Wednesday, January 14, 2009

TINDAKAN TATATERTIB TERHADAP PENJAWAT AWAM (11)

PAKAIAN TERTIB
Salah satu peraturan baru yang diperkenalkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 ialah Peraturan 6, iaitu mengenai berpakaian semasa bertugas dan untuk urusan rasmi.
Peraturan 6, iaitu mengenai peraturan berpakaian terbahagi kepada dua:-
i. Peraturan mengenai pakaian harian semasa bertugas. Di bawah Peraturan 6(1), pakaian penjawat awam adalah sebagaimana mengikut arahanyang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dari semasa ke semasa.
ii. Peraturan mengenai pakaian semasa menghadiri upacara rasmi. Di bawah Peraturan 6(2), penjawat awam hendaklah berpakaian sebagaimana ditentukan bagi upacara tersebut dan jika tiada arahan sedemikian, maka dia hendaklah berpakaian yang sesuai dengan upaca tersebut.
Mengenai Peraturan 6(1), Pearturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, ianya sendiri bukanlah membuat apa-apa arahan mengenai pakaian apa yang boleh dan tidak boleh dipakai oleh penjawat awam semasa bertugas harian mereka.
Peraturan 6(1) juga mengesahkan "kehadiran" apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (berkaitan berpakaian harian) ke dalam peraturan-peraturan tatatertib. Namun jika Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mengeluarkan arahan sedemikian (dalam bentuk pekeliling atau surat pekeliling) adakah penjawat awam dengan sendirinya tahu, atau diandaikan tahu dan dengan itu berkuatkuasa terhadap penjawat awam? Jawapannya "tidak", penjawat awam setiap daripada mereka perlu diberitahu secara khusus "kehadiran" arahan sedemikian dengan mengesarkanarahan itu untuk dibaca dan difahami oleh setiap penjawat awam (dan penjawat awam mengesahkan membaca dan memahaminya dengan menurunkan tandatangan pada edaran itu).
Bagi maksud Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan tatetrtib) 1993, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sememangnya sebelum peraturan itu berkuatkuasa telah pun mengeluarkan Pekeliling berkaitan berpakaian ini. Pekeliling yang dimaksudkan ialah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1985.
Pakaian-Pakaian Yang Ditetapkan Pada Masa Bekerja:-
Pakaian Lelaki:-
a) Bagi pegawai-pegawai dalam Kumpulan A dan B "lounge suit" atau "bush-jacket" dengan bahan kain yang sesuai atau seluar panjang dengan baju kemeja dan bertali leher dan jika baju tersebut berlengan panjang, tangan baju hendaklah jangan dilipatkan
b) Bagi pegawai-pegawai Kumpulan C dan D seluar panjang berserta baju kemeja dengan warna yang sesuai, baju hendaklah dimasukkan ke dalam, jika baju tersebut berlengan panjang, tangan baju hendaklah jangan dilipatkan
c) Pakaian baju Melayu lengkap dengan bersamping atau pakaian baju yang mirip dengan potongan baju Melayu dan dipakai dengan seluar panjang, pakaian Melayu dengan kain sarung tidak dibenarkan
d) Jeans atau seluar pendek tidak boleh dipakai semasa bekerja
e) Kasut kulit atau lain-lain kasut yang sejenis dengannya. Capal boleh dipakai dengan pakaian baju Melayu yang lengkap dengan bersamping
f) Selipar, kasut getah dan kasut sukan tidak boleh dipakai semasa bekerja
Pakaian Perempuan:-
a) Pakaian Kebangsaan atau pakaian kaum masing-masing yang sesuai dipakai semasa bekerja. Jeans, slack seluar pendek dan apa-apa pakaian yang menutup muka tidak boleh dipakai semasa bekerja
b) Selipar, cerpu atau yang sejenis dengannya yang mempunyai bentuk yang sesuai boleh dipakai dengan pakaian yang ditetapkan, kasut sukan tidak boleh dipakai semasa bekerja
Pakaian Seragam (Uniform) Lelaki dan Perempuan:-
a) Pakaian seragam atau uniform hendaklah sentiasa dipakai semasa bekerja bagi mereka yang dibekalkan dengannya
Pakaian Batik Untuk Lelaki dan Perempuan:-
a) Pegawai-pegawai awam yang menyertai rombongan ke luar negara atas urusan rasmi ataupun dengan anjuran jabatan masing-masing hendaklah pada masa, tempat dan upacara yang sesuai, dan jika dibenarkan, memakai batik buatan Malaysia. Pegawai-Pegawai Awam adalah juga digalakkan memakai batik buatan Malaysia jika keadaan membenarkan apabila menyertai rombongan ke luar negara dengan anjuran persatuan, pertubuhan atau koperasi masing-masing
b) Pegawai-Pegawai Awam yang menghadiri sesuatu upacara, perjumpaan atau mana-mana jemputan, jika ditetapkan memakai batik, hendaklah memakai batik buatan Malaysia
c) Pegawai-Pegawai Awam digalakkan memakai batik semasa bekerja pada setiap hari Khamis setiap minggu, batik buatan Malaysia
Pakaian Lain Untuk Lelaki dan Perempuan:-
a) Pakaian-pakaian jenis lain termasuk jenis kasut, boleh dipakai oleh pegawai-pegawai awam semasa bekerja jika tugas-tugasnya memerlukan pakaian demikian dan dibenarkan oleh Ketua Jabatan masing-masing.
Pakaian Yang Menjolok Mata (Lelaki dan Perempuan):-
a) Pegawai-Pegawai Awam tidak dibenarkan memakai pakaian yang menjolok mata

No comments: