Monday, October 5, 2009

KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL - ISU PEDAGOGI

ISU PEDAGOGI
Aktiviti instruksional atau pengajaran dan pembelajaran perlu diterapkan berdasarkan teori pembelajaran yang bersesuaian. Justeru, peranan Pengetua dan Guru Besar sebagai pemimpin instruksional amat penting bagi mendorong guru memahami teori pembelajaran dan penyesuaiannya dengan kaedah dan teknik pengajaran terkini yang akhirnya dapat mempertingkat kualiti pengajaran dan pembelajaran murid.
Kounzes dan Posner (1990) menyatakan bahawa pemimpin akan mencapai tahap yang terbaik apabila mereka dapat mencabar proses, mencetuskan visi yang dikongsi bersama, berupaya menggerakkan orang lain untuk bertindak, menjadi model serta pemandu jalan, bahkan mampu menggerakkan hati subordinat mereka untuk bekerja. Pada masa yang sama, mereka harus meletakkan peranan secara seimbang, bukan sahaja di dalam mengurus sekolah yang bersifat rutin dan administratif, malah meluangkan masa yang saksama untuk menggerakkan dirinya sebagai pemimpin instruksional.
Pemimpin perlu bertindak secara proaktif bagi menggerak dan meransang orang lain untuk bertindak. Pemimpin mungkin memiliki segala idea besar atau wawasan agung tetapi jika tindakan tidak diambil atau dilaksanakan, tiada apa yang boleh dihasilkan. Beliau tidak akan menjadi seorang pemimpin yang berkesan.
Kepimpinan instruksional sering ditakrifkan sebagai adunan daripada pelbagai tugas seperti pencerapan di bilik darjah, pembangunan staf dan pembangunan kurikulum (Smith & Andrews, 1989). Peranan yang penting dan bermakna Pengetua dan Guru Besar sebagai pemimpin instruksional perlu memberi tumpuan kepada arahan dan tunjuk ajar, berkongsi bersama dalam membuat keputusan, memelihara dan mempertahankan perkara-perkara asas (basics),memanfaat dan mengoptimumkan masa pengajaran dan pembelajaran, menyokong perkembangan staf yang berterusan, merancang dan menyusun semula sumber-sumber untuk menyokong program dan aktiviti sekolah dan mencipta satu iklim integriti dan penambahbaikan secara berterusan (Brewer, 2001).
Glickman (1985) pula mengelaskan lima tugas seorang pemimpin instruksional iaitu sebagai pembimbing dan pembantu secara langsung kepada guru, membangunkan kelompok, menggerakkan perkembangan staf, membangunkan kurikulum dan meng gerakkan kajian tindakan. Schon (1989) pula menekankan kepada konsep pencerapan rakan sejawat dengan memberi tumpuan kepada sokongan, bimbingan dan galakan melalui pengajaran reflektif sesama rakan guru, pengetua dan guru besar. Manakala Michael E. Doyle dan Donna M. Rice (2002) menyatakan bahawa gelaran pemimpin instruktional harus menterjemahkan perananan utama seseorang pengetua dan guru besar sebagai pemimpin kecemerlangan pembelajaran.
Bagi mencapai hasrat ini, pemimpin instruksional perlu memahami dan menghayati kemahiran-kemahiran yang kait-mengait yang menyumbang kepada keberkesanan sesebuah sekolah iaitu kepimpinan yang mantap dan positif, pengharapan yang tinggi, pemantauan kemajuan murid, tanggungjawab dan penglibatan murid dalam kehidupan sekolah, ganjaran dan insentif, penglibatan ibu bapa di sekolah, perancangan bersama dan pendekatan-pendekatan yang konsisten kepada murid dan penekanan kepada aspek pencapaian akademik melalui satu kaedah penilaian yang berterusa. Akhirnya, keberkesanan sekolah juga ditentukan oleh faktor guru sebagai penyelidik dan pengkaji.

No comments: