Mengapa orang Melayu masih lagi miskin? Adakah kerana orang Melayu masih lagi ketinggalan dari segi ekonomi maka orang Melayu dianggap miskin? Adakah orang Melayu itu miskin kerana orang Melayu masih berada dalam kepompong? Kalau betul, bilakah orang Melayu mahu keluar dari kepompong itu? Bilakah orang Melayu mahu berubah? Apakah orang Melayu yang berubah akan hilang status miskinnya dan menjadi orang kaya?
Miskinnya orang Melayu adalah berpunca daripada tiga sebab utama iaitu produktiviti yang rendah, penindasan dan keadaan yang terabai. Dalam program pembangunan umpamanya banyaknya melimpah-ruah di sekitar bandar. Semua kemudahan disediakan di bandar-bandar tetapi di kampung dan desa bukan hanya dapat tempiasnya malahan kadang-kadang hanya mendapat habuk yang ditiup angin sahaja.
Dalam usaha untuk membangunkan luar bandar, membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang ekonomi, sektor pertanian merupakan yang terbaik. Hampir keseluruhan bumi Malaysia ini adalah subur untuk pertanian. Namun sektor pertanian yang dijalankan hanyalah tertumpu di beberapa tempat sahaja. Sepatutnya sektor pertanian ini dikembangkan keseluruh tempat terutama di kawasan penempatan orang Melayu. Orang Melayu adalah masyarakat pertanian semenjak beribu-ribu tahun lagi.
"Kita mesti hadapi sesuatu situasi itu dengan sikap yang jujur dan berani. Kita tidak boleh lagi berasa segan dan silu. Ketegasan perlu ada dalam diri kita dengan berani menyatakan bahawa kita orang Melayu. Mengapakah kita seharusnya berasa malu dan segan untuk mengakui kita ini orang Melayu? Kita perlu sedar, orang Melayu tetap orang Melayu.
Perkara yang utama yang perlu diubah ialah "mindset". Kalau kita menanam ubi keledek, kita perlu mengubah pemikiran kita ke arah peluang yang ada. Ubi keledek bukan hanya boleh direbus dan dicecah dengan sambal belacan, malahan ia boleh dijadikan kerepek dan sebagainya. Apakah ini terfikir dalam pemikiran kita? Begitu juga dengan tanaman-tanaman yang lain.
Orang Melayu sewajarnya ada perasaan mahu berjaya. Orang Melayu mesti mula berfikir mementingkan diri sendiri. Kita mesti paksa orang Melayu untuk membetulkan perspektif orang Melayu. Apa yang perlu dilakukan mestilah jelas dan dapat difahami serta dihayati oleh orang Melayu itu sendiri.
No comments:
Post a Comment