Wednesday, September 30, 2009

APA BEZANYE 10A1 DENGAN 5A?

Pemegang PhD palsu perosak imej ilmuwan
Oleh Dr Jerniri Amir
Berita Harian - Rencana 30 September 2009
manusia gila gelaran jejas reputasi tokoh, sarjana tulen

Seseorang perlu melakukan penyelidikan, pembacaan yang luas dan mendalam jika ingin mencapai tahap pendidikan tertinggi.

Rencana yang ditulis oleh Dr. Jeniri Amir ini menjelaskan bagaimana susah payahnya untuk mendapat sesuatu kedudukan bukan sahaja dalam bidang akademik malahan juga dalam bidang sosial. Namun begitu dewasa ini kita lihat betapa mudahnya untuk kita mendapatkan dan memang menjadi perebutan untuk memiliki atau mendapatkannya. Situasi ini akan menimbulkan pertikaian dan sering diperbahaskan oleh umum. Ketidakjujuran pada diri sendiri adalah punca kepada permasalahan ini timbul. Begitu juga apabila menganggap diri sendiri lebih baik akan membuat seseorang itu meletakkan diri jauh ke lembah kehinaan, apabila kedudukan seseorang itu dipertikaikan.

Itu di peringkat tertinggi di mana semua orang yang gilakan glamour ini akan berusaha sedaya upaya untuk memiliki kedudukan tersebut. Manusia seperti ini sanggup menghabiskan wang berpuluh-puluh ribu ringgit asalkan apa yang ingin dimiliki menjadi kenyataan. Manusia akan sedaya upaya melobi dengan wang ringgit malahan dengan apa cara sekali pun asalkan dapat gelaran Datuk dan sebagainya. Mereka akan berasa megah apabila di awal nama mereka tercatat "Dr." atau pun "Datuk" dan sebagainya. Mengapa gelaran "Datuk" begitu glamour dalam masyarakat Malaysia?

Perkara seperti ini bukan sahaja berlaku di peringkat tertinggi malahan yang menjadi mangsa situasi ini adalah pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan yang cemerlang. Mereka ini sering kali dihantui oleh rakan-rakan mereka yang berkelulusan rendah dan sederhana dalam kemasukan pelajar ke IPTA atau pun IPTS. Sewajarnya pihak kementerian melihat perkara ini secara menyeluruh bukan hanya sekadar berkata peluang untuk melanjutkan pelajaran terbuka luas dengan menafikan pelajar-pelajar lepasan SPM yang cemerlang.

Bayangkan betapa sedih dan pilu serta rasa tersisih bagi pemegang 10A1 SPM apabila tidak dipanggil untuk temuduga perguruan Program Pelajar Cemerlang (PPC) bagi pengajian luar negara sedangkan rakannya yang tidak mendapat A1 atau A2 dalam subjek-subjek sains dipilih untuk temuduga dan akhirnya mendapat tempat di IPT luar negara. Apa bezanya mereka?

Bayangkan betapa sedih dan pilu serta rasa tersisihnya bagi pemegang 10A1 SPM apabila tidak ditawarkan untuk pengajian perubatan di luar negara sedangkan rakannya yang hanya memegang 4 atau 5 A dalam SPM telah berada di Mesir untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan. Apa bezanya mereka?

Bayangkan betapa sedihnya dan pilu serta rasa tersisihnya bagi pemegang 10A1 SPM apabila tidak dipanggil temuduga dalam bidang kejuruteraan untuk universiti dalam dan luar negara sedangkan rakannya yang mendapat hanya 6 atau 7 A SPM telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di universiti dalam dan luar negara. Apa bezanya mereka?

Lihatlah dan berilah peluang kepada mereka yang cemerlang terlebih dahulu sebelum memberi peluang kepada mereka yang lain yang kurang cemerlang. Disamping itu, berilah penajaan kepada mereka yang cemerlang terlebih dahulu sebelum memberi penajaan kepada yang kurang cemerlang. Dalam aspek ini kita tidak mahu akan keluar kata-kata:- "dapat 10A1 pun tak ada makna" dari mulut pelajar yang cemerlang tersebut.

Pelajar cemerlang ini bukan semuanya datang dari keluarga yang berada. Ada antara mereka yang datang dari keluarga sederhana dan ada yang datang dari keluarga miskin. Berilah peluang kepada semua yang cemerlang tidak mengira latar belakang keluarga mereka. Apabila kita memberi bantuan atau sumbangan bukan sahaja bererti kita membantu atau menyumbang kepada keluarga mereka. Perkara utama dalam aspek ini ialah kita menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan yang telah dicapai oleh pelajar berkenaan.

Sekiranya peluang-peluang atau tempat yang istimewa untuk menyambung belajar ini tidak diberi kepada pelajar yang cemerlang akan menjadikan pelajar yang akan datang tidak mempunyai semangat untuk cemerlang. Daya saing akan luntur dan modal insan yang akan menjadi aset negara akan terbantut perkembangannya. Peluang untuk belajar di tempat yang istimewa ini akan dibolot oleh mereka yang mempunyai banyak wang. Kroni-kroni pihak tertentu juga akan dapat menyambar peluang ini. Kadang-kadang pencapaian yang diperolehi dalam SPM tidak melayakkan mereka berada di tempat seperti itu. Namun begitu, melalui komunikasi kroni peluang pelajar cemerlang tertutup.

Kita selalu dan akan berbangga dengan pencapaian pelajar-pelajar kita dalam peperiksaan. Pencapaian cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM dan STPM akan disanjung dan dipuji. Adakah melalui sanjungan dan pujian itu dapat menjadi satu penghargaan kepada mereka? Adakah dengan menyiarkan berita tersebut melalui media akan dapat menjanjikan masa depan mereka berjaya? Adakah dengan mengumpul mereka yang cemerlang dalam satu majlis merupakan satu pengikhtirafan yang selaras dengan pencapaian mereka? Bayangkan mereka bertungkus lumus berusaha, berdoa dan bertawakkal untuk mencapai kecemerlangan dan apabila berhasil akan keluar kata-kata mereka, "apa bezanya 10A1 dengan 5A?

No comments: