INGKAR PERINTAH
Penjawat awam juga tidak boleh ingkar akan perintah atau berkelakuan dengan apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah.
MAKSUD INGKAR PERINTAH
Mahkamah dalam kes Laws lwn London Chronicle (Indicator Newspaper) Ltd. dan kes Pepper lwn Webb menyebut bahawa seseorang dianggap ingkar perintah jika keingkaran itu dibuat secara sengaja atas sebarang arahan yang sah dan munasabah. Ingkar perintah boleh menjadi alasan untuk dibuang kerja kerana pekerja itu telah melanggar kontrak perkhidmatannya, jika dia secara sengaja telah ingkar (tidak turut perintah/arahan) yang dikeluarkan dengan sah dan munasabah oleh majikannya.
Dalam kes Adami lwn Maison Deluxe Ltd. mahkamah menyebut bahawa jika keingkaran itu ada lah secara penentangan atau penghinaan dengan sengaja yang berterusan oleh seorang pekerja maka pekerja itu juga boleh dibuang kerja.
Konsep umum dalam undang-undang pekerjaan ialah antaranya, pekerja hendaklah bersedia berkhidmat dan patuh kepada segala arahan yang sah dan munasabah. Seseorang penjawat awam hendaklah bersedia untuk bekerja. Dalam kes Stevenson lwn Teeside Bridge and Engineering, seorang pekerja, S yang bekerja dengan Teeside and Engineering telah enggan menjalankan tugas biasanya iaitu membuat kimpalan. mahkamah memutuskan bahawa S telah melakukan salah laku yang besar yang membolehkannya dibuang kerja.
Setiap pekerja (termasuk penjawat awam) perlulah sentiasa patuh kepada semua arahan yang sah dan munasabah daripada majikannya (seperti yang disebutkan sebelum ini). Apakah yang dimaksudkan dengan "arahan yang sah dan munasabah? Arahan dikatakan "sah" jika ia tidak melibatkan risiko yang berbahaya (yang pekerja itu tidak mengambil tugas sejak awal lagi) dan arahan itu tidak menyalahi undang-undang dan juga orang yang membuat arahan itu ada bidang kuasa mengenai arahannya itu. Jika seorang pegawai kanan telah mengarahkan seorang kerani menumbuk seorang pelayan pejabat, ini bukanlah arahan yang sah. Begitu juga jika seorang ketua jabatan yang beragama Islam menyuruh seorang setiausaha membelikannya nasi bungkus untuk makan tengah hari pada bulan puasa, maka arahan itu tidak sah. Jadi, dalam kes kerani dan setiausaha itu, jika mereka enggan melakukan arahan tersebut, mereka tidak boleh dikena kan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah.
Apakah pula yang dikatakan "arahan yang munasabah?" Arahan dikatakan munasabah jika arahan itu ada kaitan atau ada hubungan antara pekerja (termasuklah penjawat awam) yang berkenaan dengan pekerjaannya. Contohnya jika seorang pegawai mengarahkan seorang pelayan pejabat membuang sampah dari biliknya, maka arahan itu munasabah. Bagitu juga jika seorang ketua jabatan mengarahkan pegawai bawahannya datang bertugas pada suatu waktu malam menyiapkan segera laporan tahunan yang perlu dibentangkan segera di Parlimen, maka arahan itu masih munasabah. Jika seorang pegawai kanan Kastam telah mengarahkan pegawai bawahannya mengejar dengan sebuah bot yang disyaki bot penyeludup, maka arahan itu munasabah, tetapi jika seorang ketua jabatan mengarahakan setiausaha peribadinya mencuci tandas pada setiap pagi sebagai sebahagian kerja harian, maka arahan itu tidak munasabah. Begitu juga seorang pegawai mengarahkan seorang kerani membelikan makanan anjing dan mengarahkan kerani itu menghantar ke rumahnya, maka arahan itu juga tidak munasabah.
No comments:
Post a Comment