Monday, January 12, 2009

TINDAKAN TATATERTIB TERHADAP PENJAWAT AWAM (7)

BERTINDAK TIDAK JUJUR ATAU TIDAK AMANAH
Penjawat awam tidak boleh bertindak tidak jujur (Peraturan 4(2) (f) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan tatatertib) 1993). Mengikut Kamus Dwibahasa, perkataan tidak jujur ditakrifkan sebagai tidak lurus atau tidak ikhlas dan merujuk kepada perbuatan atau sifat yang suka menipu.Oleh itu penjawat awam boleh dianggap tidak jujur jika apa yang dilakukannya adalah bagi mendapat faedah untuk dirinya, walaupun dia mengetahui yang perbuatan itu salah dari segi tatacara jabatan atau undang-undang. Penjawat awam yang membuat tuntutan palsu bagi perjalanan yang tidak dilakukannya atau menuntut sewa hotel palsu adalah contoh yang boleh di katakan bertindak secara tidak jujur.Pejawat awam R yang berjawatan pegawai kaji bumi telah mendapat tahu daripada hasil kajian rasmi jabatannya bahawa terdapat emas yang banyak di kawasan tanah milik A. R kemudiannya telah memujuk A menjualkan tanah itu kepadanya dengan harapan apabila kerajaan mengambil balik tanah itu maka R akan mendapat harga yang tinggi. Dalam kes ini R bolehlah dikatakan telah bertindak tidak jujur.
TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
Mengikut Peraturan 4(2)(g), Pearturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, penjawat awam tidak boleh berkelakuan tidak bertanggungjawab. kamus An English Readers Dictionary mentakrifkan perbuatan tidak bertanggungjawab sebagai perbuatan yang dilakukan tanpa berhati-hati yang sewajarnya.
Contoh ialah seorang penjawat awam berjawatan pemandu yang tidak mempedulikan jalan rosak. Dia memandu dengan cara yang boleh dengan mudah merosakkan kenderaan jabatan. Oleh itu, dia telah melakukan perbuatan yang tergolong dalam tidak bertanggungjawab.
Kelakuan tidak bertanggungjawab juga termasuklah malas dalam tugas. kecuaian dalam tugas juga boleh dikatakan termasuk dalam kelakuan yang tidak bertanggungjawab. Dalam kes V.C Jacob lwn Peguam Negara Singapura seorang inspektor kesihatan kanan telah dibuang kerja atas kesalahan cuai dalam tugas iaitu dia telah gagal menyelia kerja kakitangan bawahannya dan tidak memberitahu ketuanya bahawa ada beberapa kakitangan bawahannya telah tidak datang bertugas.

No comments: