Friday, February 27, 2009

KHUTBAH JUMAAT HARI INI

Ari nih teman pegi semayang jemaat juge dekat ofis tempat teman keroje. Kali ini teman pegi pule ke sebuah surau yang dijadikan semejid untuk semayang jemaat. Gitu le teman nih gilo-gilo gi semayang tak kire ler semayang jemaat ke semayang zohor ke, semayang asar ke. Semayang maghrib dgan isyak teman ke semejid di kariah teman tingge.
Oghang kampung nih semayang jemaat kat surau sebab semejid yang deme selalu semayang jemaat tuh dah kene roboh. Bukan kene roboh sebab nak bangunkan bangunan lain tapi kene roboh sebab nak dirikan semejid yang lebih beso, lebih selese, lebih indah, lebih cantik, lebih kemudahan (mungkin ade aircorn) dan yang dah tentu lebih mahal dan lebih segalanye dari semejid yang lame tuh.
Walaupun semayang kat surau (ada kalanye oghang kampung pangge melesah), tapi selesa bebeno, nyaman dan tenang. Maklumle keliling penuh pokok kayu yang tinggi. Redup le surau tuh, jadi sejuk semedang kat dalam surau tuh. Tak payah pakai aircorn pun tak pe.
Ari nih tajuk khutbah yang dibaca oleh Tok Khatib (ingat bukan Ustaz Khatib) ialah "Mauludir Rasul Menjelang Tiba". Oooooooo baru teman ingat ari nih 27.3.2009, maulidurRasul akan disambut pade 9.3.2009 bersamaan 12 RabiulAwal 1430H.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan dengan ikhlas dan cinta kepada Allah, mudah-mudahan kita mendapat kesejahteraan dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat.
Bulan RabiulAwal merupakan suatu bulan yang amat bersejarah bagi seluruh umat Islam. Kedatangan bulan yang mulia ini juga sentiasa dinanti dan diingati selalu oleh seluruh masyarakat Islam di Malaysia khasnya dan di seluruh dunia amnya. Ini kerana dalam bulan inilah junjungan kita rasul Allah diputerakan.
Hari peringatan ini disambut oleh umat Islam adalah untuk mensyukuri rahmat Allah yang telah menurunkan seorang pemimpin yang unggul lagi terpuji untuk mengubah suasana dan keadaan hidup manusia dari kegelapan akidah, syariah dan akhlak kearah lebih cemerlang, bahagia dan berjaya.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Marilah sama-sama kita menghayati peristiwa besar dan bersejarah disamping memperingat kan diri kita semua bahawa pesuruh Allah yang kita sambut hari ulang tahun kelahiran adalah bertujuan untuk memperkuatkan lagi keyakinan kita terhadap kerasulan baginda. Ini kerana baginda rasul Allah adalah satu-satunya rasul Allah yang ulung dan mempunyai darjat kelebihan daripada nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain. Ini adalah bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Albaqarah ayat 253 yang bermaksud;
"rasul-rasul itu kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Diantara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikan (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan...."
Rasul Allah telah ditinggikan pangkatnya oleh Allah dan dikurniakan dengan berbagai mukjizat. Mukjizat paling utama yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada baginda ialah kitab suci Al-Quran yang menjadi rahmat dan petunjuk bagi umat Islam seluruhnya jika diikuti segala ajaran pimpinannya.
Sidang Jumaat yang berbahagia sekelian,
Rasulullah merupakan seorang yang paling kita cintai. Kita mencintainya kerana baginda merupakan seorang rasul yang mempunyai sifat peribadi yang tidak ada tolok bandingnya. Rasa cinta kita kepadanya tidak cukup jika kita lahirkan dengan kata-kata dan majlis sambutan yang berbagai cara, tetapi mesti juga dilahirkan dengan mencontohi jejak langkah terutama sifat-sifat keperibadian baginda yang mulia lagi terpuji. Daripada sifat-sifat yang mulia inilah Rasulullah disanjung tinggi bukan sahaja oleh umatnya tetapi juga dipuji dan dimuliakan oleh penciptanya yang maha kuasa. Dengan sifat-sifat dan peribadi mulia inilah Rasulullah dapat memandu manusia dan mengubah suasana kehidupan manusia ke arah yang lebih cemerlang dan lebih bahagia bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat iaitu tempat yang paling kekal. Diantara sifat-sifat Rasulullah yang patut kita hayati dan mencontohinya ialah;
1. Bersifat Siddiq iaitu Rasulullah sentiasa bersifat benar dalam semua keadaan. Baginda tidak pernah berdusta dalam percakapan dan tidak pula menyeleweng dalam tingkah lakunya. Dalam kehidupan bermasyarakat, orang ramai akan tetap mempercayai golongan yang bersikap benar, mudah berurusan diantara satu sama lain dan dengan demikian akan wujud lah suasana aman dan tenteram.
2. Bersifat amanah iaitu Rasulullah adalah seorang yang bersifat amanah sejak kecil lagi hingga baginda telah diberikan gelaran "Al-Ain" dan diberi kepercayaan membawa dagangan Siti Khadijah seterusnya hinggalah Allah meletakkannya menjadi seorang rasul akhir zaman untuk seluruh makhluk hingga ke hari kiamat.
3. Bersifat Tabliq iaitu Rasulullah adalah seorang yang mempunyai sifat kesabaran dan kesungguhan yang tinggi dalam usaha menyampaikan dan menyebarkan agama Islam dengan menyatu padukan umat serta melakukan ibadat kepada Allah. Baginda tidak mudah putus asa terutama dalam usaha menegakkan agama Allah walaupun menghadapi tekanan paling hebat dari kaum-kaum Quraish dan penyokongnya.
4. Bersifat Fathonah iaitu Rasulullah adalah seorang yang mempunyai sifat kebijaksanaan terutama dalam penyebaran agama Islam. Rasulullah sentiasa berusaha dengan rajinnya dan tekun. Ini dapat dilihat dari apa yang telah dilakukan oleh baginda sejak dari kecil lagi dengan bekerja mengembala kambing. Ketika remaja pula berniaga dan akhirnya baginda berdakwah menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah disamping memperbaiki kepincangan masyarakat sehingga berjaya melahirkan satu masyarakat yang mampu menjadi contoh buat masyarakat dunia seluruhnya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Sempena memperingati ulang tahun keputeraan junjungan Rsulullah pada hari Isnin, 9 Mac ini marilah kita semua mencontohi sifat-sifat Rasulullah dengan sepenuhnya sebagai asas kejayaan hidup kita di dunia dan juga di akhirat. Tidak ada contoh yang lebih baik daripada apa yang kita ambil selain daripada Rasulullah. Sambutan mauludilRasul yang diadakan ini juga bertujuan memperingatkan diri kita tentang Rasulullah dan sejarah perjuangannya. Bukan untuk sementara sahaja tetapi hendaklah berterusan dan berkekalan dalam kehidupan dan melalui perjuangan Rasulullah dan para sahabat, tidak dapat dinafikan bahawa Islam berkembang dan maju. Oleh itu adalah tidak mustahil bagi umat Islam pada hari ini mengulangi dan mencapai kegemilangan tersebut kiranya kita hayati dengan sebenar-benar nya.
Segala sifat-sifat Rasulullah untuk dijadikan ikutan dan panduan kita hendaklah berusaha gigih dalam meningkatkan ilmu pengetahuan, sabar dan berusaha dalam melakukan yang sia-sia. Apa lagi perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang suci. Firman Allah yang bermaksud;
"demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyambut dan mengingati Allah banyak-banyak.

No comments: