penduduk Syam mengambil kaedah bacaan daripada Saiyidina Uthman bin Affan dan Abu Daud r.a.
iii. Penduduk Basrah mengambil kaedah bacaan dari Saiyidina Umar bin al-Khatab, Ubai bin Ka'ab, Zaid bin Thabit, Saiyidina Uthman bin Affan, Saiyidina Ali bin Abi Talib dan Abu Musa al-Asha'ari r.a.
iv. Penduduk Kufah mengambil kaedah bacaan daripada Abdullah bin Mas'ud, Saiyidina Ali bin Abi Talib, Saiyidina Uthman bin Affan, Ubai bin Ka'ab dan Zaid bin Thabit r.a.
b) Pada tahun 25 Hijrah, satu perbalahan yang hebat telah berlaku di kalangan muslimin mengenai perbezaan kaedah bacaan dan seterusnya perselisihan dari segi riwayat pembacaan al-Quran.
c) Keadaan yang tidak begitu sihat ini telah disampaikan oleh seorang sahabat yang bernama Huzaifah bin al-Yaman kepada Saiyidina Uthman bin Affan. Huzaifah telah mencadangkan supaya Khalifah Saiyidina Uthman r.a mencari jalan untuk menyatukan kaum muslimin dengan cara menyelaraskan mazhab agar tidak berlaku lagi perbalahan dan perselisihan tersebut. Khalifah Uthman bin Affan telah membentuk satu jawatankuasa penulisan Al-Quran yang diketuai oleh Zaid bin Thabit r.a. dan dibantu oleh beberapa orang anggota yang lain yang terdiri dari Abdullah bin Zubair, Said bin al-'As dan Abdul Rahman bin al-Harith bin Hisham r.a.
d) Lembaran-lembaran Suhuf Al-Quran yang diambil dari simpanan Saiyidatina Hafsah binti Umar r.a. untuk dijadikan mashaf. Ketika ahli-ahli jawatankuasa ini menjalankan tugas, Saiyidina Uthman bin Affan memberi nasihat dan melatakkan panduan bahawa asas rujukan di dalam penulisan Al-Quran ini hendaklah berdasarkan bacaan para al-Qurra'. Jika terdapat perbezaan pada bacaan mereka, maka hendaklah ditulis mengikut bahasa orang-orang Quraisy kerana Al-Quran itu diturunkan menurut bahasa Quraisy.
e) Menurut pendapat yang muktamad, jawatankuasa tersebut telah menyusun dan menyalin sebanyak enam mashaf Al-Quran. Sebuah mashaf untuk kegunaan Saiyidina Uthman bin Affan r.a. sendiri yang dinamakan "Mashaf al-Imam" dan mashaf yang lain-lain dikirimkan ke Mekah, Syam, Basrah, Kufah dan Madinah.
f) Mashaf tersebut bukan sahaja dijadikan rujukan tunggal bagi penduduk di wilayah-wilayah berkenaan, bahkan dihantar bersama-samanya seorang imam (qari) yang adil dan mutqin di dalam bacaan Al-Quran untuk mengajar penduduk berkenaan. Mereka terdiri daripada:-
i. Abdullah bin al-Saaib r.a. ke Mekah
ii. Al-Mughirah bin Abi Syahab r.a. ke Syam
iii. Abdul Rahman Abdullah bin Habib al-Sulami r.a. ke Kufah
iv. Amru bin Qais r.a. ke Basrah
v. Zaid bin Thabit r.a. ke Madinah
Selepas itu, Saiyidina Uthman bin Affan r.a. memerintahkan supaya semua lembaran yang ditulis sebelum ini dikumpulkan untuk dibakar atau dilupuskan. Walau bagaimanapun, perbezaan bacaan (wajah al-Qiaraat) yang ada hingga sekarang ini tidaklah berlawanan dengan apa yang terdapat di dalam mashaf yang ditulis pada zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a. kerana bacaan itu telah diterima dari baginda Rasulullah s.a.w. secara mutawatir.
g) Usaha pengumpulan Al-Quran yang dilakukan pada zaman khalifah Uthman r.a. telah mendatangkan faedah yang besar kepada umat Islam terutama dari segi:-
i. Dapat menyelamatkan umat Islam dari perpecahan
ii. Dapat menyelesaikan perselisihan kaum muslimin tentang penulisan Al-Quran
iii. Dapat menyatukan bentuk mashaf yang seragam melalui ejaan dan tulisan
iv. Dapat menyatukan wajah-wajah qiraat melalui satu mashaf
v. Dapat menyelaras susunan ayat-ayat menurut tertib seperti yang ada sekarang ini

No comments: