Saturday, October 31, 2009

DALIL-DALIL YANG MENGHARUSKAN SOLAT QASAR

DALIL AL-QURAN
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:-
"Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan solat jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir (musuh)."
- An-Nisa': 101
Ayat ini menunjukkan bahawa solat qasar itu diharuskan bagi orang yang musafir sama ada di dalam keadaan aman atau ketakutan. Adapun ditentukan perkataan yang memberi erti "jika kamu takut", tidaklah menafikan keharusan mengqasarkan solat tetapi ia adalah sebagai pernyataan kepada sesuatu yang berlaku sahaja. Ini adalah kerana pada kebiasaannya orang yang musafir sentiasa terdedah kepada bahaya dan tentunya tidak dapat lari daripada perasaan takut. Lantaran itulah terdapat juga hadis Nabi s.a.w. yang mengharuskan qasar solat sama ada ketika takut ataupun ketika aman.
DALIL AS-SUNNAH
Diriwayatkan bahawa Yu'la bin Umaiyah r.a. meminta penjelasan mengenai ayat di atas dengan katanya:-
"Yu'la bin Umaiyah telah berkata kepada Sayidina Umar r.a. mengapa kita mengerjakan solat secara qasar sedangkan kita di dalam keadaan yang aman? Lalu Sayidina Umat r.a. menjawab, aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., Baginda s.a.w. bersabda, solat qasar itu sebagai satu sedekah (pemberian) yang Allah s.w.t. sedekahkan dengannya ke atas kamu maka hendaklah kamu menerimanya atau ambillah sedekah itu."
- Riwayat Muslim.
Di dalam hadis yang lain dinyatakan:-
"Ibnu Umar menjelaskan sesungguhnya aku semasa menemani Rasulullah s.a.w. dalam perjalanan (musafir) Baginda s.a.w. solat tidak lebih daripada dua rakaat dan (Sayidina) Abu Bakar, (Sayidina) Umar dan (Sayidina) Othman juga berbuat demikian."
- Riwayat Sepakat Ahli Hadis.
DALIL IJMAK
Para ulama' Mujtahidin sepakat menyatakan bahawa orang bermusafir yang memenuhi syarat-syarat musafir harus melakukan solat qasar.

No comments: