B. CUBAAN UNTUK MEMINDAHKAN MAQAM IBRAHIM KE BELAKANG
Memandangkan bertambahnya bilangan jemaah haji dan umrah, kawasan tawaf telah menjadi sempit. Tambahan pula ada sebahagian jemaah berhenti melakukan solat di belakang Maqam Ibrahim.
Pada tahun 1377H timbul fikrah (pendapat atau cadangan) untuk memindahkan Maqam Ibrahim ke belakang selepas pembesaran Masjidil Haram. Maka timbul pro dan kontra di kalangan ulama' Islam mengenai cadangan tersebut.
Buku pertama yang menyokong pemindahannya telah ditulis oleh Sheikh Abdur Rahman Al-Mu'alimi Al-Yamani, yang menrupakan Pengarah Perpustakaan Al-Haram Al-Makki (meninggal dunia tahun1386H), disokong oleh Sheikh Muhammad bin Ibrahim, bekas Mufti Am Arab Saudi (meninggal dunia tahun 1389H) dan ulama'-ulama' lain.
Ramai pula ulama' yang menentang cadangan tersebut kerana tempat tersebut telah dipilih oleh Rasulullah s.a.w. dan Khalifah Umar r.a. Mengekalkan Maqam Ibrahim di tempatnya adalah lebih baik, lebih-lebih lagi pada zaman yang penuh fitnah ini.
Pada musim haji tahun 1385H, Muktamar Rabitah Al-'Alam Al-Islami telah membuat keputusan bahawa Maqam Ibrahim dikekalkan di tempatnya dengan diubahsuai lingkungan kaca tebal dengan ukuran yang lebih kecil untuk mengelakkan kesesakan maka ia kekal hingga ke hari ini.
C. KELEBIHAN MAQAM IBRAHIM
1.Tempat Solat - Ia dijadikan tempat solat yang diarahkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud:-
"Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim tempat solat."
(Al-Baqarah: 125)
Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Umar bin Al-Khattab r.a. telah berkata:-
"Pendapatku telah diterima oleh Tuhanku di dalam tiga perkara. Aku berkata: Wahai Rasulullah, kenapa tidak kita jadikan Maqam Ibrahim ini sebagai tempat solat?"
Kemudian ayat inipun diturunkan.
Qatadah rahimahullah menerangkan tentang ayat ini:-
"Kamu disuruh bersolat di situ tetapi tidak disuruh menyentuhnya. Kami telah diberitahu oleh mereka yang telah melihat kesan tapak kaki dan jarinya (Ibrahim r.a.). Manusia berterusan menyentuhnya sehingga kesannya tanggal dan hilang."
Solat Sunat tawaf di Maqam Ibrahim
Jabir r.a. telah meriwayatkan mengenai cara perlaksanaan haji Rasulullah s.a.w. dengan katanya:-
"Ketika aku sampai di Ka'bah bersama Rasulullah s.a.w., Baginda terus mencium Hajar Aswad kemudian (tawaf tujuh pusingan) berlari-lari anak pada tiga pusingan yang awal dan empat pusingan dengan berjalan biasa. Baginda lalu ke Maqam Ibrahim dan membaca: Dan jadikanlah Maqam Ibrahim sebagai tempat solat". Rasulullah s.a.w. menjadikan Maqam Ibrahim berada di tengah antara Baginda dan Ka'bah."
2. Maqam Ibrahim merupakan batu dari Syurga
Rasulullah s.a.w. telag bersabda yang bermaksud:-
"Sesungguhnya Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim merupakan batu-batan dari Syurga, Allah s.w.t. telah menghilangkan cahaya kedua-duanya, seandainya Allah s.w.t. tidak menghilangkan cahaya kedua-duanya, nescaya ia akan menerangi seluruh timur dan barat dunia."
Menurut riwayat Al-Baihaqi:-
"Jika tidak kerana dosa anak cucu Adam, nescaya cahayanya akan mampu menerangi seluruh timur dan barat dunia."
3. Tempat Dikabulkan Doa
Menurut Hasan Al-Basri (meninggal dunia tahun110H) dan ulama'-ulama' lain berdoa di belakang Maqam Ibrahim a.s. adalah amat mustajab.
No comments:
Post a Comment