Thursday, October 22, 2009

MAQAM IBRAHIM

Sejarah Maqam Ibrahim
Dari segi bahasa "maqam" bererti tempat berpijak. Maqam Ibrahim ialah batu yang dibawa oleh Ismail a.s. untuk dijadikan sebagai tempat berpijak bapanya Nabi Ibrahim a.s. ketika mereka membina Ka'bah. Dari atas batu inilah Nabi Ibrahim a.s. membina Ka'bah dengan tangannya sendiri daripada batu-batu yang dibawa oleh Ismail a.s. Setiap kali bangunan Ka'bah bertambah tinggi, batu (maqam) tersebut ikut naik seolah-olah ianya berfungsi seperti tangga kren.
Diriwayatkan bahawa Said bin Jubair berkata:-
"Batu Maqam Ibrahim ini, Allah s.w.t. telah menjadikannya lembut dan ianya sebagi rahmat. Ibrahim a.s. berdiri di atasnya manakala Ismail a.s. menghulurkan batu-batan kepadanya."
Di atas batu ini juga Nabi Ibrahim a.s. menyeru manusia supaya datang mengerjakan haji setelah selesai membina Ka'bah.
Al-Fakihi meriwayatkan bahawa:-
"Apabila selesai membina Ka'bah, Allah s.w.t. telah memerintahkan agar Ibrahim menyeru manusia untuk datang mengerjakan haji, Nabi Ibrahim naik ke atas batu (Maqam Ibrahim) lalu berseru: Wahai manusia! Telah difardhukan ke atas kamu mengerjakan haji. Maka ianya telah diperdengarkan kepada mereka yang berada dalam sulbi lelaki dan dalam rahim perempuan. Mereka yang beriman serta mereka yang telah ditulis oleh Allah s.w.t. akan datang untuk mengerjakan haji hingga Hari Kiamat telah menyahutnya dengan menyebut: Labbaikallahuma labbaik."
Oleh kerana perbuatan ini merupakan salah satu daripada amalan yang dicintai oleh Allah, maka Allah s.w.t. telah menjadikan kesan tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. ini kekal sebagai peringatan kepada orang-orang yang beriman dari keturunannya bagi mereka dan seluruh manusia.
Kedudukan Maqam Ibrahim
Ulama' telah berselisih pendapat tentang kedudukan tempat asal Maqam Ibrahim.
Pertama:
Pada zaman Nabi Ibrahim a.s. seterusnya hingga zaman Rasulullah s.a.w. , zaman Abu Bakar As-Siddiq dan Umar r.a. Makam ini berada di tempat yang ada sekarang. Kemudian berlaku banjir pada zaman Umar bin Al-Khattab r.a. lalu membawanya ke bahagian bawah Makkah. Maka penduduk Makkah membawa dan meletakkannya di tepi Ka'bah hingga datang Umar. Beliau telah bermesyuarat mengenai tempat nya yang asal dan meletakkan ia di tempat tersebut hingga ke hari ini.
Pendapat ini diriwayatkan oleh Al-Azraqi dengan sanad yang sahih dan disokong oleh Sheikh Said Bakdas.
Kedua:
Pada zaman Ibrahim a.s. dan selepasnya, Maqam ini bersambung dengan Ka'bah dan diletakkan sebelah kanan pintu sehinggalah ia dipindahkan oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a. ke tempatnya hari ini.
Pendapat ini diriwayatkan oleh Abdur Razzak di dalam Al-Musannaf dengan sanad yang sahih daripada 'Ata' dan lain-lain, juga daripada Mujahid. Al-Baihaqi pula meriwayatkan daripada 'Aishah r.a. dengan sanad yang kuat bahawa:
"Pada zaman Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar As-Siddiq r.a., Maqam ini bersambung dengan Ka'bah, kemudian Umar bin Al-Khattab r.a. mengalihkan ke belakang (ke tempatnya hari ini)."
Tiada seorang daripada kalangan para sahabat dan orang yang selepasnya mempertikaikan perbuatan Umar ini. Mereka semuanya bersetuju di dalam hal ini.
Umar berpendapat kedudukan asalnya telah menyempitkan kawasan tawaf dan solat lalu dia meletakkannya di tempat yang lebih baik bagi maslahat umum. Perbuatannya itu mungkin sudah diilhamkan oleh Allah s.w.t. kerana dialah yang mencadangkan pada awalnya agar tempat tersebut dijadikan tempat solat.
Pendapat ini disokong oleh Al-Hafiz Ibnu Kathir, Al-Hafiz Ibnu Hajar dan Al-Mu'allimi Rahimahumullah.

No comments: