Saturday, January 10, 2009

TINDAKAN TATATERTIB TERHADAP PENJAWAT AWAM (3)

YANG TIDAK BOLEH DILAKUKAN OLEH PENJAWAT AWAM
Seseorang penjawat awam tidak boleh:-
a. Membelakangkan tugas awam kerana kepentingan persendirian
b. Berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan bercanggahnya kepentingan persendirian dengan tugas awamnya
c. Berkelakuan dengan cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa:-
i. Penjawat awam itu telah membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugas awam (jabatan/kerajaan), yang boleh pula menjejaskan khidmatnya sebagai penjawat awam
ii. Penjawat awam itu telah menggunakan kedudukan rasmi jawatannya untuk faedah persendirian.
Dalam Laporan Suruhanjaya untuk Menyiasat Perkara-Perkara yang Melibatkan Kewibawaan Perkhidmatan Awam 1955, disebutkan bahawa prinsip asas pekerjaan dalam perkhidmatan awam ialah setiap penjawat awam hendaklah menyerahkan seluruh hidup kerjanya kepada perkhidmatan awam.
Oleh itu, dalam apa cara sekalipun dan dalam apa situasi sekalipun, seseorang penjawat awam tidak boleh mengambil kesempatan daripada kerjanya dan tugasnya untuk kepentingan dirinya (sama ada kepentingan kewangan atau bukan kewangan). Jika wujud pertelingkahan kepentingan antara kepentingan sendiri dengan kepentingan jabatannya atau kepentingan awam, maka kepentingan jabatan dan kepentingan awam hendaklah diutamakan sepenuhnya. Membiarkan atau menyebabkan atau menjadikan sesuatu kepentingan awam menjadi kepentingan penjawat awam atau mengambil apa-apa peluang daripadanya, merupakan suatu kesalahan di bawah peruntukan Peraturan 4(2), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

No comments: