Thursday, January 8, 2009

MASIH ADAKAH YANG SAYANG

Mengikut Undang-Undang Pendidikan, kecuaian guru dan sekolah boleh mengundang mereka untuk diheret ke mahkamah. Kecuaian guru biasanya dikaitkan dengan kemalangan dan kecederaan yang menimpa pelajar. Apabila mahkamah memutuskan bahawa wujud liabiliti guru dalam sesuatu kejadian, guru terpaksa membayar denda dalam bentuk ganti rugi, khususnya kepada ibu bapa murid tersebut.
Oleh itu, kaum pendidik seharusnya celik undang-undang pendidikan. Undang-Undang Pendidikan ini sepatutnya dipelajari atau didedahkan kepada bakal guru semasa mereka masih menuntut di institut perguruan atau pun di institut pengajian tinggi lagi sebelum mereka mula berkhidmat di sekolah-sekolah. Undang-Undang Pendidikan ialah suatu sistem peraturan yang mengawal tingkah laku mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan.
Semua guru dianggap mempunyai kewajipan berjaga-jaga. Guru mengambil alih peranan dan tanggungjawab ibu bapa semasa di sekolah. Istilah “in loco parentis” digunakan untuk menghurai kan peranan dan tanggungjawab tersebut. Istilah Latin lama "in loco parentis" bermakna ibu bapa menyerah sebahagian daripada autoriti mereka kepada pihak sekolah iaitu guru dan Guru Besar dalam proses menghantar anak mereka ke sekolah.
Tiga kategori kecuaian guru ialah:-
1. Guru mendedahkan pelajar terhadap situasi yang berbahaya
2. Guru tidak melakukan tindakan untuk mencegah atau mengelakkan kecederaan
3. Guru cuai atau gagal memberi arahan dengan jelas.
Jenis dan kualiti arahan guru penting dalam mencegah sesuatu kemalangan daripada berlaku. Keraguan sering timbul apabila arahan yang kabur diberikan kepada pelajar. Tahap kewajipan berjaga-jaga adalah tinggi apabila pelajar keluar dari persekitaran sekolah untuk menjalankan sebarang aktiviti.
Penyeliaan pelajar secara 100% pada setiap saat adalah mustahil. Untuk meninggalkan kelas, arahan yang jelas dan tugasan yang sesuai perlu diberikan kepada pelajar. Secara am, penyeliaan kemudahan sekolah seperti padang permainan terletak di bawah tanggungjawab pentadbir sekolah.
Prinsip kewajipan berjaga-jaga juga perlu diamalkan dalam aktiviti sukan. Segala perlanggaran kewajipan tersebut akan menyebabkan kecederaan kepada pelajar dan akibatnya, guru mungkin akan didakwa kerana bertindak cuai.
Kewajipan berjaga-jaga dari segi perundangan bermula dan tamat di pintu sekolah ketika waktu persekolahan. Konsep "liabiliti vikarius" merujuk kepada keadaan di mana pihak majikan dianggap turut bertanggungjawab terhadap kesalahan pekerjanya dalam suatu tuntutan kes kecuaian.
Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh warga pendidik terutama guru? Guru perlu atau mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan yang munasabah tentang hak dan tanggungjawab mereka. Pengetahuan yang munasabah ialah adalah memadai faham dan tahu langkah-langkah kewajipan berjaga-jaga. Hak dan tanggungjawab pula ialah tahu tentang perkara atau perbuatan yang boleh dilakukan dan perkara atau perbuatan yang patut dielakkan.

No comments: