Ari ni teman semayang jemaat kat semejid dekat opis teman keroje cari rezeki. Jauhnyer opis teman tuh dengan semejid sepelaung ajer. kalo oghang isap rokok tak sampa abis sebatang rokok segerit. Nama semejid tuh teman dah luper, maaf yer. Apa yang teman tertarik bebeno ari ni yela tentang khutbah jemaat yang tajuk nyer "kepimpinan melalui teladan". Jadi mekome seme kalo sudi boleh ler kongsi same. Jadi, di bawah ni teman persembahkan khutbah jemaat tersebut untuk mekome seme same-same nengok.
Tuan-tuan Sidang Jumaat Yang Dimuliakan.
Setiap manusia yang hidup di muka bumi ini perlu memikul amanah daripada Allah, antara amanah itu ialah tanggungjawab memimpin orang lain ke arah kesejahteraan hidup. Oleh itu, pemimpin bukan hanya terdiri daripada orang-orang tertentu sahaja, tetapi setiap orang mempunyai tugas sebagi seorang pemimpin. Sama ada memimpin diri sendiri, keluarganya, masyarakat atau negaranya. Sama ada besar atau kecilnya peranan seorang pemimpin itu terletak di atas kemampuan masing-masing. Hal ini pernah dijelaskan oleh Rasullulah saw di dalam hadisnya yang bermaksud:-
"Tiap-tiap seorang daripada kamu adalah pengembala (pemimpin) dan setiap seorang kamu akan ditanya tentang pimpinan. Maka seorang imam (penguasa dalam satu kelompok) adalah pemimpin. Pasti dia ditanya tentang pimpinannya. Ketua keluarga adalah pemimpin terhadap keluarganya, dia akan disoal tentang pimpinannya. seorang isteri adalah pemimpin (bertanggungjawab) di rumah suaminya. Dia pasti disoal tentang pimpinannya. Seorang khadam juga seorang pemimpin terhadap harta benda tuannya, dia akan disoal tentang pimpinannya. seorang anak itu pemimpin (bertanggungjawab) terhadap harta benda bapanya, dia akan disoal tentang jagaannya. Maka tiap-tiap seorang kamu akan disoal tentang pimpinannya.
Tuan-tuan,
Di dalam Al-Quran telah dijelaskan tentang tugas kepimpinan dan matlamatnya seperti firman Allah yang bermaksud:-
"Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru pada kebajikan, menyuruh pada kemakrufan dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang berjaya".
Dalam ayat di atas ini, dapat difahamkan bahawa setiap pemimpin yang mengaku dirinya sebagai seorang pemimpin Islam, maka mereka berkewajipan menyeru dan memimpin orang yang di bawah jagaannya ke arah kebajikan berdasarkan hukuman Allah. Segala tindakan janganlah menyimpang dari tujuan dan matlamat yang sebenar, tidak terburu-buru bertindak nafsu atau menurut akal fikiran semata-mata. Atau bertindak hanya untuk memenuhi kehendak masyarakat sahaja.
Setiap pemimpin Islam bertanggungjawab memimpin orang yang di bawah pimpinannya dalam melaksanakan segala tuntutan Allah. Begitu juga dalam mencegah kemungkaran melalui kekuasaannya yang ada terutama yang berhubung dengan pokok utama kemungkaran iaitu syirik kepada Allah.
Sabda Rasullulah saw yang bermaksud:-
"Sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran berlaku, wajiblah mengubah dengan tangannya (kekuasaan), jika tidak berupaya, maka ubahlah dengan perkataannya (nasihat). Jika tidak berupaya juga, maka ubahlah dengan hatinya (hatinya tidak menyetujui perbuatan itu). Yang demikian (mengingkari) itu adalah menunjukkan selemah-lemah iman".
Apabila tugas-tugas yang disebutkan itu dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, maka tidak syak lagi akan tercapai matlamat kepimpinan seperti yang dijelaskan Allah di dalam ayat yang dibacakan tadi.
Tuan-tuan,
Kejayaan seorang pemimpin dalam pimpinannya terletak pada sikap dan kepimpinannya. Oleh itu sifat kepimpinan yang perlu menjadi ikutan dan contoh teladan kepada setiap pemimpin ialah daripada peribadi Rasullulah saw kerana Bagindalah pemimpin yang unggul, yang telah diutus kan Allah.
Firman Allah yang bermaksud:-
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasullulah saw itu teladan yang baik bagimu (iaitu) orang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."
Di antara sifat-sifat kepimpinan Rsullulah saw ialah benar, amanah, kebijaksanaan, keberanian, dan lain-lain. Disamping itu, sebagai pemimpin Islam perlu pula memiliki ciri-ciri yang lain seperti bertaqwa kepada Allah, mempunyai akhlak Islam yang sempurna, adil dan mencintai keadilan, mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup, mempunyai kesabaran, ketabahan dan ketenangan, mengutamakan kepentingan masyarakat dari kepentingan diri sendiri.
Tuan-tuan,
Kita patut sedar bahawa sesetengah pemimpin kita dewasa ini tidak menpunyai sifat-sifat kepimpinan yang disebutkan tadi. Mereka tidak suka sembahyang berjemaah kecuali jika terpaksa, anak dan isteri masih mendedahkan aurat, mereka masih terlibat dengan dosa-dosa besar, minum arak, menghisap dadah, judi, perzinaan dan sebagainya. Mereka tidak pernah menghadiri majlis-majlis pengajian agama, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, tidak mendidik anak-anak dengan pendidikan Islam. Meraka bersikap angkuh dan sombong, tidak suka melayani orang bawahannya, mengambil kesempatandi atas kekuasaan mereka untuk kepentingan diri dan keluarga mereka sahaja. Mereka haloba, tamak. ada yang sanggup menajdi penipu dan pembelot atau menerima rasuah, mencuri harta benda kerajaan, tidak ikhlas dalam bekerja, mencuri masa, selalu ponteng kerja, mencuri tulang dan perbuatan-perbuatan haram yang lain.
Pemimpin seperti ini tidak boleh dijadikan contoh kepada orang yang dipimpinnya dan lebih jauh dari itu mereka tidak boleh membangunkan masyarakat Islam. Keadaan ini disebabkan dalam diri mereka belum tertegaknya Islam dan ini merupakan gejala paling buruk. Jika ia menjadi pemimpin rumahtangga, maka kucar kacirlah rumahtangganya. Jika ia pemimpin masyarakat, porak perandalah masyarakatnya, jika ia pegawai kerajaan, lemahlah jentera pentadbirannya. Jika ia pemimpin tentera, pecah belahlah pasukannya, jika ia ketua negara, saat kehancuran akan tiba.
Percayalah bahawa kemenangan tidak mungkin dikurniakan Allah kepada hambaNya kecuali mereka bersungguh-sungguh beriman dan bertaqwa kepadaNya serta menepati janjinya sebagaimana di dalam Al-Quran yang bermaksud:-
"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah, Allah akan menolong kamu, dia akan menetapkan pendirian kamu."
Oleh itu tibalah masanya, kita meneliti diri kita, segera memperbetulkan kesilapan-kesilapan yang berlaku dengan penuh kesedaran. Kita hendaklah kembali melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh keikhlasan, sesuai dengan konsep kepimpinan menurut Islam. Semoga segala usaha ke arah pencapaian matlamat kerajaan kita dalam membangunkan umat Islam dan negara ini akan tercapai.
Camane? Ok ker? Arap mekome boleh faham bebeno ape yang tersurat dan tersirat dalam khutbah jemaat ari ni di semejid dekat opis teman. Trima kasih tak terhingga dari teman pade Tok Imam kerana benokan teman pinjam teks khutbah jemaat ari nih. Pas ini teman pulangkan balik yer tok imam. Kongsi-kongsi ilmu tuh memang digalakkan.
No comments:
Post a Comment